
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau menyedari masyarakat menyalahkan MOT mengenai penjualan ekzos yang diubah suai di pasaran, namun menegaskan ada perkara di luar bidang kuasa kementerian.
“Seluruh ekosistem perlu dilihat kembali, ada yang mengatakan penjualan ekzos bising patut diharamkan, tetapi itu mungkin tidak berada dalam bidang kuasa MOT, mungkin melibatkan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan sebagainya.
“Ada juga menyoal macam mana ekzos boleh masuk dan dijual selain mendakwa KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tidak lindungi pengguna apabila membeli benda yang tidak diizinkan. Macam-macam saya baca komen di Facebook, perkara ini bukan sahaja melibatkan MOT tetapi badan lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Pasir Mas, di sini hari ini.
Sementara itu, Wee berkata bagi kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal, setakat ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya mengenakan tindakan advokasi.
“JPJ cuma keluarkan Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat. Kita buat pendekatan advokasi setakat ini.
“Kita bukan hendak susahkan rakyat tetapi memang ada aduan orang ramai tidak boleh tidur kerana ekzos bising, walaupun perkara itu berlaku kita masih lagi gunakan pendekatan advokasi,” katanya.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply