August 9, 2022

Kuota minyak masak bersubsidi kekal 60,000 tan sebulan – Menteri

0 0
Read Time:3 Minute, 8 Second
PUTRAJAYA, 13 April — Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan termasuk pada 2020 dan 2021 walaupun harga Refined Bleached and Deodorized (RBD) palm olien telah meningkat, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, jumlah tersebut bersamaan dengan 60 juta paket polibeg satu kilogram (kg), dengan 1.5 kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya harga RBD palm olien meningkat kira-kira 83 peratus kepada RM4,122 per tan metrik tahun ini berbanding RM2,255 per tan metrik pada 2020.

“Kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen untuk membekalkan 60,000 tan metrik meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat,” katanya, menambah kerajaan menjangkakan kos skim itu meningkat daripada RM400 juta kepada RM1.8 bilion sekiranya RBD Palm Olien terus meningkat.

“Oleh yang demikian, keputusan kerajaan untuk mengekalkan kuota dalam program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) menunjukkan komitmen kerajaan yang tinggi untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan berita berhubung kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Sarawak yang didakwa berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus minyak masak yang tidak jujur kerana membekalkan minyak masak bersubsidi tidak mengikut kuantiti yang telah ditetapkan bagi edaran ke pasar raya dan kedai runcit.

Laporan itu juga mencadangkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas aktiviti pembungkusan minyak masak bersubsidi dan seterusnya memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM400 juta pada tahun ini dibelanjakan dengan berhemah.

Nanta berkata bahagian penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pengauditan komprehesif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya.

Susulan daripada pengauditan dan tindakan tegas dalam menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi, Nanta berkata sebanyak 318 kes telah direkodkan di seluruh negara sejak 2016 hingga Mac 2021.

Dalam tempoh itu juga, empat syarikat pembungkus minyak masak telah diambil tindakan dengan membatalkan kuota yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini, katanya.

Mengenai aduan berkaitan minyak masak di Sarawak, Nanta berkata semakan rekod mendapati terdapat 25 aduan sejak 2020 hingga 31 Mac lepas dan sebanyak 4,221 pemeriksaan telah dijalankan terhadap premis-premis yang menjual minyak masak setakat semalam (12 April).

Mengenai isu gula yang turut disentuh dalam laporan berita berkenaan, Nanta berkata pada dasarnya harga jualan gula domestik dikawal pada harga maksimum iaitu RM2.85 per kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95 per kg bagi gula putih bertapis halus bagi jualan secara runcit.

Harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77 per kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85 per kg bagi gula putih bertapis halus, katanya.

“Perbezaan pada harga gula yang lebih rendah boleh dinikmati oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman berdasarkan kuantiti dan kaedah pembelian yang dipersetujui dengan pembekal serta bergantung kepada harga gula mentah di pasaran dunia tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.

Menurut laporan berita itu, pihak industri makanan dan minuman kini perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan gula bertapis pada harga RM2.75 per kg.

Nanta berkata syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong tempatan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit mengimport gula bertapis pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Permohonan yang memenuhi syarat akan dipertimbangkan dengan teliti oleh Jawatankuasa Penilaian yang diwakili beberapa agensi kerajaan berkaitan temasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, katanya.

Keutamaan pemberian permit mengimport ialah kepada syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong yang memenuhi kriteria penilaian yang telah ditetapkan, katanya.

Nanta berkata pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap penerima permit mengimport gula bertapis bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penyelewengan, dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakan permit mengimport gula bertapis.

 

Sumber : BERNAMA

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published.