Luster peroleh kontrak bernilai RM1 bilion bina barisan pengeluaran sarung tangan di AS

KUALA LUMPUR, 12 April — Luster Industries Bhd mengumumkan Glovconcept Sdn Bhd (GSB) memeterai perjanjian dengan American Nitrile (AN) LLC untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) serta penyelesaian teknologi sarung tangan bagi mesin barisan pengeluaran sarung tangan di Amerika Syarikat (AS). 

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata GSB, anak syarikat 60 peratus milik Glovmaster Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat 56 peratus milik Luster, memperoleh kontrak EPCC bagi 12 barisan pengeluaran sarung tangan dan unjuran sehingga 72 barisan pengeluaran, yang nilainya dianggarkan lebih daripada RM1 bilion.

Luster merupakan antara syarikat Malaysia pertama menawarkan kerja EPCC bagi kilang pengeluaran sarung tangan yang terletak di Grove City, Ohio, AS.

“GSB akan melaksanakan kerja mereka bentuk, membina dan menyediakan kilang pengeluaran sarung tangan bagi asas siap guna, dengan pengeluaran sarung tangan tidak kurang daripada 38,000 hingga 40,000 bagi setiap barisan, sejam.

“AN bertanggungjawab bagi penyumberan dan pemerolehan kilang, mesin dan infrastruktur seperti elektrik dan air, bahan mentah, pekerja dan utiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Luster berkata anggaran kos yang akan ditanggung oleh AN bagi membina kilang pengeluaran sarung tangan itu adalah sekitar US$3.6 juta atau RM14.9 juta bagi setiap barisan pengeluaran.

Selepas barisan pengeluaran mula beroperasi, GSB akan layak kepada peratusan daripada hasil jualan yang dijana oleh kesemua barisan pengeluaran, dengan kelayakan minimum US$2 juta setahun dan terhad pada US$50 juta bagi setiap 12 barisan.

“Sebaik sahaja kesemua 84 barisan pengeluaran beroperasi pada kapasiti penuh, Luster boleh menjangkakan pendapatan sehingga US$350 juta disumbang daripada hasil jualan sarung tangan oleh AN,” katanya.

Baki kepentingan ekuiti dalam Glovmaster dipegang oleh Fortune Tac Sdn Bhd, syarikat yang mengkhususkan dalam perniagaan sarung tangan.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply