

PUTRAJAYA, 8 April — Rangka tindakan Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) dilancarkan hari ini bertujuan merangka dan memandu arah perancangan dan pembangunan bandar pintar melalui penerapan teknologi digital di Wilayah Persekutuan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata MySmart Wilayah 2030 itu menggariskan 25 dasar, 76 tindakan, 118 indikator dan 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) melibatkan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
Dasar-dasar yang digariskan meliputi tujuh komponen utama iaitu smart governance, smart economy, smart living, smart environment, smart people, smart mobility dan smart infrastructure, katanya.
“MySmart Wilayah 2030 ini memberi fokus untuk meningkatkan kualiti hidup melalui penggunaan teknologi dan pelaksanaan inisiatif pintar seterusnya mewujudkan masyarakat pintar melalui digitalisasi, inovasi dan nilai moral yang baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MySmart Wilayah 2030, di sini hari ini.
MySmart Wilayah 2030 itu juga akan dijadikan panduan kepada semua pihak untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi di bawah KWP dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar melalui penerapan Revolusi Industri 4.0, Internet benda (IoT), data raya, kecerdasan buatan (Ai) serta teknologi 5G, katanya.
“Ia membantu kementerian dalam menyelaras perancangan dan pembangunan perbandaran secara pintar di Wilayah Persekutuan yang dapat memenuhi agenda nasional dan global,” katanya.
Annuar berkata cabaran yang dihadapi di setiap Wilayah Persekutuan adalah berbeza seperti Kuala Lumpur misalnya dijangka menghadapi peningkatan kadar pertumbuhan penduduk daripada 1,910,600 orang pada 2020 kepada 2,254,000 orang pada 2040.
“Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara pula menghadapi masalah berbeza, salah satunya adalah kelajuan internet selain memerlukan pangkalan data yang berpusat, berintegrasi dan Big Data Solution,” katanya
Salah satu cabaran utama di Labuan pula adalah tahap kemudahsampaian yang rendah dan tahap pengangkutan yang kurang memuaskan, katanya.
Annuar berkata MySmart Wilayah 2030 sememangnya dirangka bagi membolehkan kebajikan dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan daripada aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan, alam sekitar yang bersih dan komuniti pintar terus terbela.
“Ia membolehkan ekonomi rakyat ditingkatkan menerusi pelaksanaan ekonomi digital seperti memudahkan urusan perniagaan dan transaksi jual beli secara atas talian,” katanya menambah usaha ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti teknologi, inovasi dan digital.
Dari segi pendidikan, MySmart Wilayah 2030 dapat membantu meningkatkan keupayaan platform pembelajaran secara pintar dan interaktif seperti digital classroom dan digital library, katanya.
Dari aspek keselamatan pula, rakyat akan dapat menikmati kehidupan bandar yang selamat dengan peningkatan instrumen seperti CCTV, butang cemas, pusat arahan dan Pencegahan Jenayah Menerusi Reka Bentuk Persekitaran (CPTED), katanya.
Annuar berkata rangka tindakan itu juga menyediakan perancangan ke arah penyediaan pengangkutan awam yang murah, mudah dicapai dan efisien melalui penggunaan ICT, teknologi dan digitalisasi.
“Pelaksanaan MYSmart Wilayah ini juga dapat meningkatkan tahap liputan dan kelajuan capaian Internet serta kemudahan Wi-fi percuma kepada rakyat,” katanya.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *