August 9, 2022

Terengganu peruntuk RM919,000 bantu 59 usahawan melalui skim tugas

0 0
Read Time:1 Minute, 48 Second

 

KUALA TERENGGANU, 10 April — Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) meluluskan pembiayaan sebanyak RM919,331 kepada 59 usahawan melalui Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata skim pembiayaan TUGAS itu diwujudkan khas bagi membantu usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melancarkan aliran tunai syarikat mereka.

“Tidak semua usahawan bernasib baik dapat pembiayaan dari institusi perbankan atau agensi keusahawanan peringkat pusat. Jadi, kerajaan negeri mewujudkan TUGAS sebagai platform untuk membantu usahawan mendapat bantuan dengan lebih mudah dan cepat.

“Kita faham beban kewangan yang dihadapi usahawan kerana kelembapan ekonomi pasca COVID-19 ini. Kerajaan negeri berharap pembiayaan ini akan membantu mereka untuk segera ‘bangkit kembali’ dalam perniagaan,” katanya selepas menyampaikan cek pembiayaan RM919,331 kepada 59 usahawan itu di sini hari ini.

Daripada 59 usahawan tersebut, seramai 25 usahawan menerima pembiayaan RM392,000 melalui Tabung Siti Khadijah, 20 usahawan menerima RM337,000 melalui Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu dan tujuh usahawan menerima RM29,771.20 melalui Dana Prihatin Terengganu Orang Kurang Upaya.

Selain itu, empat usahawan menerima RM15,560 melalui Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu dan masing-masing seorang penerima untuk Skim Pembiayaan Dalam Talian Terengganu (RM10,000), Skim Pembiayaan Mobile Truck (RM60,000) dan Program Peningkatan Kapasiti Enterprise Terengganu (RM75,000).

Pada majlis sama juga, Mohd Nurkhuzaini turut menyampaikan bantuan sebanyak RM27,500 kepada 182 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lepas.

“Kerajaan negeri berharap bantuan ini dapat menampung sebahagian dari kos kerugian yang telah ditanggung oleh peniaga yang terkesan akibat bencana itu dan semoga mereka dapat meneruskan perniagaan dengan cekal walau berdepan pelbagai ujian termasuk pandemik COVID-19 yang menyaksikan jumlah pengunjung ke Pasar Besar Kedai Payang turut berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu, Zakaria Yusoff berkata pihaknya sangat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan negeri terhadap peniaga di Pasar Besar Kedai Payang selama ini.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan golongan peniaga yang terkesan dengan kejadian banjir kilat yang berlaku pada 2 Dis tahun lepas, ekoran hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published.