Skip to content
Laman Utama » Namamu Covid-19

Namamu Covid-19

Oleh: Ann Zain Ibnu Ramli

Eh.. tiba-tiba sahaja
Kau muncul Corona
Aku dengar Wuhan asalmu
Kau tiba menimpa segenap inci debu bumi
Tiada siapa mengundangmu
Covid-19

Hei…Covid -19
Kau tahu? Kau bukan tetamu
Amarahku meletus rasa membuak-buak
Kesalku…ah…kesalku lagi datang menerpa-nerpa
Apakah ini tanda murka-Mu Tuhan?
Apakah ini tanda berakhir umat Adam?

Argh…Covid-19
SOP normal baharu mengulit
Membungkus hari-hari kami
Kekhuatiran mainan hari-hari
Penawar tidak ada
Vaksin pula mendadak tercipta
Hebat…hebat
Itu pun bukan lega sepenuh rasa

Tuhanku…
Hari-hari doaku panjatkan
Sujudku merendah diri
Sepenuh hati memohon doa
Berlinang air mata ini Tuhan…
Tuhanku…dengarlah, makbulkanlah

Covid-19
Seranganmu tak kira di mana-mana jua
Bukan di negaraku sahaja
Sebut sahaja kota-kota besar dunia
Sebut sahaja kota-kota cinta dunia
Sebut sahaja kota-kota hiburan dunia
Sebut sahaja kota-kota beli belah dunia
Hingga ke lubang kubur pun kau mampu menyerang hendap

Tiada bangsa terselamat daripadamu
Tiada warna kulit terkecuali daripadamu
Tiada darjat manusia pun yang kebal kombatmu
Tiada jutawan yang mampu menyogokmu
Tiada dermawan yang meraih simpatimu
Tiada ilmuwan yang berdaya mentarbiahmu

Kerana kau yang bernama Covid-19
Segala-galanya dirumahkan
Pekerjaan, perusahaan, perkilangan, pendidikan jua
hal-hal ibadah
Di rumah sahaja

Kepada barisan hadapan
Kau masih bertungkus-lumus
Bermandi peluh, beku segala cuti
Berkorban demi nyawa segala isi nusa
Hingga ada jadi kau pula terkorban nyawa

Ayuh seluruh umat manusia
Usahlah leka
Mutasi Covid-19 tidak mampu dijangka Sang Ahli Kira-Kira
Amalkan 3W, elakkan 3C
SOP patuhi terus patuhi jangan alpa
Terima kasih barisan hadapan atas pengorbanan
Terima kasih rakyat yang terus sabar
Mari kita terus berdoa
Moga Tuhan memerhati dan mendengar

 

Ann Zain Ibnu Ramli
Lewat destinasi matahari meninggi di SMK Ringlet
04 Mei 2021

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *