Gotong-royong Pelihara Tapak Perkuburan

Oleh: Iltizam Iman

PARIT SULONG – Hari ini, AJK Masjid Kampung Kangkar Merlimau menganjurkan gotong-royong bersama orang kampung untuk membersihkan tapak perkuburan kampung mereka. Aktiviti yang dijalankan telah menghidupkan lagi suasana menjelang Ramadan.

Gotong-royong pembersihan ini juga sudah sebati menjadi rutin setiap tahun penduduk Kampung Kangkar Merlimau, di mana ia adalah antara aktiviti utama selain kerja-kerja merapati golongan asnaf dan beberapa kerja amal lagi.

Boleh dikatakan, ini adalah tradisi yang perlu dijaga dan diteruskan oleh kalangan muda.

Mohd Ferdaus atau dikenali sebagai Pak Tam memberitahu, kerjasama sebegini penting bagi mengekalkan semangat bergotong-royong dalam masyarakat. Secara semula jadi, ia menguatkan tali hubungan antara yang muda, dewasa dan warga emas.

Menurut Pak Tam lagi, melalui aktiviti ini juga komuniti dapat mengetahui permasalahan kampung dan isu sekitar. Gotong-royong boleh menjadi tempat untuk saling bertukar semangat, serta pendapat.

Selain tapak perkuburan menjadi bersih dan terjaga, aktiviti gotong-royong secara semula jadi akan membuatkan sejarah yang ada di sekitar komuniti menjadi terbela.

Kubur adalah satu peninggalan sejarah yang wajar dipelihara. Kerana pertama sekali, ia mengingatkan manusia tentang kematian seterusnya dapat mendekatkan mereka kepada realiti yang paling asas.

Kedua, batu nisan adalah artifak budaya yang menjadi tanda peralihan masa dan perkembangan tamadun. Satu hari nanti, masyarakat akan memandang batu nisan hari ini juga seperti mana pengkaji kita sekarang memandang khazanah Batu Aceh.

Melalui aktiviti gotong-royong ‘menjaga dan membersih’ sebegini, perhubungan komuniti akan semakin subur dan suasana kehidupan yang lebih baik dapat diraikan. Semangat gotong-royong adalah semangat terbaik untuk menempa kesejahteraan komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *