Urusan perkahwinan antara isu rasuah yang berlaku di JAIPk

IPOH, 30 April  — Urusan perkahwinan terutamanya bagi mendapatkan sah nikah adalah antara isu rasuah yang boleh berlaku dalam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata walaupun JAIPk dilihat sebagai jabatan yang bersih daripada sebarang amalan rasuah namun masih terdapat individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan ruang-ruang yang ada untuk melakukan perkara tersebut.

“Jabatan agama ini kebiasaannya akan dilihat bersih daripada sebarang aktiviti tidak bermoral tetapi sebagai sebuah jabatan kerajaan kami masih boleh terdedah kepada rasuah kerana aktiviti-aktiviti dekat JAIPk terdapat ruang-ruang untuk melaksanakan rasuah.

“Misalnya rasuah berlaku kepada pihak agensi kewangan atau dari segi urusan perkahwinan untuk mendapatkan sah nikah dan sebagainya.

“Pihak tertentu akan menggunakan kesempatan dan peluang yang ada untuk kepentingan diri jadi kita cuba mengelakkan daripada mempergunakan atau dipergunakan. Diharap agar pelan ini dapat membantu kami menyelamatkan dan mengawal JAIPk daripada gejala rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) negeri Perak 2021-2025 yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 28 April.

Sementara itu, Saarani berkata JAIPk menjadi jabatan kerajaan negeri yang pertama melancarkan OACP sesi tahun ini bagi menghapuskan amalan rasuah dan salah laku integriti dalam jabatan.

“Antara perkara yang terkandung dalam pelan ini adalah dari segi ikrar, integriti, aku janji serta pelbagai lagi termasuk nasihat, tanggungjawab dan amanah yang perlu difahami, dihayati dan dilaksanakan semua kakitangan kerajaan.

“Setiap jabatan ada falsafah tersendiri dan sebab itu setiap jabatan kita akan buat satu pelan antirasuah. Kita ke arah menyifarkan amalan rasuah dalam semua jabatan dan meningkatkan integriti jabatan awam,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply