

KUALA NERUS, 7 April — Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berharap konsep kesepaduan ilmu yang pernah dikuasai cendekiawan Islam pada suatu masa dahulu diperhebatkan lagi di negeri ini.
Baginda bertitah, Terengganu sememangnya mempunyai pelbagai institusi ilmu dalam pelbagai bidang namun, agenda penting yang perlu difikirkan ialah bagaimana setiap institusi ilmu tersebut mampu memainkan peranan secara optimum.
“Ia bertujuan melahirkan dan membangunkan anak negeri serta negeri ini secara muafakat agar tiada rakyat beta yang terpinggir dalam menghadapi cabaran kepesatan teknologi terkini,” titah baginda pada Majlis Syarahan Diraja sempena Sambutan ke-40 Tahun Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di UniSZA, di sini hari ini.
Turut berangkat pada majlis tersebut Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga merupakan Canselor UniSZA dan anakanda-anakanda baginda berdua Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin; Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az; Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah; dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Keluarga diraja itu diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Bersempena dengan sambutan ke-40 tahun UniSZA, Sultan Mizan bertitah universiti tersebut merupakan sebuah pusat pengajian tinggi yang komprehensif dan mempunyai kepelbagaian fakulti termasuk dalam bidang pengajian Islam, perubatan, ekonomi, pengurusan, undang-undang dan teknologi maklumat.
Titah baginda kepelbagaian tersebut menjadikan UniSZA sebagai sebuah universiti yang mempunyai kekuatan tersendiri.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga apabila universiti tersebut bakal mempunyai sebuah hospital sendiri yang akan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan dan pencegahan penyakit kepada rakyat Terengganu.
“Malah, beta menjangkakan tenaga pakar dalam bidang perubatan mampu mencipta inovasi baharu bagi membendung penyakit berbahaya yang mengancam nyawa manusia,” titah baginda.
Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) yang terletak di dalam Kampus Gong Badak dengan keluasan 12 hektar itu kini telah 85 peratus siap dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos sebanyak RM345 juta dan ia dijangka diserahkan sepenuhnya kepada pihak UniSZA pada 31 Ogos nanti.
Sultan Mizan turut memuji langkah universiti itu yang memeterai kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 31 Mac lepas kerana ia membolehkan IJN berkongsi teknologi dan kepakaran dengan UniSZA serta mengadakan kajian dalam bidang kardiovaskular.
Titah baginda, ia akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu, Kelantan dan Pahang yang memerlukan perkhidmatan daripada IJN.
Sementara itu, Sultan Mizan mencadangkan UniSZA memperkenalkan bidang sains perubatan veterinar dan yang berkaitan bagi membolehkan aspek pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar terutama flora dan fauna diberi perhatian.
“Langkah ini amat bertepatan dengan keperluan aktiviti penternakan di negeri ini kerana ia mampu meningkatkan mutu hasil ternakan menggunakan teknologi terkini,” titah baginda.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *