Kastam Terengganu rampas rokok seludup bernilai hampir RM100,000

 

KUALA TERENGGANU, 7 April  — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas sebanyak 747,120 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM99,818 dalam dua serbuan berasingan di daerah Setiu dan Marang pada 31 Mac lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan rokok tersebut melibatkan duti import bernilai RM503,051.

Beliau berkata serbuan pertama dijalankan di pesisir pantai di Lembah Bidong, Setiu kira-kira pukul 1 pagi dan menemukan sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang belum diluluskan JKDM di dalam bungkusan plastik hitam.

“Ketika serbuan dilakukan, sindiket ini sedang memindahkan rokok seludup dari sebuah bot untuk dibawa ke lori yang sedang menunggu di kawasan pantai. Namun, kita gagal menahan mereka yang terlibat kerana mereka sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Bagaimanapun dalam serbuan itu, kita berjaya merampas sebanyak 508,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM66,040 melibatkan duti import RM341,884,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Terengganu, di sini hari ini.

Abdul Latif  berkata serbuan kedua pula dilakukan pada hari sama di sebuah rumah kedai di Kampung Pak Madah, Marang dan menjumpai 239,120 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM33,778 melibatkan duti import RM162,167.

“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita berumur 20 dan 43 tahun yang merupakan pemilik premis dan pekerja rumah kedai tersebut,” katanya.

Abdul Latif berkata kesemua rampasan yang dipercayai untuk pasaran tempatan itu telah disita dan dibawa JKDM Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Kita akui kes penyeludupan rokok di negara ini adalah serius berikutan mendapat permintaan yang tinggi. Ini kerana harga rokok seludup lebih murah berbanding rokok yang sah dan diluluskan kastam. Contohnya, rokok yang sah dijual pada harga RM12 hingga RM17 sekotak manakala rokok tidak sah (seludup) pula harganya hanya RM7 hingga RM10 sekotak,” katanya.

Beliau berkata kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan import yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai atau RM100,000 hingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas sebanyak 894.46 juta batang rokok bernilai RM74.96 juta dengan duti import sebanyak RM661.90 juta berjaya dirampas pihaknya di seluruh negara.

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, lebih 70 juta batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM6.36 juta dengan nilai duti import RM54.28 juta telah dirampas oleh JKDM di seluruh negara.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply