Raw Denim House, produk usahawan desa ke mata dunia

JERTEH, 15 April — Bermula dengan hanya menjahit di rumah menggunakan sebuah mesin jahit terpakai kira-kira 13 tahun lepas, kini jenama Raw Denim House (RDH) bukan sahaja terkenal di Malaysia malah turut menjadi pilihan peminat seluar jean di luar negara.

Diasaskan tiga anak muda yang berasal dari Jerteh iaitu Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin, 33, bersama abangnya Ahmad Syukri, 38 dan rakan mereka Muhamad Aidil Akhyar, 35, jenama seluar jean berkonsep vintaj itu sudah mempunyai pelanggan dari Switzerland, Jepun, dan Amerika Syarikat.

Ahmad Safuan Nizam yang berasal dari Kampung Simpang Tiga di sini berkata beliau bersyukur kerana setiap bulan sebanyak 150 hingga 200 helai seluar jean RDH laris dijual hanya dalam tempoh tiga atau empat hari sahaja, dan mereka kini mampu memiliki 30 mesin jahit industri.

“Mungkin kerana kami memfokuskan 100 peratus perniagaan secara dalam talian termasuk Instagram sejak 2013. Ia telah membantu jenama RDH dikenali dengan cepat sehingga ada pelanggan dari Switzerland dan beberapa negara lain yang turut menempah seluar jean kami,” katanya ketika ditemui Bernama di premis pengeluaran produk RDH di bandar Jerteh di sini.

Situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas bagaimanapun tidak menjejaskan permintaan terhadap seluar jean RDH malah ketiga-tiga mereka bersama lapan pekerja tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Secara kebetulan tahun lepas kami melancarkan laman sesawang bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan. Apabila berlakunya pandemik, orang duduk di rumah banyak menghabiskan masa bermain telefon dan membeli dalam talian. Ia membuatkan rangkaian RDH semakin tersebar luas dan tempahan pun semakin tinggi.

“Oleh kerana permintaan sangat banyak kami beralih daripada mengambil tempahan secara ‘bespoke’ (dibuat khas untuk pelanggan tertentu) kepada ‘ready to wear’. Lagipun setelah sekian lama menghasilkan seluar secara ‘bespoke’, kami sudah tahu ukuran, saiz dan rekaan yang digemari kebanyakan pelanggan,” katanya.

Katanya, sehelai seluar jeans RDH dijual pada harga RM250 hingga RM350 untuk jenis biasa manakala produk premium pula dipasarkan pada harga RM450 dan ke atas.

Mengimbas kembali permulaan perjalanan RDH, Ahmad Safuan Nizam berkata mereka bermula dengan menyediakan perkhidmatan ubah suai seluar jean dari rumah, sebelum lama-kelamaan mampu menghasilkan seluar rekaan sendiri dan turut mengeluarkan koleksi jaket, beg, baju t-shirt dan topi.

“Pada mulanya kami membuat seluar jean menggunakan kain lebihan seluar yang diubah suai untuk dipakai sendiri. Kemudian ada rakan-rakan yang lihat dan mereka meminta kami buat seluar untuk mereka pula.

“Rakan-rakan pun menguar-uarkan seluar jean buatan kami, sehinggalah RDH berkembang seperti sekarang ini. Pada akhir tahun 2013 kami buat penjenamaan, dan hasilkan seluar secara ‘custom made’, Namun waktu itu hanya 30 helai seluar jean yang dihasilkan setiap bulan,” katanya.

Lebih mengagumkan, ketiga-tiga pemuda itu langsung tidak mempunyai latar belakang atau berkelulusan dalam jahitan dan rekaan, sebaliknya hanya mempelajari teknik menjahit melalui buku dan internet.

Ahmad Safuan Nizam adalah graduan lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknikal Tinggi Terengganu manakala Ahmad Syukri adalah graduan Kejuruteraan Pembuatan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Muhamad Aidil pula adalah graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik.

Kegigihan dan penat lelah Ahmad Safuan Nizam ternyata berbaloi apabila beliau yang mengalami buta pada mata kanan selepas tertusuk gunting ketika bermain semasa berumur lima tahun, menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu 1441H/2019M.

Ditanya rahsia kejayaan RDH, beliau berkata kepuasan pelanggan yang sanggup ‘berhabis’ untuk sehelai seluar jean yang selesa dan berkualiti menjadi keutamaan mereka.

“Material kain yang kami gunakan buat masa ini adalah ‘zimbabwe cotton’ yang selesa dipakai. Ia mendapat sambutan sangat menggalakkan walaupun harganya tinggi.

“Kreativiti juga adalah kunci utama untuk meluaskan pasaran. Contohnya, setiap rekaan RDH akan diselitkan dengan elemen budaya seperti jahitan bunga telipok di bahagian poket belakang seluar. Ini kerana penggunaan elemen budaya dan tradisional dapat meluaskan pasaran dan sering mendapat tempat di hati pelanggan terutama dari luar negara,” katanya.

Ternyata tiga rakan kongsi ini belum puas dengan apa yang sedang dikecapi dan mereka mempunyai beberapa perancangan memajukan lagi jenama RDH termasuk ingin menjual antara 300 hingga 400 helai seluar jean sebulan menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, RDH kini sedang dalam proses berkolaborasi dengan beberapa pengusaha kilang di China untuk menghasilkan material kain denim sendiri bagi memberi lebih kepuasan buat pelanggan.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply