
Guru Pembimbing Wan Azrina Muhamad Zuki berkata aplikasi yang dicipta dalam tempoh sebulan itu dibangunkan menerusi Pasukan The Squadron diwakili oleh Nur Iman Akmal Mazue Fazrol,16 , Fareisha Adriana Farez,14 dan Muhammad Faris Daniel Muhammad Effendy, 16.
“Ilham untuk mencipta aplikasi ini tercetus apabila statistik menunjukkan hanya dua peratus isi rumah di seluruh negara yang mengamalkan budaya kitar semula melibatkan bahan buangan seperti kertas, plastik, botol kaca, aluminium, besi dan sebagainya.
“Bagi peringkat permulaan projek, aplikasi ini telah dipraktikkan untuk masyarakat di sekitar kawasan Mukim Pulau, Kubang Kerian untuk melihat keberkesannya dalam mengurus sampah yang boleh dikitar semula,” katanya kepada pemberita di SMK Kubang Kerian, di sini hari ini.
SMK Kubang Kerian terpilih untuk mewakili Kelantan menerusi Projek Toyota Eco Youth 2020/2021 Reimagining Mobility anjuran Toyota Malaysia dan akan bertanding di peringkat kebangsaan secara maya pada Mei depan.
Menerusi aplikasi tersebut, isi rumah atau pengguna hanya perlu muat naik ‘Recybin Apps’ dan pengesan jisim yang diletakkan di tong sampah akan memberi notifikasi di telefon pengguna sekiranya sampah berkenaan telah mencapai had ditetapkan.
Wan Azrina berkata pihaknya berkolaborasi dengan sebuah syarikat kitar semula di Kelantan iaitu RD Papers yang akan bertanggungjawab mengutip sampah untuk dikitar semula.
“Tong sampah milik isi rumah atau pengguna dilengkapi dengan satu alat pengesan untuk mengesan sekiranya berat sampah telah mencapai had ditetapkan.
“Pengguna juga mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan pengesan berat berkenaan dan hanya perlu memasukkan berat sampah secara manual dan notifikasi itu akan dihantar kepada syarikat RD Papers iaitu untuk ‘pick up’ sampah berkenaan menggunakan maklumat yang telah dikemas kini dalam aplikasi itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya terpilih di peringkat kebangsaan itu, ia akan melayakkan SMK Kubang Kerian memperoleh geran daripada penganjur selain pihaknya turut merancang mendaftarkan aplikasi berkenaan di Google Play Store.
“Pihak kami juga berhasrat memperluaskan lagi penggunaan aplikasi ini kepada masyarakat dan juga Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dalam usaha menjaga alam sekitar sekali gus dapat membuka minda orang ramai untuk mengurus sampah yang boleh dikitar semula,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Kubang Kerian Khairani Sabtu berkata menjadi matlamat utama sekolah untuk membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.
“Justeru itu, setiap kali ada pertandingan khususnya berbentuk inovasi, pihak sekolah akan menyertainya bagi menonjolkan bakat pelajar. Sebelum ini sudah ada penyertaan pelajar yang berjaya memperoleh kejayaan sehingga peringkat antarabangsa,”katanya.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *