Tragedi Bukit Kepong & Mat Indera ke Tali Gantung

*Artikel ini merupakan bahagian akhir dari siri tokoh Mat Indera

Oleh: Iltizam Iman

Serangan yang terjadi pada 23 Februari 1950 di balai polis Bukit Kepong itu telah mengorbankan 14 anggota polis Inggeris, 4 polis bantuan, 4 orang ahli keluarga anggota polis dan 3 orang penduduk kampung. Ada pandangan yang menyatakan Mat Indera hanya menerima arahan untuk melakukan serangan. Tetapi pandangan lain pula mengatakan Mat Indera adalah orang yang bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Johan Shah, adik kepada Mat Indera, menyatakan benar bahawa abangnya merupakan pemimpin yang mengarahkan serangan tersebut. Perkara sama juga tercatat di dalam Memoir Abdullah C.D.. British juga menawarkan sejumlah besar hadiah wang tunai sebanyak $75,000 bagi sesiapa yang dapat menangkap Mat Indera.

Sementara Chin Peng dalam bukunya mengakui pihak komunis menyedari kehadiran kanak-kanak dan wanita di Rumah Pasung Bukit Kepong tersebut berdasarkan berek kelamin yang ada di situ.

Tetapi menurut Johan Shah lagi, Mat Indera tidak mengarahkan serangan itu dilakukan terhadap kanak-kanak dan wanita. Punca kejadian itu terjadi disebabkan adanya tentera-tentera gerila yang tidak mendengar arahan, dan mengambil tindakan melulu.

Mungkin sebahagian ahli komunis ketika itu terlalu gelojoh dalam bertindak. Seperti mana kisah Shamsiah Fakeh, yang dikhianati oleh pihak komunis untuk beberapa kali seperti pembunuhan anaknya oleh 3 orang ahli komunis dan hidup memburuh di China selama 30 tahun akibat dibuang parti.

Juga mungkin ada sebahagian tentera komunis mengambil kesempatan itu untuk membalas dendam, seperti mana kenyataan yang perakui oleh Mat Indera sendiri. Ada beberapa kenyataan juga dari orang kampung dan anggota-anggota polis yang terselamat mengatakan bahawa Mat Indera sendiri berperanan dalam menyelamatkan keluarga pihak polis walaupun berada di blok komunis.

Serangan yang Memakan Diri

Kematian ahli keluarga polis telah dijadikan alasan kukuh pihak British untuk menentang kuasa komunisme di Tanah Melayu. Memetik tulisan Iskandar Zuqarnain dalam orangperak.com pada 27 April 2019,

Pada jam 5.00 pagi 23 Februari 1950, seramai hampir 180 orang tentera komunis dari Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya memulakan kepungan dan kemudiannya menyerang Balai Polis Bukit Kepong, Johor dengan menggunakan senjata-senjata automatik.

Tembak-menembak berlaku dengan sengitnya, dan pihak pengganas komunis mengarahkan supaya anggota polis menyerah diri namun tidak diendahkan.

Serangan bertalu-talu berterusan sehingga hari mula cerah dan beberapa orang anggota di balai polis terbunuh. Sementara di berek kelamin pula anggota-anggota polis yang tidak bertugas terus bertempur sehingga seorang demi seorang gugur.

Dua orang isteri anggota marin polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Memandangkan kekuatan pertahanan balai polis, komunis mula menggunakan taktik kotor.”

Faktor Serangan Komunis

Idea untuk menyerang Bukit Kepong didedahkan oleh Kim Yun, seorang perwakilan dari Jawatankuasa PKM Negeri Johor, sewaktu mesyuarat dengan Company Commandore Loo Seng, Tan Guat, Lee Chong dan Chin Siang. Walaupun Mat indera tidak hadir ke mesyuarat tersebut, tetapi beliau telah sedia maklum tentang perkara itu.

Menurut Mat Indera sendiri, ada dua faktor yang menjadi sebab serangan Bukit Kepong. Pertama, untuk melumpuhkan kekuatan Inggeris di kawasan tersebut. PKM memiliki rancangan untuk menjadikan Bukit Kepong sebagai pangkalan unit gerila Melayu bagi kawasan utara Johor kerana kedudukannya yang strategik. Kedua, bagi membalas dendam atas kematian seorang anggota komunis Cina dan seorang anggota India oleh Polis Tambahan Melayu Kampung Tui.

Pendorong Semangat Komunis Melayu-Islam

Sebelum berlakunya peristiwa tembak-menembak di Bukit Kepong, beberapa anggota asal balai telah dipindahkan ke tempat lain. Antara petugas-petugas baru balai Bukit Kepong adalah Jaafar Arshad, Jidin Omar, Othman Yusuf, Yusof Rono, Ahmad Kholid, Mohd. Top Lazim, Yasin Wahab, Jaafar Hasan, Kadir dan Ibrahim Adam.

Sarjan Jamil selaku OCS balai tersebut pula baru saja bertugas kira-kira sebulan setengah. Kedudukan Sarjan Jamil di situ adalah bagi menggantikan tempat OCS berbangsa Inggeris, iaitu Ray Dancey. Ray Dancey merupakan seorang tentera Inggeris yang bertugas di Palestin.

Henry Gurney

Yang mana, Henry Gurney adalah Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada 13 September 1948 juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan British Palestin sejak 1946. Mereka adalah antara orang bertanggungjawab di sebalik penghalauan orang Arab Palestin demi penubuhan negara haram Israel.

Terdapat penulisan yang mengaitkan antara serangan Bukit Kepong dengan gerakan anti negara Israel. Yang mana serangan itu adalah satu usaha membalas konspirasi jahat Inggeris dalam pembentukan negara haram Israel. Catatan tentang perkara ini boleh ditemukan dalam “Perjuangan Syria dan Lebnon” tulisan Abdul Kadir Mar’ie.

________________________________________________
BACA LANJUT:
1. Pilger, Kanafani & Peranan Kita Buat Palestin.
2. Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri
_____________________________

Walaupun fakta tersebut tidak boleh dikaitkan sepenuhnya atas serangan Bukit Kepong, ia tetap boleh dijadikan sandaran untuk memahami perspektif anggota komunis Islam apabila melihat birokrasi Balai Bukit Kepong diketuai dan diurus oleh musuh yang nyata kejam dan zalim seperti Henry Gurney dan Ray Dancey. Ketika itu Mat Indera juga tidak mengetahui Ray Dancey sudah dipindahkan dari balai Bukit Kepong.

Jejak Komunis, Persiapan Polis.

Empat hari sebelum serangan, anggota polis telah mengesan jejak yang ditinggalkan pasukan gerila di sekitar. Sarjan Jamil terus melakukan persiapan, beliau mendapatkan bantuan tambahan peluru dan brengun dari OCPD Pagoh. Beliau juga ada meminta satu set radio wireless, tetapi tidak dapat ditunaikan OCPD Pagoh kerana mereka juga kekurangan set tersebut.  

Ketika itu, kekuatan polis terdiri daripada 11 orang anggota polis, 4 polis marin dan 3 anggota EPC. Ada dakwaan yang mengatakan Mat Indera yang melakukan keganasan ketika menyerang. Tetapi dakwaan ini amat diragui kesahihannya. Sedangkan, terdapat banyak kenyataan yang menunjukkan Mat Indera hanya fokus untuk menyerang dan melemahkan Inggeris. Bukanlah untuk menggila dan mengganas.

Adakah Mat Indera Mengganas?

Abu Bakar, salah seorang anggota Polis marin yang terselamat, menyatakan di sebalik serangan itu Mat Indera tidak melakukan keganasan. Tetapi, lebih kepada melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis dari menjadi mangsa komunis. Masyarakat Kampung Durian Condong, Ulu Muar juga mengatakan Mat Indera bukan orang bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku.

Kehadiran Mat Indera di situ, telah melindungi beberapa wanita dan kanak-kanak dari terkena bedilan peluru. Beliau juga telah merawat seorang kanak-kanak yang tercedera bahu. Dua anggota polis yang diselamatkan Mat Indera adalah Yusuf Rono dan Ahmad Khalid. Ketika beberapa anggota komunis hendak menghayunkan bayonet dan menikam mereka, Mat Indera segera menghalang. Anggota tersebut terpaksa akur dan mereka ditinggalkan begitu saja.

Fatimah Lawa, merayu kepada Mat Indera untuk mengeluarkan jenazah suaminya di dalam berek yang terbakar. Tetapi akur kerana Mat Indera tak dapat membantu disebabkan keadaan api terlalu marak. Tan Guat, ketua pasukan penggempur, dikritik hebat oleh Jawatankuasa PKM Negeri kerana membakar balai polis tanpa mengeluarkan mangsa terlebih dahulu. Ia dapat meninggalkan perspektif negatif pada masyarakat, seterusnya membuka ruang untuk Inggeris memantapkan kerja propaganda menentang komunis.

Tidak hairan, Allahyarham Jins Shamsuddin menggunakan babak pembakaran berek polis sebaiknya untuk menggambarkan betapa antagonisnya watak komunis.

Hari Serangan Bukit Kepong

Mat Indera mengatakan yang serangan tersebut dilakukan di bawah kawalan Kim Yun. Mereka semua telah meninggalkan kem pada jam 5 petang, 22 Februari 1950 dan berhenti di kebun getah sekitar 1 batu sebelum kampung Bukit Kepong. Sekitar 4 pagi, mereka bergerak ke arah bukit Ma’Okil di arah belakang kampung Bukit Kepong itu.

Serangan dimulakan pada jam 5:30 pagi oleh 20 orang anggota penggempur yang diketuai oleh Lee Chong. Mereka mendahului serangan dari bahagian tengah balai polis. Di sebelah kiri, terdapat satu platun yang diketuai oleh Tan Guat dan Syed Abdul Kadir Mar’ie bagi membantu pasukan penggempur. Manakala di sebelah kanan, Mat Indera dan Loo Seng mengetuai satu platun seramai 30 orang anggota. Anggota-anggota yang lain pula bertindak mengepung dan mengelilingi balai tersebut.

Kira-kira jam 6 pagi, pasukan gerila telah menembak mati seorang anggota polis berpangkat SC yang bera di pondok keselamatan. Serangan terus berlaku, das-das tembakan saling membalas. Kemudian Mat Indera meniupkan trompet bagi memberhentikan keadaan tembak menembak dari kedua belah pihak.

Beliau menghantar tahanan keluarga pihak polis, Mariam Ibrahim untuk membawa sekeping surat bertulisan jawi ke balai meminta pihak polis menyerah diri. Walaupun begitu, surat itu dibalas oleh pihak polis dengan tembakan menyebabkan serangan tembak menembak berlangsung lagi.

Antara babak Filem Bukit Kepong

Kejayaan Gerila di Bukit Kepong

Menurut Mat Indera, serangan itu mengambil masa 3 jam setengah. Pihak gerila berjaya merampas dua pucuk brengan buatan 1944, satu stengun, 15 rifles dan seratus butir peluru. Pasukan penggempur dan Amrs Labour Corp. merampas barang makanan dalam tin dan beras sebanyak 18 pikul.

Dalam kejadian itu, anggota gerila kehilangan 3 orang anggota dan 6 orang cedera. Mereka juga telah menggunakan sebanyak lebih kurang 1000 – 500 butir peluru.

Peristiwa tersebut benar-benar telah mencabar kedudukan penjajah Inggeris. Sehingga, tawaran sebanyak RM75,000 dikeluarkan bagi sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Mat Indera, dikatakan oleh orang ramai memiliki ilmu ghaib sehingga dapat meloloskan diri dari beberapa tangkapan.

Penangkapan Mat Indera

Terdapat lima lelaki Jawa Ponorogo yang memainkan peranan penting dalam penangkapan Mat Indera iaitu Wak Sham Abdul Rahman, Misban (Ismail Mustakim), Beladang, Mat Tukyo dan Sarjan Bajuri Hj. Siraj. Sahgidon Dirhan menganggap Sarjan Bajuri Hj. Siraj merupakan individu utama dalam menyusun atur strategi dalam penangkapan ini.

Di dalam laporan The Straits Times pada 19 November 1952 yang bertajuk “He fell asleep, was captured”, Mat Indera telah disabitkan bersalah disebabkan memiliki senjata api jenis revolver bersama 30 butir peluru. Menurut pendakwa raya ketika itu Encik Suffian, Mat Indera telah menyelinap secara bawah tanah untuk beberapa tahun dan ada ketikanya akan keluar melawat kampungnya di Batu Pahat dan Muar.

Mat Indera Masuk Jerat

Pada 7 Oktober 1952, beliau telah dijemput untuk makan malam di rumah Ismail Bin Mustamin (Misban) pada 14 Oktober, jam 7 malam. Beliau menerima undangan tersebut dan berjanji menghadirkan diri ke rumah Ismail di Kampung Seri Medan.

Pada sebelah pagi 14 Oktober tersebut, beliau telah dilihat bersama 3 orang kawannya berbangsa Cina. Semuanya bersenjata. Petang itu, Mat Indera tiba di rumah Ismail pada jam 7:30 petang bersama 2 orang kawannya dan seorang kanak-kanak. Kedua-dua kawannya itu memiliki senjata api, manakala kanak-kanak tersebut dilaporkan The Straits Times memiliki bom tangan. Mat Indera dijemput masuk bersama kanak-kanak tersebut dan meninggalkan 2 orang kawannya di berkawal di luar.

Selepas makanan siap dihidang, kawannya yang di luar juga dijemput masuk untuk menikmati juadah. Mat Tukyo meminta izin dari Mat Indera untuk mengajak seorang kawannya bagi membantu membawa keluar makanan dari dapur. Namun, kawannya itu ditetak dan dibunuh menggunakan parang.

Selesai saja makan, mereka dihidangkan dengan secangkir kopi. Mat Indera tidak mengetahui yang kopinya telah dicampur dengan kecubung yang boleh menyebabkan mengantuk dan terpukau. Ketika beliau jatuh tertidur itulah beliau diikat tangannya dengan lalang. Menurut sumber tulisan yang lain, ketika Mat Indera tidak sedarkan diri Mat Tukyo telah mencabut segala tangkal yang tersemat di dalam dirinya sebelum dibawa ke Balai Polis Seri Medan.

Dorongan Kerjasama Orang Kampung

Tidak dapat dipastikan samada jerat itu dipasang disebabkan mereka benar-benar percaya bahawa Mat Indera merupakan seorang yang berbahaya, atau kerana tawaran yang diberikan oleh pihak penjajahan.

Yang pasti, banyak catatan yang mengatakan masyarakat setempat juga ditekan dengan kuat. Seperti mana arahan Inggeris untuk merobohkan rumah orang kampung di Parit Sulong dan berpindah ke tempat lain kerana disyaki bekerjasama dengan komunis. Perkara ini boleh dirujuk kepada siaran Utusan Melayu bertarikh 21 April 1955, halaman 5.

Penangkapan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat Jawa di situ. Ada yang sedih, ada yang gembira. Anak Misban, iaitu Mohd. Abidin Ismail bin Ismail Mustakim, percaya bahawa Mat Indera tetap seorang pejuang kemerdekaan.

Kata Abidin Ismail lagi, sepanjang hidup ayahnya, dia tidak pernah berbangga dengan kejayaan penangkapan Mat Indera. Malah, dia tidak pernah melabel Mat Indera sebagai pengkhianat. Apa yang ditekankan oleh ayahnya, adalah tekanan dan ugutan Inggeris menyebabkan mereka tiada pilihan lain kecuali bekerjasama.

