Oleh: Redo
Semenjak kini, kaedah hiasan dalaman rumah menggunakan tanaman telah menjadi bualan dan menjadi sebuah trend yang agak hangat. Ramai berpendapat dan juga mempelajari bahawa dekorasi penggunaan tanaman seperti beberapa jenis tumbuhan mampu mengatasi dan memperbaiki emosi dan seumpamanya. Selain itu juga dengan cara ini ia berhubung kait dengan cara kehidupan ke arah kesedaran bahawa pentingnya persekitaran yang baik (hijau) daripada pesatnya pembangunan.
Perkara ini jelas jika dilihat daripada perspektif kemajuan pembangunan bilamana kehidupan hijau yang mampu mengimbang ekosistem bumi dan kesejahteraan kehidupan dari tempiasnya pemanasan global akibat penggondolan hutan contohnya dapat mengancam kehidupan di bumi. Selain malapetaka secara besar-besaran seperti banjir, udara yang tercemar, kadar virus yang tinggi, kekurangan sumber makanan, konsumerisme dan lain-lain, ia sangat memberi kesan kepada psikologi serta kesihatan mental dan fizikal manusia.
Tanaman Dalam Rumah
“Tanpa mengira jenis tumbuhan atau indoor plants yang diletakkan sama ada di ruang pejabat mahupun di rumah, semestinya ia dapat mengurangkan tekanan yang dialami.
Dalam kajian yang dilakukan oleh Department of Horticulture and Landscape di Washington State University mendapati pekerja yang melakukan tugas melibatkan komputer akan mengalami penurunan dalam tekanan darah sistolik apabila terdapat tumbuhan yang ditambah dalam kawasan persekitaran.
Keadaan ini sekali gus dapat meningkatkan tumpuan dan tahap pemerhatian.”
Itu adalah secara drastiknya dan bagi usaha kecil-kecilan, kaedah penanaman di kawasan rumah, dalam atau luar, selain menjadi penghias, ada beberapa manfaat yang manusia sedang ambil dari segi kepentingan individu. Sebagai contoh, ada beberapa jenis tanaman yang dikatakan mampu menjadi terapi kepada manusia, ada juga yang menghasilkan udara yang baik di dalam tempat yang tertutup, ada juga menjadi sumber makanan dan juga dapat memberi ketenangan serta membantu merawat masalah seperti stress dan lain-lain.
Alam Berkorban Demi Pembangunan
Pada ketika manusia keluar ke bandar sewaktu tempoh lama dahulu, mereka merasakan bahawa kehidupan di bandar adalah kemajuan dan harus dikejar jika tidak mahu ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan hatta kemewahan itu sendiri. Tujuan untuk keluar dari kampung halaman sudah menjadi trend, selepas tamat tempoh pengajian universiti, mencari peluang pekerjaan dan pada akhirnya menetap di bandar. Persekitaran bandar pada awalnya masih belum terancam sepenuhnya oleh kerana bandar adalah sebuah rancangan pusat pentadbiran, tetapi setelah itu menjadi pusat pembangunan dan sudahnya, persekitaran yang diliputi dengan hutan, bukit-bakau, sumber bumi musnah demi menampung kepesatan ini.
Dalam masa yang sama, perubahan-perubahan ini tidak berlaku hanya di satu kawasan atau tempat, malah, pembangunan yang dimonopoli oleh kapitalisme (pasaran bebas) berleluasa di serata dunia. Perkara ini tidak pernah berhenti malahan sehingga ke hari ini masih terus dengan pelbagai projek dan rancangan. Baru-baru ini, Forest City di Johor yang juga menjadi penaja kelab bola sepak JDT juga mendapat liputan luar negara, bila mana projek yang dihasilkan ini adalah projek paling useless dan merugikan di dunia setakat ini serta beberapa projek lain di negara luar.
Forest City adalah kawasan pinggiran pantai serta berhampiran kawasan perkampungan di Gelang Patah. Ia telah ditambak, diratakan demi membina sebuah bandar baharu sefahamnya. Gara-gara itu, sumber alam yang wujud, begitu tragis dirosakkan demi kepentingan kekayaan malahan tidak membawa hasil kepada penduduk lokal atau pribumi sendiri, tambahan juga ia merugikan dari segi bisnes.
Ancaman Manusia Terhadap Keseimbangan Bumi
Ekoran daripada contoh-contoh ini, dunia pada hari ini dilanda beberapa ancaman globalisasi yang merisaukan. Di mana alam kehijauan yang membantu proses keseimbangan bumi banyak telah musnah. Tambahan munculnya pelbagai virus yang mengancam nyawa. Pencemaran udara seperti jerebu, membuatkan masyarakat hidup lebih pendek dan stress. Pencemaran air dan lain-lain menjadikan kehidupan kita semuanya serba serbi dalam tekanan sejak dilahirkan. Kesannya, proses kehidupan menuju kematian tidak dapat dinikmati dengan sesungguhnya.
Kesedaran manusia bahawa berpatah balik kepada kehidupan hijau ini telah mendapat tamparan hebat kepada setiap individu. Malahan aktivis-aktivis alam sekitar, aktivis permaculture, aktivis politik membawa agenda ini secara terbuka. Perkara ini telah menciptakan permusuhan dengan kelas-kelas penguasa, kapitalisme dan golongan elit. Akibat pergeseran yang berlaku dengan melibatkan kesejahteraan hidup serta kestabilan ekosistem.
Berbalik kepada usaha-usaha kecil, kesedaran ini telah mengubah kepada kepentingan persekitaran yang baik. Oleh itu, trend hiasan dekorasi dalaman kini lebih kepada tanaman-tanaman yang dapat membantu sebagai terapi selain hiasan semata-mata.
Walau bagaimanapun, kita sentiasa perlu belajar tentang tumbuhan dan tanaman. Tentang jenis-jenis tanaman, fungsi-fungsinya, tentang kesesuaian, keperluan dan kepentingan. Ini penting bagi menjadikan trend ini penuh ilmiah dan tidak pada keuntungan semata-mata. Jika keuntungan difikirkan tidak ubahlah seperti mereka yang mengeksploitasi alam ini. Sudahnya, ilmu dan kesedaran itu tidak ada, malahan timbul pula isu-isu yang biasa dilawan oleh kaum permaculturist.
Jadi, dibawah ada perkongsian dari sumber bacaan atas talian serta buku rujukan. Beberapa contoh tanaman indoor yang membantu sebagai terapi dan lain-lain.
Terdapat beberapa pokok terapeutik yang boleh membantu membersihkan udara. Antaranya spesies tumbuhan yang popular adalah seperti:
- Philodendron
- Peace Lily
- Aloe Vera
- Snake Plant (aka Lidah Mak Mertua)
- Spider Plant
- Boston Fern
- Chrysanthemums
- Weeping Fig
- English Ivy
- Gerbera Daisy
- Bamboo Palm
- Asparagus Fern
- Rubber Plant
- Lucky Bamboo