MENJEJAK SEJARAH KULAI: SUMBER RUJUKAN – “BUKU LAGENDA-LAGENDA SUNGAI KULAI” – TANG KOK SANG.

0 0
Read Time:26 Minute, 53 Second

Redo/Zine Dari Johor

PEMANIS MULUT

Hai, kali ini aku nak berkongsi dengan korang semua mengenali serba sedikit sejarah di Kulai. Aku kira ia menarik, mana-mana tempat pun ada sejarahnya sendiri termasuklah di salah satu daerah yang terletak di Johor iaitu Kulai.

Bila cakap soal sejarah, apa yang kita pasti ialah tentang maklumatnya. Banyak, dari sudut apa sahaja ianya ada selagi mana ia digali. Tapi, penulisan ini bukanlah mahu menjadikan korang semua minat dengan sejarah kerana semuanya atas minat masing-masing. Selebihnya, jika ia berguna kepada korang, boleh lah menyimpannya dan berharap untuk berkongsi kepada yang lain pula.

Johor ini sebuah negeri yang amat besar, kalau nak mewakili satu negeri, memang tak menang tangan. Jadi, buat masa sekarang, fokuskan hal di Kulai dah cukup bermakna untuk terus kami berkarya dan berkongsi. Bagi tidak menimbulkan persoalan kebiasaanya yang akan disoal, intro tajuk kali ni terus akan menerangkan, apa yang “best” sangat kat Kulai ni. Aku faham dengan soalan ini, soalannya sama, kenapa kita belajar?

Sudah tentulah untuk mengetahui sesuatu itu dengan terperinci. Kalau nak kata apa yang best, untuk aku semua tempat membosankan termasuklah istana dan kaabah. Tetapi kalau best itu merujuk kepada keistimewaannya, ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada evolusinya, geopolitiknya, sosialnya, kehidupannya, sehingga kita sendiri boleh menyesuaikan diri supaya merasakan best. Perkara ini di merata tempat amat menyeronokkan kalau sebuah maklumat atau rujukan itu menceritakan banyak perkara sehingga berkait rapat dengan kehidupan harian kita iaitu realiti, perubahan zaman dan tentang kehidupan yang perlu menyesuaikan diri untuk terus survive.

Sebab itu juga aku bersetuju bahawa sejarah adalah pembelajaran yang berkualiti. Cumanya, cara seseorang itu belajar ada pelbagai metod dan pelbagai kemahiran dan kreativitinya. Sejak aku mengenali Malaysia dengan pembahagian negerinya, ketika aku sekolah tadika, aku juga mengenal awal tentang suku kaum di Malaysia. Sampai lah satu tahap bila di sekolah rendah, aku seolah-olah faham yang Malaysia ini mempunyai sebuah kaum yang kononnya amat “sulong” kalau diikutkan wasiat, Malaysia ini adalah Tanah Melayu – orang Melayu secara automatik mewarisi Tuan dibumi yang dipijak.

it’s okay.” Punya lah lembab cara otak aku berfungsi, aku fikirkan sehingga apa sahaja pembukaan fasilitas yang ada seperti perumahan, sekolah, fasilitas lain, semuanya orang Melayu usahakan. Seperti contoh, daerah Kulai ini sendiri. Aku memikirkan bahawa Kulai ini diteroka, diwujudkan oleh orang Melayu. Kalau ada pun nama-nama tokoh yang digunakan untuk menamakan jalan, bangunan dan sebagainya dengan nama tokoh Cina, India, itu hanyalah cebisan bagi aku. Mungkin itu adalah baik budi yang diberikan untuk membenarkannya. Teruk betul aku punya fikir masa tu, fasis tahap Arasy!

Tapi, jika sejarah yang bertulis disimpan dalam arkib, kita boleh belajar (jika kita mahu) dan mengetahui perkembangan sosial sehingga hari ini.

Dari situ kita tahu, bagaimana pasca awal sebuah daerah wujud, bagaimana selepas itu, apa yang berlaku, bagaimana boleh sampai ke dunia teknologi hari ini, boleh menjangka apa yang akan berlaku dan boleh di rujuk jika ada seseorang yang meminatinya dan ingin tahu. Ini bukan kehendak sesiapa pun di atas bahu kita, tapi ia adalah kerja yang boleh dimaknai oleh seseorang yang mengusahakannya.

Bila dah masuk era milenium dan dewasa ini, kalau di Kulai sendiri ada individu bersifat rasis dari kaum mana sekali pun, tambahan dengan alasan-alasan kunonya, aku gelak je walaupun dalam hati amat marah jika ada berlaku pergeseran antara kaum. Banyak kali kita terdengar, bangsa itu menumpang, bangsa ini pendatang, bangsa ini copy paste dan sebagainya, termasuklah

Kalau orang Melayu mengatakan Cina pendatang, mengikut apa yang aku faham, Kulai itu Orang dari China lah yang membukanya, siap dengan hadiah lagi dari Sultan. Contoh, di Kulai siapa sebenarnya yang mengendeng atau tercampakkan disitu? Orang Melayu?

Aku ada menemuramah seseorang dari penduduk Kulai-tempatan – pakcik Melayu, dia mengatakan bahawa Kulai ini memang kawasan peneroka Cina. Felda yang ada ini semua adalah projek lepas merdeka, zaman Razak jadi Perdana Menteri. Kawasan tanah orang Melayu hanya di kawasan tanah rizab. Tanah Rizab ni boleh dikatakan kurniaan dari Sultan Johor, iaitu di kawasan Kg. Melayu, Kulai itu sahaja.

Kiranya, peneroka asal memang orang dari Cina, gambarannya Kulai ini dahulunya pekan orang Cina lah. Aku terfikir lagi, bab orang Cina satu bab. Masuk pula, bilakah orang Melayu mula bertapak di Kulai ini?

Ada beberapa penulisan hal di Kulai, aku terbaca ada yang menerangkan bahawa, waktu Kulai diteroka, penduduk dari kalangan orang Melayu sudah pun ada bersama mereka dalam komuniti, kejiranan. Tapi tidak terlalu tepat mengenainya. Selepas itu, orang India yang ada di Kulai pula bagaimana kemunculan mereka?

Sehingga tahun awal 2000, dari Bulatan Iris, Kulai Besar, itulah pintu masuk kawasan Estate di Kulai Besar. Didalam kawasan itu majoriti penduduk berbangsa India. Buktinya, Kuil yang mereka gunakan untuk upacara keagamaan, masih ada di tempat yang sama, bersebelahan petrol pam Shell di Kulai Besar dan beberapa tempat lagi di sekitarnya. Sekarang kawasan Estate tu dah menjadi IPD Kulai, barisan rumah berharga sejuta lebih Ringgit Malaysia, dan kawasan ladang sawit dibelakangnya sudah menjadi kawasan lot kedai baru melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan sekitarnya.

Sekarang, Kulai ini memang ada tiga bangsa dominan dan bangsa dari negara-negara jiran yang bekerja disini. Melayu, Cina, India, Indonesia (pelbagai kaum), Myanmar (pelbagai kaum), Vietnam (pelbagai kaum), Bangladesh, selatan Thailand dan sebagainya. Banyak pekerja dari negara jiran semua bekerja di kawasan industri kilang yang pesat di Kulai. Di Indahpura yang dulu sendu, sekarang telah menjadi Bandar Kulai baharu dan juga ada pembukaan industri kilang baru (Indrustrial Park) selain kawasan kilang lama yang terletak di Senai.

Berpuluh tahun, sejak awal pembukaan Kulai, kita dah berkomunikasi dengan pelbagai bangsa seperti saudara walaupun banyak pertelingkahan. Tapi, sejak memasuki era milenium, menjadi sangat kecewa dan hampa bila rasisme masih tebal dikalangan individu. Aku faham permasalahan ini. Untuk aku ia diganggu-gugat kuat dari kalangan orang politik, kuasa-kuasa besar dan sebagainya untuk mengelakkan penyatuan kaum yang ada. Korang tahu, betapa gergasinya Asia Tenggara ni, kalau Malaysia bersatu antara pelbagai kaum?

Aku tak tahu, tapi aku yakin ianya ada perubahan yang positif. Di dalam Malaysia sejak awal penubuhan mempunyai pelbagai kaum di dalamnya. Dengan berbagai kerenah, ego, sombong, bodoh, tamak, sebab itu ia mudah terpecah jika sentimen perkauman ini dimainkan. Daripada kesalahan individu di bawa pula kepada kesleuruhan bangsa. Dengan tamak kuasa politik, kita terus dimain-mainkan dan jika kita bersatu tanpa terusik dengan agenda rasisme ini, kita pasti menjadi kuat.

Menjadi satu tanda tanya yang bersifat peribadi, apa benda lah yang konon sensetif sangat hal bangsa ni, aku pun tak tau? Geli, tau tak!

Oleh itu, apa yang Kolektif Naratif cuba selitkan didalam Zine Dari Johor adalah tentang semangat anti-rasisma, anti-fasisma, anti-autoriti dan seratus peratus dari kesungguhan kami sendiri.

1

Sejak dari ZDJ #1, ada beberapa kenalan tertanya-tanya, kenapa sebagai editor, pada setiap episod akan diselitkan hal-hal fokus di Kulai, sama ada perkembangan dan sejarah seperti episod kali ini. OK, aku akan jawab lagi sekali.

Pertama sekali, aku bukan nak menjadi seorang pencetus atau apa-apa sahaja yang bajet bagus, sebab dengan cara ini, aku sendiri dapat belajar dan berkongsi pula dengan ramai orang bahawa dimana tempat kelahiran dan tempat aku tinggal selama ini ada banyak perkara yang menarik boleh dijadikan bahan bacaan, kajian dan sumber informasi.

Kedua, dalam rentetan ini juga, aku sendiri dapat memasuki ke dalam masyarakat yang ada. Dalam masa yang sama juga, aku dapat menceritakan tentang kehidupan disini dan dengan cara ini, kita boleh belajar apa sebenarnya yang terjadi, bagaimana ia terjadi dan apa yang sedang terjadi dan akan terjadi. Senang cakap, ini adalah sumber untuk kita semua yang selaras mencintakan tanah kelahiran sendiri. Ini bukan berbaur fasisma tapi ini adalah protes agenda fasisma yang membawa kepada perkauman dan sebagainya.

Ketiga, sebagai editor juga aku sendiri mencari sumber bahan bacaan tentang daerah Kulai sebenarnya untuk projek ZDJ, tapi tiada. Tiada yang aku maksudkan adalah tiada yang lebih melainkan hanya di website Majlis Daerah yang pada aku terlalu haus, lemah dan tak patut rasanya Majlis Daerah membiarkan lopong dibahagian (media/Info/arkib) ini. Jadi, aku berfikir dengan ZDJ ini lah bila aku dapat informasi yang sesuai dan releven, aku akan fokuskan.

Lagi-lagi ZDJ sememangnya berpusat di Kulai, boleh lah aku sesuaikan dengan kelopongan yang ada, ini lah alasan aku. Untuk pengetahuan korang juga, bukan kata Kulai sahaja menjadi keinginan untuk aku fokuskan, malahan Johor itu sendiri. Sedikit perkongsian lain, ketika aku di Ampang bersama rumah penerbitan buku non fiksyen Cukong Press, ada sebuah idea yang menarik telah kami lakukan iaitu menerbitkan sebuah buku yang diberi tajuk, KL: Lagenda Urban Yang Digelapkan.

Buku ini menceritakan disebalik pembangunan yang terjadi di KL dan dibukukan sehingga menjadi rujukan ramai pelajar, mahasiswa dan juga amat berjaya dalam penerimaannya. Bukan lah semata-mata sentimen tajuk bukunya sahaja tapi pengisiannya sedikit sebanyak yang membantu dan membuatkan pembaca pun baru tahu jika KLCC itu sebelum mencakar langit adalah sebuah tapak setinggan, sebelumnya lagi adalah tapak lumba kuda dan di Cheras pernah terjadi konsert 2 hari berturut-turut ala-ala Woodstock di Kem Bina Semangat.

Jadi kalau semua dah faham kenapa aku teruskan dengan usaha ini, aku akan teruskan sedikit perkongsian sejarah yang aku dapat dari sebuah buku di komuniti masyarakat Cina di Kulai. Komuniti Cina ya, bukan Majlis Perbandaran. Sebelum itu, sebenarnya waktu aku umur darjah 5 atau 6, aku sudah pernah terbaca satu majalah tahunan dari Majlis Daerah Kulai (hari ini Majlis Perbandaran Kulai), ketika itu ada sedikit sebanyak sejarah yang tertulis masih aku ingat dan rancangan aku untuk mencari balik buku itu di pusat sumber majlis juga telah aku drafkan.

Jika ada maklumat dari sana, aku juga akan kongsikan supaya tiada lah kata ZDJ lebih kepada provokasi, walhal provokasi sihat seperti ini juga amat penting sebenarnya. Dibawah aku telah sertakan sedikit informasi yang aku dapat dari sebuah buku yang bertajuk “Lagenda Sungai-Sungai Kulai”. Pada mulanya, aku merasakan ada sedikit masalah dengan buku ini sebab tiada info penulis, penerbit dan sebagainya yang membuatkan aku sendiri tertanya-tanya.

Apa yang ada di dalam kulit hadapan ialah iklan dan dibahagian dalam kulit belakang pula iklan perniagaan Cina tempatan. Buku dwi-bahasa ini aku dapat di perpustakaan Rumah Kebajikan DAP, Taman Teratai, Indahpura.

Tapi, setelah aku semak berulang kali, baru aku tahu penulis buku ni adalah Tang Kok Sang yang telah menulis 6 buah buku tentang Kulai sahaja. Buku yang ada pada aku tak pasti buku keberapa, apa yang aku tahu, dia menulis sejak tahun 1993. Menarik sangat oleh kerana buku-buku tersebut menjadi sebuah tesis yang telah diisytiharkan sebagai buku pengenalan terhadap Kulai itu sendiri. Memang ramai pun tidak tahu, itu sebab aku berkongsi disini.

Menjadi persoalan besar sekarang, bila aku mencari secara terperinci terhadap Tang Kok Sang dan juga buku-bukunya, langsung tiada dalam carian Google melainkan 2 buah gambar bukunya sahaja. Itupun websitenya sudah tidak dapat dibuka lagi. Sangat sayang jika ianya hilang begitu sahaja. Untuk orang seperti aku, memang akan ralat jika ia tidak dapat dijumpai lagi.

Mungkin aku perlu berusaha keras untuk pergi ke Sekolah Foon Yew Kulai pula oleh kerana dikatakan didalam buku itu, wakil Tang Kok Sang telah menyalurkan buku-buku ini kepada sekolah itu salah-satunya sebagai arkib dan juga untuk dijual kepada pelajar.

2

Bermula sahaja tindakan yang telah diambil oleh aku sendiri untuk menjejak segala tempat dan info yang tertera didalam buku itu berkaitan peninggalan sejarah seperti tapak, jejak dan sebagainya, aku telah berjumpa secara tidak sengaja dengan sekumpulan pakcik ‘prebet sapu’(teksi) di hentian lama teksi di Tan Yoke Fong, belakang bangunan MARA di Kulai.

Mereka menanyakan apa tujuan aku kesana dan aku pun terus menjelaskan bahawa aku seorang editor yang cuba menjejak semula peninggalan sejarah, setelah menjumpai maklumat di dalam buku tersebut. Bermula dari itu juga, cerita menjadi semakin hangat daripada setiap pengalaman yang mereka ada. Ternyata, banyak pelbagai kisah menarik yang aku dapat disana.

Paling sendu bila aku mendengar seorang daripada mereka mengatakan;

Kulai ini dah takde apa sejarahnya, semuanya telah terbenam, terkambus. Tengok Pantai Lido sudah lah, apatah lagi Kulai pekan koboi ni.

Aku terkejut dan apa yang dikatakan adalah realiti yang aku sendiri melihatnya selama ini – bertemu persefahaman.

Kulai ini bukan sahaja sekadar mempunyai pekan mati tetapi juga tempat kesayangan pelabur kapitalis dalam membangunkan industri kilang dan kawasan perumahan yang kononnya dikatakan kemajuan oleh mereka dan disahut leka oleh rakyat tempatannya sendiri. Tapi disebalik ini semua memang ada sejarahnya sendiri dimana Kulai pernah menjadi markas terbesar tentera Parti Komunis Malaya (PKM) dan juga menjadi pengaruh awal terhadap komunis di Johor. Itu satu hal, hal-hal lainnya ialah Kulai ini adalah kawasan peneroka yang datang dari China melalui Kota Tinggi, Johor dan juga pengeksport balak, sumber makanan kepada Singapura serta mempunyai sungai-sungai yang menghubungkan kawasan daratannya sehingga Singapura serta Timur, Utara, Selatan dan Barat Kulai sendiri.

Sungai-sungai yang terdapat disekitarnya pula adalah berpunca daripada wujudnya “Kulai Yong” iaitu Gunung Pulai sekarang. Daripada Gunung Pulai inilah yang menjadikan sungai-sungai yang masih mengalir wujud sehingga sekarang walaupun sudah dilihat seperti aliran air longkang atau parit sahaja. Kerana sungai ini jugalah peneroka daripada China yang berbilang kaum tertarik untuk datang mendirikan tamadun.

Disebabkan sungai yang banyak inilah juga, menjadi amat sesuai jika mahu mendirikan penempatan awal di Kulai yang dahulunya hutan tebal. Tapi sekarang, kekayaan sumber alam yang telah ditukar menjadi ladang sawit seluas-luasnya dan geografi yang sudah berubah dari bukit-bakau kepada tanah rata, sungai-sungai yang ada ini sekadar ada sahaja, sudah tidak dipeduli lagi walaupun saki bakinya masih ada.

Begitu juga aku (generasi ketiga, cucu peneroka Felda di Kulai), sering tertanya-tanya kenapa hampir seluruh Felda di Kulai nama setiap kampungnya mesti bermula dengan nama Bukit dan Sungai. Seperti contoh, Felda Bukit Besar, Felda Bukit Ramun, Felda Bukit Batu, Felda Sungai Sayong, Felda Sungai Sibol, dan lain-lainnya. Rupa-rupanya, nama ini semua mencerminkan bahawa Kulai itu memang secara geografinya adalah kawasan bukit tinggi dan mempunyai hubungan melalui sungai-sungai ini.

Tapi, ketika aku tertanya-tertanya dengan persoalan itu ketika kecil, sungai dan bukit itu tidak menunjukkan buktinya lagi kerana sungai dan bukitnya “hidup segan mati tak mahu”. Faham kan? Tambah pula, orang yang aku tanya pun tak tahu logiknya.

Ketika kerja-kerja menjejak dilakukan, aku bersama teman kolektif lainnya sehingga mendaki beberapa bukit melalui Felda Taib Andak menunggang motor. Antara bukit yang telah aku sampai iaitu Bukit Lawang, sempadan antara Felda Taib Andak dan Felda Inas Selatan. Dari puncak Bukit Lawang itu aku difahamkan oleh Acong (kawan dari Taman Anjaria) yang membawa kami, menunjukkan terdapat bukit-bukit lain yang ada di sekitarnya.

Dari berlainan sudut akan dapat lihat sehingga ke Bukit Batu, Sungai Sayong, malah sehingga ke kawasan Johor Bahru. Bukit Lawang itu sahaja mencecah 600kaki tingginya. Jadi, apa yang aku dapat didalam penulisan Tang Kok Sang sedikit sebanyak sudah dapat terbayangkan. Amat merugikan keseluruhan hutan yang tebal telah ditukar kepada projek mega kelapa sawit. Hutan yang ada sekadar sebaris, itupun untuk menjadikan tanda sempadan antara Felda Inas dan Felda Taib Andak sahaja.

Berbalik kepada perenggan di atas yang aku katakan telah berjumpa dengan sekumpulan “otai” di hentian teksi lama. Mereka-mereka ini semua boleh dikatakan penduduk awal sekitar tahun 60an lagi. Aku beruntung dapat jumpa mereka kebetulan waktu aku sampai ke Tan Yoke Fong, mereka semua sedang menjamu angin bayu sambil-sambil menunggu pelanggan untuk menaiki “kereta sapu”. Kebanyakkan pelanggan mereka memang pelanggan tetap atau pelanggan yang sudah biasa dengan mereka.

Waktu itu, aku tak mahu cakap banyak sebab teruja nak tau info. Lepas sahaja mereka semua berkongsi banyak perkara sejak awal 60an, seperti kadar sewa rumah berharga Rm6 ketika itu, gaji kerja di Majlis Daerah Rm70, menerangkan kawasan-kawasan lama dan banyak lagi, aku terus mulakan dengan satu pertanyaan kepada mereka;

pakcik semua pernah dengar pasal Kota Kaca?

Aku teruskan lagi dengan sedikit penerangan kepada mereka sambil semua menunjukkan riak wajah yang tertanya-tanya.

apa yang saya dapat daripada buku yang saya baca, dulu, Kulai ini ada satu penempatan awal, pada abad awal ke-19 yang diberi nama Kota Kaca. Kawasan ini tapaknya berada didalam kawasan perkampungan Felda Taib Andak melalui Taman Anjaria sekarang.

Bermakna, sebelum kawasan Tan Yoke Fong digelar Pekan Baru ketika itu dan wujud pula Pekan Kulai selepas itu, Kota Kaca lah segala-galanya di Kulai ini. Penduduk awal di situ adalah orang-orang dari Teochew China yang menerokanya.

Setakat itu je aku bertanya. Terus beberapa orang membantah (melatah) pertanyaan aku sebelum mereka terpinga-pinga dan mempersoalkan pula antara mereka satu sama lain. Memang terkejut, aku sendiri masih lagi teruja nak tahu hal itu. Paling membingungkan mereka semua, 3 daripada 6 orang antara mereka adalah penduduk jati Taib Andak – Anjaria tersebut. Mati-mati mereka menafikan hal tersebut, mereka kata kalau ada pun peninggalan sejarah atau bukti, pasti satu kampung dah kecoh. Kampung di Felda Taib Andak bukanlah besar mana, paling kuat pun ada 3 blok. Setiap satu blok pun tak banyak rumah, kebiasaanya 30 buah rumah atau lebih sedikit. Antara Kota Kaca – Pekan Baru Kulai (Tan Yoke Fong sekarang) – Pekan Kulai (pekan mati) – Bandar Baru Kulai (Indahpura) masih banyak yang tak tahu hal ini.

Hairan, ada betulnya juga apa yang mereka cakap. Tapi aku tepis lagi, aku katakan pada mereka,

penulis buku yang saya baca dan dapat maklumat disitu menulis buku sejarah tentang Kulai sejak 1993. Tapi buku yang saya baca tak tahu tahun berapa diterbitkan. Tapi lagi, waktu buku yang saya baca tu terbit, dia sertakan gambar didalamnya. Ada salah satu gambar beserta tarikh pada tahun 2001. Saya syak buku tu terbit pada tahun itu. Dalam buku tu pun ada menyatakan bahawa bekas tokong yang pecah dan kubur Cina lama yang bernama masih ada boleh dijadikan bukti bahawa disana memang ada sebuah penempatan.

Lagi bertambah bingung pakcik tu semua. Mana tak, mereka semua generasi terawal kat Taib Andak, tapi tak pernah dengar dan tak pernah tau kewujudan kubur tu. Ada diantara mereka pula mengatakan pada semua, kalau-kalau memang betul sejarah ini cuma peninggalan kubur dan tokong lama, mungkin sudah diratakan untuk dijadikan projek kelapa sawit. Itu pendapat dia lah.

Aku terangkan lagi,

Kota Kaca ni muncul pada abad ke-19, masuk abad ke-20 Tan Yoke Fong telah membuka Pekan Baru Kulai. Pekan Baru itu sekarang sudah menjadi kawasan perumahan lama Tan Yoke Fong yang sekarang. Mungkin termasuklah tempat hentian teksi lama (tempat aku berjumpa mereka) ini.

Keluasan tanah Tan Yoke Fong, Pekan Baru ketika itu sehinggakan sempadan keretapi (sekarang) dan Tan Yoke Fong sendiri membuka Panggung Wayang ketika itu di bangunan Saaka Nilai (sekarang). Barulah bekas Pekan Kulai yang sekarang ada, ini pun rentetan dari Kota Kaca dan Pekan Kulai Baru (Tan Yoke Fong).

Nampaknya, reaksi pasal Tan Yoke Fong memang tak aneh lagi untuk generasi mereka, penuh nostalgik mendengar perkongsian daripada “otai” tersebut. Tetapi hal Kota Kaca masih menjadi tanda tanya termasuk aku sekali. Sejarah Pekan Baru (didalam Buku Lagenda Sungai-Sungai Kulai) Pada tahun 1860an, sebelum Kulai diterokai, hanya segelintir orang Cina dan Melayu yang membina pondok-pondok mereka secara berselerak di tebing sungai. Pada masa itu, atas sebab tidak ada kemudahan pengangkutan darat, Sungai Kulai (Sg. Skudai sekarang) digunakan untuk pergi dan balik dari Johor Bahru.

Mereka menggunakan sampan untuk menuju ke Senai, Skudai, Batu Lapan Setengah dan Johor Bahru untuk mencari makanan dan menjalankan urusan. Pada awal abad ke-20, orang Hainan iaitu Tan Yoke Fong tiba di Pekan Baru. Dibawah usaha beliau, kawasan hutan ini diterokai menjadi sebuah pekan kecil. Pekan ini dapat dilihat apabila melintasi Sungai Kulai. Di sebelah kanan Jambatan Sungai Kulai, blok pertama ialah Pejabat Kwang Chang, diikuti dengan kedai-kedai papan satu tingkat yang melebihi 20 buah. Kedai-kedai ini digunakan untuk menjalankan pelbagai perniagaan. 50% daripada kedai-kedai ini digunakan untuk membuka kedai makan.

Disebelah kiri jambatan pula terletaknya kedai gambar Shang Hu. Di belakang kedai ini ada dua buah rumah pelacuran. Lingkungan tanah yang bermula dari pejabat Kwang Chang sehingga ke Kilang Plastik Zhang Hua yang seluas 70 ekar dimiliki oleh seorang peneroka berbangsa Hainan juga, iaitu Fu Wen Zhang. Pada tahun 1936, Fu Wen Zhang menjualkan tanah tersebut kepada Lin Kun Sheng, orang Hokkien yang menetap di Singapura.

Lin Kun Sheng kemudiannya mendirikan Kilang Plastik Zhang Hua di tebing sungai. Fu Wen Zhang membeli sebidang tanah yang seluar lebih kurang 2000 ekar di Taman Kluang untuk tujuan penanaman ubi kayu. Pada masa itu, Fu Wen Zhang mempunyai ratusan buah kereta lembu bagi mengangkat hasil tanaman ke Kilang untuk diproses menjadi tepung ubi sebelum di hantar ke Singapura.

Keluasan tanah yang lebih kurang 20 ekar di sebelah kiri Jambatan sungai dimiliki oleh Tan Yoke Fong. Beliau merupakan Ghang Zhu (pentadbiran kawasan) disana. Beliau sentiasa memburu di Kota Kaca dengan arwah Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar. Hubungan Tan Yoke Fong dengan Sultan amat erat. Selain menghadiahkan dua buah kereta, Sultan juga menghadiahkan Tan Yoke Fong dua bidang tanah. Kemudian dua bidang tanah itu di jualkan tersebut kepada Persatuan Hainan dan ahli jawatankuasa tanah kubur Tionghua. Keluasan itu masing-masing 40000meter persegi dan 20 ekar geran kedua-dua bidang tanah itu adalah ‘geran merah’ iaitu tidak boleh ditukar milik.

Selain menjalankan kerja penanaman sayur, kadang buah-buahan dan perniagaan kecil, mereka yang memiliki tanah juga menggali tanah mereka untuk di jadikan kolam penternakan pelbagai jenis ikan untuk dijual. Kolam-kolam ikan ini ialah Kolam Ikan Fu Da Zhong (sebelum Sungai Kulai), Kolam Ikan Kwang Chang, Kolam Ikan Fu Wen Zhang (dibelakang pawagam Moonlight), Kolam Ikan Tan Yoke Fong (di belakang banglo Tan Yoke Fong). Pada tahun 1932, Tan Yoke Fong membuka Pawagam Star yang berhampiran dengan landasan kereta api.

Pawagam ini biasanya digunakan untuk persembahan opera Kantonis dan Hainan. Sebuah pawagam lagi, iaitu Pawagam Moonlight dibuka pada tahun 1935 oleh Fu Wen Zhang. Pawagam ini mempunyai 200 hingga 309 tempat duduk dengan bayaran tiket 20sen hingga 40sen. Pawagam ini menayangkan gambar dua kali sehari iaitu pada waktu petang dan malam.

Pada masa itu, Pekan Baru merupakan pekan kecil yang agak sibuk. Tidak kira siang atau malam, penghuni-penghuni dari Kedai Tiga Segi, Syarikat Tiga, Lao Shu Lang, Bukit Nanas, Lao Ju Gang, Kota Kaca dan Kulai masing-masing datang ke sana untuk membeli-belah atau menghiburkan diri mereka di Pawagam Moonlight dan Pawagam Star.

Pada tahun 1930an, walaupun Pekan Baru bukanlah tempat yang populor, namun disinilah terdapatnya menu mee goreng, mee daging lembu dan roti yang sedap belaka. Penjual mee goreng yang pertama ialah Gu Ting. Beliau tinggal berhampiran dengan Kedai Gambar Shang Hu. Setiap subuh dia akan memunggah mee buatannya sendiri di depan kedai runcit di Pekan Kulai. Pada masa itu, harga sepinggan mee hanyalah 3 sen sahaja. Kemahirannya Kemudian diajar kepada Ye Shu Ci pemilik Restoran Yuan Yuan Loi Mai Zhi Lai dan lain-lain lagi.

Lee Xue Sheng merupakan penjual mee daging lembu pada masa itu. Setiap hari dia memunggah makanan jualannya ke lorong yang berhampiran dengan Restoran Kiaw Ah di pekan Kulai. Kedai roti yang pertama di Kulai dikendalikan oleh Fu Shu Bin dan Fu Hong Zao. Setiap hari kedai roti ini menghasilkan beberapa ratus buku roti kepada setiap tempahan dari estet-estet. Roti-roti mereka tidak dijual kepada orang awam. Pada tahun 1949, selepas darurat, kerajaan British mengarahkan ribuan penghuni Pekan Baru agar berpindah ke Pekan Sultanah dan Pekan Ibrahim. Sejak dari itu, Pekan Baru menjadi kawasan terbiar.

Jambatan Sungai Kulai merupakan tempat permainan kanak-kanak pada zaman sebelum dan selepas perang. Pada masa itu tiada tempat rekreasi atau hiburan disediakan. Selepas waktu persekolahan, kebanyakan remaja dan kanak-kanak akan bermandi-manda di Sungai Kulai tidak mengira jantina.

Terdapat pelbagai jenis kehidupan air yang didapati di Sungai Kulai, khasnya kura-kura dan labi-labi. Oleh sebab itulah tempat ini dinamakan Gui Lai (Kulai) dengan membawa maksud kehadiran kura-kura. Sejak Zaman penerokaan Kulai, Jambatan Sungai Kulai telah dirobohkan dan dibina semula sebanyak enam kali.

Pada tahun 1900, jambatan ini dibina dengan kayu. Panjangnya lebih kurang 25 meter dan lebarnya 5 meter. Selain untuk kegunaan para penghuni, Jambatan ini digunakan sebagai laluan kereta-kereta lembu Fu Wen Zhang yang berjumlah kira-kira 100 buah. Kereta lembu ini digunakan untuk mengangkat tepung ubi dari Kulai ke Singapura.

Jambatan ini dibina atas kerjasama Fu Wen Zhang dan Tan Yoke Fong iaitu pemilik-pemilik tanah di kawasan itu. Pada tahun 1930, satu kejadian banjir telah merobohkan jambatan ini. Selepas dijalankan kerja membaik pulih semula, jambatan ini dilebarkan sehingga 8 meter bagi memudahkan laluan kenderaan.

Kejadian banjir yang berlaku pada pertengahan tahun 1940an, sekali lagi telah memusnahkan Jambatan ini, kerja pembaikkan kali ini dijalankan oleh Lee Sheng, pemilik kilang papan Zhong Yuan. Dengan penggunaan kayu balak yang berjumlah kira-kira 20 batang, jambatan ini menjadi lebih kukuh. Pada tahun 1949, demi memudahkan kerja penghapusan askar komunis di Kota Kaca, tentera British mengubahsuai jambatan ini menjadi sebatang jambatan besi untuk laluan kenderaan tentera yang berat. Namun, selepas digunakan selama 30 tahun, jambatan ini sekali lagi dimusnahkan oleh arus air. Untuk mengatasi masalah ini, parti DAP telah memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan membaiki jambatan tersebut.

