Pengorbanan saya selama ini berbaloi – Ibu Muhammad Hamdi

KUANTAN, 22 April  — “Pengorbanan saya selama ini berbaloi,” demikian luah Rozita Abdul Hamid, 47, terhadap kejayaan anaknya Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, 20, yang dipilih dan diterima masuk ke Harvard College di Amerika Syarikat.

Rozita yang bekerja sendiri berkata penat lelahnya selama ini yang menumpukan perhatian terhadap akademik anak sulungnya itu ternyata tidak sia-sia.

“Dia anak yang terang hati dan selalu ambil inisiatif sendiri untuk belajar…kejayaannya sudah tentu membanggakan kami sekeluarga. Pengorbanan saya dari segi masa dan wang untuk dia berjaya dalam pelajaran akhirnya membuahkan hasil.

“Bermula dari darjah tiga saya dah hantar Hamdi ke kelas tuisyen sampai dia tingkatan tiga, saya memang beratkan soal akademik dan sering berkomunikasi dengan guru kelas dan subjek untuk tahu perkembangan pelajarannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, Rozita yang menetap di Kampung Tok Sira, di sini mewakili anaknya menerima sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Pahang yang disampaikan oleh Wan Rosdy.

Sementara itu, Muhammad Hamdi menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis berkenaan merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pahang atas sumbangan berkenaan.

“Saya akan gunakan wang berkenaan sebagai persiapan untuk berangkat ke  Harvard pada Ogos ini dan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan saya,” katanya.

Selain Muhammad Hamdi, seorang lagi pelajar, Jarell Cheong Tze Wen, 20, turut menerima tawaran sama dan bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025, dengan masing-masing merancang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi dan Matematik.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Yayasan Pahang dalam ucapannya berkata kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian anak jati Kuantan itu yang mengharumkan nama Pahang dan Malaysia.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply