

KUALA LUMPUR, 8 April — Samsung Electronics mengubah suai fungsi telefon pintar Galaxy generasi lama untuk menghasilkan peranti perubatan yang membolehkan akses lebih luas kepada penjagaan kesihatan oftalmik dalam komuniti yang kurang mendapat akses di Vietnam, India, Maghribi dan Papua New Guinea.
Bagi melaksanakan inisiatif tersebut, syarikat elektronik itu telah menjalin kerjasama dengan Agensi Antarabangsa Untuk Pencegahan Buta (IAPB) dan Yonsei University Health System (YUHS) di Korea.
Menurut Samsung dalam satu kenyataan di sini, program Galaxy Upcycling itu membantu kira-kira satu bilion kes masalah penglihatan global yang dapat dicegah dengan diagnosis yang tepat.
Naib Presiden Pejabat Pengurusan Lestari, Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Kim Sung-koo berkata program itu menunjukkan kepercayaan Samsung bahawa teknologi dapat meningkatkan kehidupan orang dan membantu syarikat membina masa depan yang lebih saksama dan lestari untuk semua.
“Ramai orang di seluruh dunia menghadapi halangan untuk mendapat akses asas penjagaan kesihatan dan kami melihat peluang untuk melaksanakan penyelesaian pintar dan inovatif yang menggunakan semula produk untuk mendorong amalan yang lebih lestari dan memberi kesan positif dalam komuniti kita,” katanya.
Pada 2017, Samsung mewujudkan program ‘Galaxy Upcycling’ untuk memperkenalkan cara inovatif peranti Galaxy dapat memberi kesan positif, dengan telefon pintar Galaxy versi lama menjadi ‘minda’ kamera fundus tangan, EYELIKE, dihubungkan ke lensa untuk diagnosis fundus lebih maju manakala telefon pintar digunakan untuk mengambil gambar.
Peranti Galaxy kemudian menggunakan algoritma kecerdasan buatan untuk menganalisis dan mendiagnosis gambar bagi penyakit oftalmik dan menghubungkan ke aplikasi yang mendapatkan data pesakit dengan tepat dan mencadangkan rejimen rawatan pada sebahagian kos instrumen komersial, katanya.
Menurut syarikat itu, kamera diagnosis yang unik dan mampu milik itu dapat memeriksa pesakit untuk keadaan yang boleh menyebabkan kebutaan, termasuk retinopati diabetes, glaukoma dan degenerasi makula yang berkaitan dengan usia.
“Kombinasi menggunakan pelbagai teknologi optik dan kecerdasan buatan, ditambah dengan prestasi kamera telefon pintar Galaxy, mencipta peranti perubatan yang mampu milik yang sama kemampuannya dengan kamera fundus yang digunakan oleh profesional perubatan.
“Ini bukan hanya menyelesaikan masalah kesihatan tetapi juga masalah alam sekitar yang semakin meningkat,” kata Dr Sangchul Yoon dari YUHS.
Sejak 2018, Samsung telah bekerjasama dengan IAPB dan YUHS untuk memberi manfaat kehidupan dan penglihatan lebih 19,000 penduduk di Vietnam dengan kamera retina mudah alihnya dan pada 2019, syarikat membekalkan 90 oftalmoskop mudah alih kepada profesional kesihatan yang beroperasi di kawasan terpencil di negara tersebut tanpa akses ke klinik.
Kini, Samsung telah memperluas program itu ke India, Maghribi dan Papua New Guinea.
Samsung juga memperluas kemampuannya ke bidang penyaringan baru, termasuk menggunakan peranti Galaxy yang dikitar semula untuk membuat kolposkop mudah alih berasaskan telefon pintar untuk menyaring barah serviks dan membolehkan lagi wanita mengaksesas kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Selain itu, komitmennya untuk inovasi yang memberi faedah, Samsung membangun kelestarian alam sekitar yang meliputi usaha ke arah mengumpulkan 7.5 juta tan sisa elektronik dan memanfaatkan 500,000 tan plastik kitar semula pada 2030, katanya.
Menurut syarikat itu, dengan mengubah telefon pintar Galaxy menjadi peralatan diagnosis mata mudah alih yang murah, Samsung membantu mengalihkan sisa elektronik dari tapak pelupusan sampah di samping menyediakan penyelesaian perubatan yang inovatif kepada komuniti yang kurang mendapat akses penjagaan kesihatan.
“Selain itu, peralatan diagnosis kamera fundus dibuat dengan 35 peratus kandungan kitar semula dan direka untuk digunakan semula dengan mudah. Ia telah diiktiraf oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) dengan Anugerah Pengurusan Bahan Lestari Canggih Terbaik.
“Program Galaxy Upcycling adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Samsung untuk menyokong Agenda Pembangunan Kelestarian 2030 melalui 17 Matlamat Pembangunan Lestari,” kata Samsung.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply