

TUMPAT, 10 April — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM306,646 kepada Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, di sini bagi melahirkan para huffaz yang profesional.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu sebanyak RM126,000 akan digunakan untuk menaja 10 orang pelajar di maahad tahfiz berkenaan selama tempoh tiga tahun.
“Idea penubuhan maahad tahfiz ini adalah hasil daripada lawatan kerja ke Turki bersama kerajaan negeri Kelantan pada pertengahan 2019.
“Sebagai permulaan, MAIK akan menaja seramai 10 pelajar daripada maahad tahfiz ini dan setelah tamat pengajian di sini, mereka akan menyambung pelajaran mereka di Turki yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki,” katanya dalam titah ucapan perasmian di Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, di sini hari ini.
Terdahulu, Tengku Temenggong Kelantan itu merasmikan pembukaan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah yang turut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Pengerusi Lembaga Maahad Tahfiz Al-Quran Sulaimaniyyah Malaysia Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Mohamad Rizam berkata bagi menyiapkan pembinaan bangunan maahad tahfiz berkenaan, MAIK melalui Wakaf Tunai Am telah menyalurkan sebanyak RM49,000, yang mana Wakaf Tunai Am itu adalah sebahagian produk wakaf MAIK selain Wakaf Pendidikan, Wakaf Kesihatan dan Wakaf Tanah.
“Selain itu MAIK juga telah memperuntukkan wang zakat berjumlah RM56,646 dan peruntukan baitulmal bernilai RM75,000 kepada maahad terbabit untuk pembelian perabot, pendingin hawa serta penyelenggaraan lain.
“MAIK juga ingin merakamkan penghargaan khusus kepada Mat Razi Mat Ali, 56, yang telah mewakafkan tanah beliau untuk dijadikan tapak maahad tahfiz berkenaan selain usaha untuk mendapatkan dana sekali gus dapat menyempurnakan pembinaan maahad tahfiz ini,” katanya.
Mohamad Rizam berkata MAIK berharap usaha yang jitu daripada pelbagai pihak dalam membangunkan maahad tahfiz itu dapat menjadi sebahagian produk wakaf di negeri Kelantan sekali gus berharap ia dapat menjadi projek perintis kepada pembangunan sekolah wakaf di Kelantan dan di Malaysia amnya.
Sementara itu, seorang pelajar Muhammad Adeeb Naim Mohd Zaki, 14, dari Kampung Kubang Batang, Tumpat menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada MAIK atas tajaan yang diberikan.
“Saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin, dan berharap dengan adanya peluang ini ia dapat membantu saya mencapai cita-cita saya untuk menjadi huffaz yang berjaya,” katanya yang telah menghafal sebanyak tujuk juzuk.
Untuk rekod, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Tumpat menempatkan seramai 25 pelajar.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *