Oleh: Osman Bin Hussin (Wakil Suara Penduduk Kampung Peta)
Pada 1 Mac 2023, kami penduduk Orang Asli Kg. Peta telah sekali lagi dilanda bencana banjir yang amat buruk selepas banjir pertama pada Januari 2023. Terlalu banyak harta benda yang mengalami kerosakan seperti barangan rumah, peralatan sekolah anak-anak dan sebagainya. Ada juga sebahagian rumah yang mengalami kerosakan struktur dan ada yang hancur keseluruhannya.
Ketika banjir melanda, penduduk hanya mampu mengambil ikhtiar dengan cara sendiri membantu satu sama lain menggunakan bot-bot penduduk tempatan. Ada juga di antara kami yang terpaksa berenang meredah banjir kerana kekurangan bot.
Selama 2 minggu kami hanya bergantung harap antara sesama sendiri dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk pengangkutan, bekalan makan dan sebagainya. Tiada perwakilan dari pihak kerajaan di sini membantu kami ketika itu.
Selepas keadaan banjir mereda, kami terpaksa menunggu bantuan untuk tempoh yang lama dari pihak bertanggungjawab. Pada bulan Julai 2023, barulah Jabatan Penilaian JKR masuk ke kampung kami untuk melakukan semakan kerosakan. Ketika itu mereka hanya meninjau keadaan beberapa rumah, tidak keseluruhan rumah yang ada. Mereka juga berjanji kepada kami akan hadir semula dalam masa 3 hari untuk melakukan semakan lanjut, tetapi sehingga hari ini tidak muncul-muncul.
Hanya pada 20 September 2023, barulah sumbangan bantuan Wang ihsan dari kerajaan pusat sebanyak RM1,000 diterima sebahagian penduduk. Namun, masih terdapat lebih 50 nama Ketua Isi Rumah mangsa banjir di kampung kami yang belum menerima sebarang bantuan dari pihak kerajaan.
Bantuan Baik Pulih Rumah
Berkaitan Bantuan Baik Pulih Rumah pula, terdapat beberapa penduduk di sini yang rumah mereka habis tenggelam, tapi tak menerima sebarang bantuan baik pulih rumah. Sebahagian tuan rumah ini tidak dapat menunggu bantuan tiba, ia terlalu lama. Mereka terpaksa membaiki sendiri kerosakan-kerosakan yang ada. Tetapi JAKOA memberitahu mereka tidak layak untuk menerima bantuan ini, berdasarkan laporan pihak Jabatan Penilaian JKR di mana rumah mereka “tidak mengalami kerosakan struktur”.
Sedangkan, wakil unit penilaian JKR hanya datang 3 bulan selepas tragedi banjir.
Pada 29 September 2023, kami juga telah menghantar surat aduan dan tuntutan kepada NADMA, Pengarah JAKOA, YB Marina Ibrahim, YB Hajah Alwiyah dan YB Tan Hong Ping. Surat berkenaan juga telah kami emelkan kepada DS Zahid Hamidi serta DS Anwar Ibrahim. Tetapi jawapannya masih tetap sama, tiada maklum balas dan tindakan dari pihak berwajib.
Wujudnya Tanda-Tanda Ketidaktelusan
Bukanlah mahu menuding jari atau menyalahkan pihak kerajaan, tetapi kami sangat terkilan dengan sistem pengurusan banjir. Kami di sini diwakili oleh Tok Batin Rampuyan Bin Kantan telah beberapa kali merujuk perkara ini kepada pihak JAKOA, PDRM, JKM, JKR dan Pejabat Daerah Mersing, tetapi tiada maklum balas dan tindakan yang diambil oleh pihak berwajib. Kami sudah tidak tahu ke mana aduan ini harus dibawa agar kami dapat terima bantuan yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan pusat.
Seharusnya dengan kemajuan teknologi telah membolehkan pihak-pihak berwajib melaksanakan tugas dengan lebih pantas dan tersusun. Tetapi kenyataan yang berlaku adalah sebaliknya. Sehingga menimbulkan syak wasangka di kalangan mangsa banjir, wujudnya masalah ketirisan dan kejujuran di kalangan pihak bertanggungjawab dalam menguruskan bantuan banjir. Sebagai rakyat yang tidak mampu berbuat banyak, kami berharap kami tidak perlu melakukan aduan kepada badan kerajaan seperti SPRM untuk memastikan tiada isu ketirisan dalam pengurusan bantuan bencana ini.
Bantuan Tetap Tak Kunjung Tiba
Sudah hampir masuk ke tahun baru, kami sangat memerlukan bantuan yang dijanjikan sampai kepada kami sebelum hujung tahun ini. 9 bulan adalah satu tempoh yang sangat lama dan tidak munasabah bagi gerak kerja pengagihan bantuan banjir. Kami juga tidak mendapat sebarang penjelasan yang jelas dari pihak JAKOA, JKM, Pejabat Daerah dan JKR berkaitan ini sehingga kami terasa diabaikan oleh pihak berwajib.
Keadaan cuaca akhir tahun ini juga amat merisaukan jika sekali lagi kampung kami dilanda banjir. Keadaan kampung dan ekonomi kami masih belum benar-benar stabil selepas tragedi banjir yang lepas. Kami takut jika sekali lagi tragedi berulang, bantuan hari ini masih belum tiba dan kami terpaksa menanggung beban yang baru.
Sekali lagi kami katakan, kami sudah tidak tahu ke mana aduan ini harus dibawa apabila setiap aduan yang kami kemukakan tidak dapat tindakan yang sewajarnya. Tindakan-tindakan lanjut yang dijanjikan kepada kami, nampaknya seperti hanya janji-janji kosong. Tiada juga maklum balas yang selayaknya dari pihak berwajib melainkan kami pula yang diminta agar sabar menunggu.
9 bulan sudah kami sabar menunggu.