
TANJUNG MALIM, 6 April — Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman tidak harus tercicir dalam mendapatkan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata kekurangan fasiliti seperti capaian Internet di kawasan tempat tinggal bukanlah satu alasan bahawa masyarakat Orang Asli dipinggirkan daripada menerima vaksin, dan pihak berkepentingan perlu turun padang mendekati golongan itu.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tidak mahu masyarakat Orang Asli ketinggalan dalam urusan pendaftaran untuk mendapatkan vaksin biarpun tidak mudah untuk mendapatkan perkhidmatan internet.
“Walaupun kurang capaian Internet, pihak kementerian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penerangan secara bersepadu mendaftarkan mereka secara manual untuk mendapatkan vaksin. Kita tidak mahu di saat masyarakat lain menerima vaksin, mereka (Orang Asli) tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan program Malaysia Prihatin Imunisasi COVID-19 bersama penyelaras pasukan khas bagi masyarakat Orang Asli negeri Perak di Kampung Sungai Teras di Slim River di sini hari ini.
Zahidi berkata justeru, Program Malaysia Prihatin Imunisasi COVID-19 di kawasan Orang Asli akan dipertingkatkan KKMM bersama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengalakkan golongan itu mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Menurutnya ini kerana sambutan daripada masyarakat Orang Asli pada program berkenaan ketika ini kurang memberangsangkan malah golongan itu seperti takut untuk mendapatkan vaksin.
“Sambutan memang kuranglah dari masyarakat Orang Asli sehingga ada yang lari masuk hutan bila buat program, mereka tidak mahu bersama (semasa) program ini (dijalankan).
Sementara itu, Tok Batin (ketua) Kampung Sungai Teras, Kuluh Bahrin Teh, 63, berkata program Malaysia Prihatin Imunisasi COVID-19 di kampung itu sangat baik memandangkan kebanyakan penduduk tidak mempunyai akses internet untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin berkenaan.
“Memang sebelum ini ada yang takut tetapi selepas pihak kerajaan masuk buat program ini dan beri penerangan, mereka mula sedar dan mahu daftar untuk dapatkan vaksin. Lebih mudah sebab hanya perlu isi borang secara manual,” tambahnya.
Sumber : BERNAMA
Leave a Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *