5.7 juta premis lulus bagi gentian optik pada peringkat kedua JENDELA fasa satu – MCMC

 

KUALA LUMPUR, 7 April — Sebanyak 5.7 juta premis telah diluluskan untuk gentian optik bagi peringkat kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu setakat 31 Mac, 2021 manakala liputan 4G berada pada 93.51 peratus, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusi, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata sebanyak 292,826 premis telah diluluskan bagi jalur lebar tetap, manakala 29 tapak jalur lebar mudah alih baharu dan 3,278 tapak jalur lebar mudah alih dipertingkatkan telah selesai bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

“Kita berada di landasan yang tepat. Dari sudut Petunjuk Prestasi Utama premis yang diluluskan untuk jalur lebar tetap, kami mencapai 132 peratus mengatasi sasaran suku pertama 2021.

“Sementara itu bagi tapak jalur lebar mudah alih komersial baharu, kami berjaya mencatatkan pencapaian 116 peratus, dan 101.7 peratus bagi naik taraf tapak jalur lebar mudah alih,” katanya semasa taklimat mengenai Laporan Suku Kedua JENDELA di sini, pada Rabu.

Beliau berkata langkah ke arah penamatan rangkaian 3G juga berjalan lancar dengan penyedia perkhidmatan berjaya memindahkan 629,018 pelanggan manakala 20,492 ‘carrier’ 3G telah ditamatkan setakat 28 Feb, 2021.

Fadhlullah berkata MCMC juga akan terus berusaha dan berbincang dengan pihak berkuasa negeri untuk menyeragamkan kos pemasangan menara rangkaian baharu dan struktur bahagian bumbung memandangkan ia berbeza-beza mengikut negeri.

Data yang dikongsikan MCMC turut menunjukkan kos penempatan menara rangkaian baharu di Sarawak adalah yang tertinggi iaitu RM37,000 bagi tahun pertama dan RM2,880 untuk pembaharuan bagi tahun seterusnya untuk lima tahun pertama.

Johor mencatat jumlah kos keseluruhan tertinggi untuk mengekalkan menara rangkaian dalam tempoh enam tahun iaitu RM116,750 dengan kos menara baharu adalah RM26,750 dan RM18,000 untuk pembaharuan selama lima tahun.

Enam negeri dan wilayah dengan kos penempatan menara yang lebih rendah iaitu kurang daripada RM10,000 ialah Perak (RM9,925); Kuala Lumpur (RM9,800); Selangor (RM8,600); Sabah (RM8,500): Pahang (RM7,150) dan Labuan (RM2,065).

“Kami akan terus berusaha untuk negeri-negeri mengurangkan caj mereka bagi penempatan menara baharu dengan membuat mereka menyedari pentingnya untuk mempermudah kos menjalankan perniagaan memandangkan telekomunikasi akan menjadi utiliti ketiga pada masa depan,” katanya.

Fadhlullah berkata MCMC mencatatkan peningkatan jumlah keseluruhan aduan rangkaian pada suku pertama 2021 kepada 54,538 aduan berbanding dengan 28,577 aduan pada suku pertama.

“Peningkatan aduan rangkaian ini terutamanya disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 sejak 13 Jan, 2021 kerana ramai orang berada di rumah untuk tempoh lebih lama dan mengalami masalah kesambungan.” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply