25 Feb 2022 – Alir Cahaya menjemput Aroe (KAMY) dan Anas (KCL) dalam sesi sembang santai, berbincang tentang Adakah Manusia itu Khalifah Atau Pemusnah dalam kontek alam sekitar.
Penulis hari ini mahu berkongsi pada satu bahagian, dimana masalah alam sekitar ini saling berkait rapat dengan perkongsian dan perbincangan awal bersama Gerakan Selamatkan Bukit Payung tentang pembinaan tapak pelupusan sampah, kemudian sesi praktikal KCL tempoh hari berkaitan kitar semula dan kali ini berkaitan konsumerisme/kepenggunaan.
Aroe berpendapat alam sekitar dan juga isu sampah ini tidak jauh dengan pengguna dan juga bagaimana pelupusan sampah itu terjamin dihapuskan tidak merosakkan ekosistem.
Dalam masa yang sama, mereka memberi contoh kapitalisme/pemodal hanya amik kesempatan tentang kegunaan plastik yang mesra pengguna, mudah dan sebagainya dan kesempatan ini ditawarkan oleh mereka sendiri. Pengeluar plastik mendapat permintaan tinggi dan menjadi asas keperluan masyarakat/pengguna terus menghasilkan keuntungan. Pada masa yang sama bagaimana proses-proses itu memberi kesan dan menjadi pencemaran alam bukan lagi menjadi hal-hal yang sensitif.
Penulis ada mempersoalkan tentang kempen kesedaran pada review yang lepas berkaitan kitar semula sehingga perlunya tapak pelupusan sampah dan telah lama pun dikempenkan sebelum Bukit Payung menjadi sasaran tapak projek. Walau bagaimana pun, kesedaran tentang itu sehinggakan perubahan iklim hangat diperkatakan pada hari ini pun masih tidak timbul secara individu dan masyarakat. Pada perbincangan kali ini mereka seperti menjawab tentangnya iaitu kempen yang bagaimana harus terjadi atau berlaku.
Anas berpendapat bahawa kempen tentang kitar semula dan alam sekitar telah lama dimulakan. Setidaknya bermula penghujung 80an malah orang-orang tua di kampung telah lama lakukannya. Sebagai contoh, di tempat pembuangan sampah mempunyai tong sampah berasingan plastik, kertas dan kaca. Selain itu, sering dipertontonkan di tv, radio dan bahan bacaan.
Sehingga sekarang kepentingan tentang kitar semula itu menunjukkan hubung-kait yang rapat dengan kepentingan alam sekitar. Dimana sampah yang kita buang merata ke dalam laut, kehidupan laut terkena kesannya. Membuang plastik merata atas tanah, plastik tidak mereput lepas tu berlonggok dan kemungkinan-kemungkinan lain yang akhirnya tercemar atau pun banjir. Tambahan lagi, industri kilang bahan kimia dan lainnya serata dunia yang menghasilkan produk keperluan pengguna seperti plastik, makanan dan sebagainya turut memberi kesan yang sama.
Kempen populer terbaru adalah pasal penggunaan straw dan juga alternatif straw aluminium. Kempen ini kononnya tidak mahu menggunakan straw plastik dan mengganggu alam sekitar.
Anas berpendapat kempen-kempen ini sebagai “trending”. Contoh, kempen tidak menggunakan straw plastik kemudian beralih kepada penggunaan straw kertas dan aluminium. Namun pada akhirnya orang tak kisah pun apa straw mereka perlu pakai. Rasanya nak bawa straw aluminium tu pun belum ada kesedaran yang jitu. Trending itu bersifat sementara.
Pada Anas, walaupun sesebuah kempen itu memerlukan “trending” tetapi jangan sesekali tinggalkan perihal sikap dan pembudayaan. Sikap yang dimaksudkan adalah usaha bagaimana mahu sesebuah kempen itu menimbulkan kesedaran dan menjadi sebuah budaya.
Walau bagaimana pun, semua ini berbalik semula kepada konsumer/pengguna dan kapitalis/pemodal/pengeluar. Oleh itu, konsumer sebagai individu perlu ada kesedaran dan faham bahawa kebergantungan kita terhadap kapitalis begitu ngeri pada hari ini?
Penulis tidak menyalahkan pengguna. Tetapi, sistem kapitalisme agak rakus hari ini telah membentuk masyarakat yang tidak mampu buat apa-apa tanpa mereka. Eksploitasi, pemusnah alam, licik, tamak dan segalanya.
Anas berkongsi bahawa prinsip keadilan itu datang dari kaedah berkebun. Berkebun yang dimaksudkan bukanlah tentang bisnes atau keuntungan semata-mata. Alam tidak bekerja secara paksa, memaksa untuk sesebuah tanaman yang luas dan menunggu hasilnya untuk diniagakan. Alam bekerja perlu bekerja sebagaimana ia patut bekerja.
Dalam berkebun sebenarnya kita sedang memahami bagaimana tanah boleh menghidupkan benih, lalu mengeluarkan akar, dan berdiri pohon. Dalam masa yang sama, bagaimana tanah itu mahu di dalam keadaan yang baik dan memberi kehidupan lainnya begitu juga dengan persekitaran. Ringkasnya, dengan berkebun kita akan belajar bagaimana kehidupan itu saling memerlukan dan berkai rapat bukan sahaja manusia sesama manusia, tetapi juga dengan alam ini sendiri serta kehidupan lainnya.
Dalam kapitalisme, pemilikan bebas mengaut keuntungan langsung tidak sensitif dengan alam sekitar. Dalam masa yang sama memberikan tawaran-tawaran kapitalistik kepada masyarakat. Jadi, sebagai masyarakat, kita perlu sedar perkara-perkara tersebut.
Berbalik kepada Aroe, dia seorang aktivis Darurat Iklim/climate emergency bersama KAMY (klima Action). Dalam kaedah berkempen, Aroe berpendapat dan menjelaskan bahawa dengan “direct action / tindakan langsung” adalah kaedah yang dia sedang lakukan terhadap masyarakat.
Tentang kempen alam sekitar, sebagai contoh ‘sampah’. Sampah ketika kita menerangkan kepada orang ia jelas dan orang tahu sampah itu apa. Tetapi dalam penjelasan tentang iklim harus kreatif untuk menggambarkan keadaan ini. Juga penggunaan bahasa nasional (Bahasa Melayu) menjadi keutamaan. Begitu juga dengan penerangan-penerangan sains.
Jadi, dalam aksi langsung sedemikian kita lebih mendekati masyarakat. Penerangan-penerangan online juga tetap dibuat tetapi penerangan Aroe berkaitan dengan pengalaman dia bersama penduduk orang asli dan pendalaman.
Selain itu, Aroe bersama tim juga ada membuat fundarising dengan membotakkan kepala untuk projek video dokumentari pendek serta anyaman daun mengkuang dari anak muda orang asli Pahang menyertai persidangan perubahan iklim di Glasgow, UK. Mesej-mesej yang disampaikan adalah berkaitan perubahan iklim, keadilan iklim dan impak kemusnahan alam semulajadi terhadap masyarakat orang asli.
Dengan tindakan aksi langsung sebegini ia lebih berkomuniti dan penyampaian serta perkongsian menunjukkan hasil yang lebih baik. Jelas lah bahawa apa pun kaedah ia pastinya perlu berkomuniti atau bermasyarakat. Begitu juga Alir Cahaya yang menjadi wakil komuniti dimana di dalam terlibat dengan pelbagai jaringan.
Di dalam darurat iklim serta prinsip keadilan melalui kempen; praktikal, sama ada berkebun, NGO, kolektif dan sebagainya harus mewujudkan kesedaran sikap dan kemudian membentuk pembudayaan tentangnya.
Jadi, apakah peranan manusia pada hari ini sebagai Khalifah atau pemusnah?
Bagaimana kita semua peduli tentang ini semua?