Pada tahun 1989an, demi keselamatan para pengguna, jambatan ini dirobohkan dan diganti dengan jambatan simen. Namun, kelebaran jambatan baru ini disusutkan sehingga setengah daripada kelebaran asalnya, iaitu hanya boleh dilalui oleh sebuah motorsikal sahaja. Ini telah memberi kesan negatif kepada kerja-kerja dan pendapatan para penghuni di kawasan itu. Pada Oktober 2001, jambatan ini dibina semula lagi oleh Jabatan Pengairan supaya ia dapat digunakan oleh kenderaan yang lain.

KOTA KACA – KAWASAN YANG DITEROKAI OLEH ORANG TEOCHEW

Seawal hujung abad ke-19, dengan perlaksanaan sistem Gang-Zhu di Johor, orang-orang Teochew telah tiba di Kota Kaca, Kulai untuk menjalankan kerja penerokaan bagi tujuan penanaman gambit dan lada hitam. Namun, selepas zaman pendudukan Jepun dan darurat, penghuni-penghuni telah pindah dari sini. Kini, kawasan ini dijadikan ladang kelapa sawit. Sungai yang lebar, tokong Cina yang roboh serta beberapa buah kubur merupakan peninggalan yang masih boleh di kesan.

Mengikut maklumat Encik Tang Kok Sang, pengkaji sejarah Kulai, pentadbiran (Gang-Zhu) Kota Kaca pada masa itu ialah Chen Jing Tang.

Beliau berasal dari Canton, China. Beliau meneroka Pelabuhan De Hua Xing di Layang-layang, daerah Kluang. Atas jasanya, beliau telah dianugerahkan pingat oleh Sultan Johor. Selain itu, Chen Jing Tang juga pernah menjawat jawatan timbalan presiden Persatuan Peniaga-Peniaga Tionghua Singapura yang ke-14 serta Pengarah Sekolah Duan Meng di Singapura. Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Persatuan Teochew Singapura yang turut menjawat sebagai penasihat serta pengarah persatuan.

Kota Kaca terletak di bahagian Utara Kulai, berdekatan dengan Layang-layang. Untuk sampai ke Kota Kaca, ikut jalan yang menuju ke Kota Tinggi dari arah Kulai, Kemudian belok kiri masuk ke Taman Anjaria. Selepas melalui kilang kelapa sawit, masuk ke dalam ladang kelapa sawit, iaitu kawasan lingkungan Kota Kaca. Mengikut Encik Tang Kok Sang, Kota Kaca mencakupi Keluasan 2000 ekar. Pada tahun 1960-an, jabatan pembangunan memajukan kawasan di sekitar Kota Kaca serta meneroka satu kawasan penempatan yang dinamakan Taman Bahagia.

Di dalam Kota Kaca ini terdapatnya Sungai Kota Kaca yang berhubung dengan Sungai Sayong. Hulu sungai ini menghala ke Layang-layang sementara hilirnya pula menghala ke Kota Tinggi. Pada masa silam, Sungai Kota Kaca merupakan jalan pengangkutan yang utama untuk para penghuni tempatan berhubung dengan dunia luar.

Mengikut maklumat salah seorang penghuni yang pernah tinggal di Kota Kaca, iaitu Encik Chen Zhi Ming, pada tahun 1950-an, hasil getah disini diangkut ke Kota Tinggi dengan Sungai Kota Kaca. Pada masa itu, kebanyakkannya penghuni Kota Kaca bekerja sebagai penoreh getah. Kemudian, kerja penanaman getah digantikan dengan penanaman kelapa sawit.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kemunduran Kota Kaca, antaranya termasuklah kedudukan geografi yang terlalu jauh dari jalan Raya. Pada zaman penaklukan tentera Jepun, bilangan penghuni disini semakin berkurangan. Pada zaman darurat, disebabkan Kota Kaca merupakan tempat dimana ahli-ahli Parti Komunis Malaya bergiat aktif, kerajaan British mengarahkan agar penghuni-penghuni di kawasan ini dipindahkan ke Kulai, dengan itu, mundurlah Kota Kaca dengan kesan-kesan peninggalan yang hanya merupakan sebuah toking Cina serta beberapa buah kubur.

Batu nisan kubur-kubur ini membuktikan banyak orang Teochew pernah menetap disini. Orang-Orang Teochew Di Kota Kaca Pada hujung abad ke-19, seorang Teochew yang berumur dalam lingkungan 20-an mengetuai lebih kurang 20 orang Teochew tiba di Singapura dari China dengan sampan. Dari Singapura, mereka tiba di Kota Tinggi dengan menggunakan Sungai Tian Ji. Tidak jauh dari Pelabuhan Lao Ju, sampai lah mereka di Kota Kaca.

Pemuda ini merupakan Gang Zhu (pentadbir) Kota Kaca pada masa itu, iaitu Chen Jing Tang. Beliau dilahirkan pada tahun 1856 dan meninggal pada tahun 1941. Bapa beliau, iaitu Chen De Sheng merupakan Gang Zhu Kota Tinggi. Selain membuka Kota Kaca, Chen Jing Tang juga membuka Layang-layang.

Pada tahun 1960, kerja meneroka hutan di kedua-dua tempat ini telah dijalankan. Dua kawasan perubahan yang dimajukan masing-masing mempunyai keluasan tanah 2000 ekar yang ditetapi 400 buah keluarga. Setiap keluarga diagihkan 8 ekar tanah, antaranya 6’mu’ tanah digunakan untuk penanaman kelapa sawit dan pokok getah, 2‘mu’ lagi digunakan untuk penanaman tanaman lain serta pembinaan rumah. Setiap kawasan penempatan mempunyai penghuni melebihi 2000 orang.

Pada tahun 1954, Chen Jing Tang yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Peniaga-Peniaga Tionghua Singapura yang ke-14 menjadi pengarah Sekolah Duan Meng dan penasihat Persatuan Teochew di Singapura. Di Kota Kaca, terdapat sebatang sungai. Kelebaran sungai ini lebih kurang 30m, manakala kedalamannya 15m hingga 20m. Hulu sungai ini ialah Sungai Layang-layang, bahagian tengahnya ialah Pelabuhan Tian Ji dan hilirnya Sungai Kota Tinggi.

Pelbagai hidupan air yang terdapat didalam sungai ini menjadi makanan utama penduduk di Kota Kaca. Selain itu, sungai ini juga memainkan peranannya dalam kerja penanaman gambit, aktiviti harian penghuni serta menjadi sistem pengangkutan yang utama.

Pada hujung abad ke-19, orang-orang Teochew yang berada disini menjalankan kerja-kerja penanaman gambit, namun pada awal abad ke-20, kerja penanaman gambit diganti dengan penanaman pokok getah dan nanas. Dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah, sebuah sekolah cina telah didirikan. Pada masa yang sama, beberapa buah kedai turut dibina untuk menjalankan perniagaan kedai runcit, restoran dan kedai gunting.

Pada tahun 1891, orang-orang Teochew membawa sebuah patung dewa dari China untuk didudukan dalam sebuah pondok di tebing sungai agar menyenangkan penghuni-penghuni bersembah. Pada tahun 1920, patung dewa ini dipindahkan ke sebuah estat getah di Batu 24. Patung dewa ini dikenali Hong Xian Gong di Sengkang, Kulai. Para penghuni amat mempercayai kuasa dewa ini. Pada tahun 1930, iaitu zaman pemerintahan British, satu kejadian dimana sebuah kereta api terbabas kerana tidak berhenti di Batu 22, Kulai untuk para pendatang bersembah. Kejadian ini menyebabkan tempat ini sebagai salah satu tempat persinggahan kereta api yang melalui Kulai.

Pada awal abad ke-20, Gang Zhu Tan Yoke Fong (orang Hainan) membuka Pekan Baru. Lebih kurang 40 buah kedai dibina disana untuk menjalankan pelbagai perniagaan, termasuk kedai makan, kedai roti, rumah pelacuran dan pawagam. Tan Yoke Fong sering memburu di Kota Kaca bersama bekas Sultan Johor, iaitu Sultan Abu Bakar. Selain menganugerahkan tanah kepada Persatuan Hainan Kulai (1 ekar) serta jawatankuasa perkuburnan Tionghua (20 ekar) atas permohinan Tan Yoke Fong sebuah kereta keluaran Amerika Syarikat.

Pada 8.12.1941, tentera Jepun mula menakluki Tanah Melayu. Bangunan-bangunan yang penting di semua negeri di bom oleh mereka. Pekan Kulai, Bangunan Persatuan Hainan di Pekan Baru juga musnah di bom oleh tentera Jepun. Kebanyakan penghuni berebut ke Kota Kaca untuk mencari perlindungan. Orang-orang Teochew di Singapura dan Gelang Patah juga pergi ke Kota Kaca untuk Berlin dung dalam sebuah sekolah cina.

Pada tahun 1949, dengan pengisytiharaan darurat, semua penghuni di Kota Kaca, Pelabuhan Lao Ju, Pelabuhan Tian Ji, Lao Shu Lamg, Kedai Tiga Sudut Syarikat Tiga dan Pekan Baru diarahkan untuk berpindah ke Kulai dan Tinggal dalam bangunan-bangunan yang di sediakan oleh kerajaan. Kawasan Kulai juga dipagari dengan dawai duri demi menyekat para penghuni keluar dari tempat tersebut.

Kulai merupakan zon yang paling hitam pada masa itu kerana PKM (Parti Komunis Malaya) sering bertindak disana dan menentang tentera British. Kota Kaca adalah tapak utama PKM. Dalam hutan yang seluas 1000 ekar inilah ahli-ahli PKM bermesyuarat dan berlatih.

Pada tahun 1950, kerajaan British mengarahkan beberapa buah kapal terbang untuk mengebom hutan Kota Kaca setiap hari. Namun tindakan itu tidak memberi kesan kepada pihak PKM. Pada tahun 1958, kerajaan mengisytiharkan zon putih di Malaya selepas diadakan beberapa kali rundingan, akhirnya pihak PKM bersetuju untuk meletakkan senjata mereka. Sejak pengisytiharaan zon putih, orang-orang Teochew memiliki banyak ladang getah dan ladang kelapa sawit di Kota Kaca.

Kerja-kerja menoreh getah dan mengutip kelapa sawit dikontrakkan kepada penghuni Kulai. Terdapat sebahagian besar juga ladang-ladang ini ditukar milik kepada penghuni-penghuni Kulai. Dengan berlalunya masa, kesemua bangunan, sekolah, pelabuhan telah tidak didapati lagi. Apa yang tinggal disini hanyalah beberapa buah kubur sahaja.

Happy
Happy
100 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *