Pembangunan baka tempatan KK Elit perlu dikembangkan – Ahmad

 

JASIN, 10 April — Pembangunan lembu tempatan jenis Kedah Kelantan Elit (KK Elit) perlu diberi perhatian serius dengan mengembangkan populasi, bagi mengelakkan kepupusan, di samping menaik taraf prestasi baka melalui pemilihan ternakan terancang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata baka berkenaan juga dilihat berpotensi besar berikutan berupaya mencapai berat maksimum antara 430 hingga 460 kilogram (kg) bagi jantan dan 250 hingga 300 kg bagi betina pada umur tiga hingga empat tahun.

Katanya sehingga kini hampir 3,600 dos (straw) semen KK Elit telah berjaya ‘dikrioawet’ dan sebahagiannya telah diedarkan kepada penternak.

“Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membuktikan bahawa baka tempatan juga dapat ditingkatkan berat badannya setanding dengan baka luar negara dengan komitmen berterusan kerajaan dalam tempoh panjang.

“Memandangkan potensi baka KK Elit ini amat besar, jadi kita turut mencadangkan Program Pemindahan Teknologi Lembu jenis ini untuk dilaksanakan kepada penternak-penternak di Melaka dan seterusnya di negeri-negeri lain,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan program itu di Kampung Bukit Tembakau, Umbai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Vetrinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Ahmad berkata faktor persekitaran juga dilihat dapat membantu usaha ke arah meningkatkan pengeluaran baka itu memandangkan formulasi makanan yang mudah didapati di kawasan sekitar seperti rumput napier dan kekacang.

“Melalui formulasi makanan itu, ia akan menyebabkan lembu-lembu melalui proses penggemukan yang secara tidak langsung dapat tingkatkan pendapatan ekonomi penternak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang mengembangkan ternakan baka KK Elit itu dengan melibatkan penternak-penternak dari golongan belia untuk diserap dan dibimbing dalam program Agropreneur Muda.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply