
BEIJING, 3 April — Hubungan bilateral China-Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terus diperkukuh menerusi usaha bersepadu kedua-dua pihak dan kerjasama dua hala ini berpotensi untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang.
Pada sidang akhbar, Jumaat jurucakap Kementerian Luar Hua Chunying berkata Malaysia ibarat jiran saudara, dan rakan yang akrab dalam kerjasama pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta usaha melawan pandemik COVID-19.
Menurut Hua, China dan Malaysia bersama menyokong kesaksamaan dalam memelihara hak kedaulatan, menentang tindakan mencampuri urusan dalaman negara lain, dan komited membina hubungan antarabangsa berdasarkan prinsip saling menghormati, adil dan saksama serta kerjasama untuk manfaat bersama.
Hua Chunying berkata Menteri Luar Wang Yi dan rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah sepakat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerjasama peringkat tinggi untuk menyelaraskan pelaksanaan strategi pembangunan, dan memacu kemajuan pembangunan berkualiti di bawah kerangka BRI.
Kedua-dua pemimpin itu juga setuju untuk menggalakkan perjalanan rentas sempadan di sebalik rutin kawalan pandemik COVOD-19 dan mendorong penguatkuasaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secepat mungkin selain memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Sementara itu Hishammuddin berkata, Malaysia akan menjadi negara kedua di rantau ini selepas Indonesia yang bekerjasama dengan China untuk mengeluarkan vaksin bagi menentang amalan ‘nasionalisme vaksin’.
Wang Yi turut mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Singapura, Indonesia dan Filipina.
Hua Chunying menambah, lawatan menteri luar dari empat negara Asia Tenggara tersebut memperlihatkan hubungan persahabatan yang erat antara China dan Asia Tenggara.
China komited untuk memperkasakan lagi kerjasama dengan negara jiran bagi meningkatkan hubungan dua hala dan China-ASEAN ke tahap baharu.
Leave a Reply