Tujuan Mat Indera

Pada asalnya, tujuan Mat Indera menerima undangan ke rumah Ismail adalah untuk menyelesaikan masalah berkaitan kejadian Bukit Kepong. Sebelum itu, Mat Indera telah menerima sepucuk surat yang telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Kementerian Agama dan Pegawai Daerah meminta beliau untuk menyerah diri di balai polis atau pejabat daerah berdekatan.

Selepas membacanya, aku memberitahu Ismail sememangnya aku berniat untuk serah diri dan memulakan hidup baru.” Kata Mat Indera seperti yang dilaporkan The Straits Times.

Beliau juga telah meminta agar ketua kampung dapat hadir pada pertemuan malam itu, untuk berbincang tentang perkara ini. Beliau mahu menyerahkan dirinya melalui bantuan ketua kampung. Ketika itu beliau dimaklumkan oleh Lim Sek, Setiausaha Komunis Batu Pahat, sesiapa saja yang menyerah diri hanya dapat menikmati kebebasan sementara, kemudian mereka akan dibunuh dengan jarum suntikan. 

Pemimpin Serangan ke Tali Gantung

Selepas beliau disabitkan kesalahan, saudaranya telah menghantar petisyen kepada Sultan Ibrahim, Sultan Johor ketika itu agar Mat Indera diberikan pengampunan dan diringankan hukumannya. Petisyen itu tidak dihantar melalui saluran biasa, melainkan dihantar terus ke London.

Beberapa pemimpin Melayu seperti Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar dan beberapa pemimpin Melayu telah memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan British sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati. Tetapi pujukan itu ditolak Mat Indera sendiri yang tidak mahu dibicarakan oleh British atas tragedi yang telah terjadi.

Mat Indera menolak tawaran itu dengan mangatakan, “Beginilah kehendak rakyat.”. Mat Indera juga sempat berkata kepada adik-adiknya,

Jangan kisah tentang diriku. Kalau aku dihukum, aku tak kisah.”.

Dalam temu-bual majalah Mastika bersama Haji Junit, ada tercatat ketika Mat Indera selesai dibicarakan, beliau terus melaungkan “Allahuakhbar! Allahuakhbar!”. Hakim yang berbangsa Inggeris ketika itu, terus menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap beliau. Banyak pihak menyifatkan keputusan itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Atas alasan, pihak penjajah bimbang yang akan berlakunya bantahan dari rakyat yang mahukan Mat Indera dibebaskan.

Semadinya Mat Indera

Muhammad Indera kemudiannya menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak. Keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Kampung Jambu, Taiping.

Mat Indera dalam tangkapan

Tiada seorangpun dari ahli keluarganya yang dapat turut serta ketika pengebumian dijalankan pada malam itu. Mereka hanya mendapat makluman yang Mat Indera telah selamat dikebumikan. Johan Shah Indera yang ketika itu bersama ayah dan adik beradiknya yang lain masih berada di Singapura, hidup dalam buangan pihak Inggeris. Harus mendapatkan kebenaran Inggeris dan Sultan Johor terlebih dahulu jika ingin pulang ke Johor.

Hidup Mat Indera sebagai anggota gerila hanya berlangsung selama 4 tahun. Baki usianya adalah untuk bekerja dan menyara kehidupan keluarga. Di sini dapat kita lihat, hidupnya Mat Indera itu untuk berbakti kepada keluarga, dan matinya beliau adalah untuk tanah air.

________________________________________________
ARTIKEL BERKAITAN MAT INDERA:
1. Mat Indera: Peribadi Seorang Gerila Komunis Melayu
2. Mat Indera, Dari Kuasa Buruh Hingga Gerila
_____________________________

Rujukan:

[1] Dr. Muhaimin Sulam. 2012. Mat Indera: Petualang atau Pejuang.

[2] The Straits Times. Johore Ruler Asked to Save Mat Indera. 18 Disember 1952.

[3] Takbiratulihram Terakhir Mat Indera. 30 April 2014.

[4] Iskandar Zulqarnain. 27 April 2019. orangperak.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *