
KOTA BHARU, 6 April — Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan hampir RM2 juta untuk membantu perbelanjaan persekolahan bagi lebih 1,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Skim Anak Angkat YPM.
Pengerusi Eksekutif YPM Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata menerusi skim tersebut, pelajar akan menerima wang saku bulanan RM80 bagi sekolah rendah dan RM100 bagi sekolah menengah.
Beliau berkata skim tersebut bermatlamat untuk mempertingkatkan taraf pencapaian dan prestasi pendidikan pelajar di samping memastikan setiap pelajar itu menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Tawaran Biasiswa Pelajar menerusi Program Pendidikan Pesisir Pantai (4P) di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) di sini, hari ini.
Mohd Nizar menyampaikan replika cek bernilai RM96,000 kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Sektor Pembelajaran, Hassany Hashim untuk diagihkan kepada 17 pentadbir sekolah pesisir pantai yang terpilih menerusi 4P.
Program 4P itu memanfaatkan 50 pelajar sekolah sekitar Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Leave a Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *