MAHB pelawa ibu bapa daftar anak autisme sertai ‘Pilot Journey’

 

SEPANG, 10 April  — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mempelawa ibu bapa atau individu untuk mendaftarkan penghidap autisme menyertai Pilot Journey sepanjang bulan ini bagi merasai pengalaman fasiliti Butterfly Effect yang dikhaskan untuk golongan autisme di lapangan terbang.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB Nik Anis Nik Zakaria berkata dengan menyertai Pilot Journey maklumat yang direkodkan MAHB akan memudahkan ibu bapa untuk urusan penerbangan di masa hadapan, selain telah membiasakan penghidap autisme dengan fasiliti berkenaan.

Fasiliti Butterfly Effect merangkumi satu bilik yang dikenali sebagai Calm Room yang terletak di tingkat 5 terminal utama KLIA dan 10 dinding deria atau sensory walls merangkumi enam di terminal utama KLIA dan empat di klia2.

Penyertaan boleh dibuat menerusi laman sesawang www.malaysiaairports.com.my/airport-amenities/services/butterfly-effect

Nik Anis berkata apabila pendaftaran dibuat, secara automatik ibu bapa yang membawa anak autisme akan diberikan keistimewaan fast lane atau laluan istimewa sepanjang proses sebelum penerbangan dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebagai pengendali lapangan terbang yang mesra pengguna, kami mahu semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan untuk menggunakan setiap kemudahan yang disediakan. Ini termasuk golongan OKU (Orang Kurang Upaya),” katanya kepada media yang melakukan tinjauan fasiliti Butterfly Effect di KLIA, semalam.

Fasiliti Butterfly Effect itu dibangunkan MAHB dengan kerjasama Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) dan Autism Behavioral Center (ABC), yang dilancarkan awal tahun ini.

Nik Anis berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada mereka yang telah menggunakan fasiliti tersebut sebagai perancangan bagi menambah baik fasiliti sedia ada selain memperluaskan ke lapangan terbang lain di negara ini.

Ditanya idea membangunkan fasiliti Butterfly Effect, Nik Anis berkata ia bertujuan memudahkan ibu bapa untuk menenangkan anak mereka yang rata-rata akan mengalami perubahan emosi sekiranya berada di kawasan baharu yang dipenuhi ramai orang.

“Dari segi psikologi, emosi kanak-kanak autisme sukar dijangka kerana ia berubah mengikut situasi di mana mereka berada malah mereka berhadapan dengan ketidakseimbangan perasaan dan gagal berfikir secara sempurna,” katanya.

Faktor itu, katanya mendorong MAHB untuk berunding dengan NASOM dan ABC bagi merealisasikan hasrat membangunkan fasiliti berkenaan untuk memudahkan urusan penerbangan ibu bapa yang mempunyai anak menghidap autisme.

Sementara itu, isteri Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Nori Abdullah menyifatkan inisiatif MAHB sebagai membanggakan dan memahami keperluan penghidap autisme, sekali gus memberi keselesaan kepada golongan itu untuk turut serta bersama ibu bapa menaiki penerbangan ke destinasi yang dituju.

Beliau yang mempunyai anak menghidap autisme mengakui perubahan emosi anaknya, Timor Abdullah Jamaluddin, 12, apabila berada di lokasi baharu.

“Dari pengalaman saya membesarkan Timor, tingkah laku dia berbeza daripada anak-anak yang lain malah sukar difahami. Dia juga sukar menerima perubahan serta keadaan sekeliling dengan situasi baharu,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply