Skip to content
Laman Utama ยป Survival Family – Hidup Tanpa Elektrik & Teknologi

Survival Family – Hidup Tanpa Elektrik & Teknologi

Oleh: Izzat Ibrahim

Bila naik isu ‘perempuan tak pandai siang ikan’, saya teringat filem ‘Survival Family’. Sebuah filem yang memberi gambaran perubahan cara hidup manusia selepas berlakunya tragedi seperti yang kita alami sekarang.

Antara babak awal filem ini, seorang perempuan dapat seekor ikan besar. Tapi tak tahu nak proses macam mana. Sebab duduk bandar kan semua dah tersedia. Tinggal bayar je. Tapi lepas terjadinya tragedi, mereka pandai dah proses makanan dari awal. Mereka seronok dengan gaya hidup yang baru.

Survival Family menceritakan sebuah tragedi terputus bekalan elektrik yang berlaku ke atas seluruh dunia. Ini bukan berlaku 2-3 hari sahaja. Tapi berlaku selama 3 tahun!

Boleh bayangkan hidup tanpa elektrik?

Segala peralatan yang berkaitan teknologi pun tidak boleh digunakan. Seperti kereta, kapal terbang dan kenderaan awam. Dari sekecil bateri hinggalah penjana tangki pam air. Bayangkan nak pergi kerja di tempat yang jauh perlu berjalan kaki atau naik basikal? Duit dalam ATM tak dapat dikeluarkan. Nak berbelanja di pasaraya pun terpaksa beratur panjang sebab semua kena kira menggunakan sempoa.

Survival Family: Pengembaraan tanpa kenderaan

Mula-mula mereka ingatkan beberapa jam atau beberapa hari sahaja. Tapi semakin hari keadaan semakin tenat. Akhirnya banyak institusi kerja tidak dapat diteruskan. Setiap rutin kehidupan manusia yang berasaskan teknologi juga terganggu.

Keluarga utama dalam filem ini, keluarga Suzuki ambil keputusan untuk tinggalkan bandar Tokyo. Mereka mahu pulang ke kampung yang terletak beratus kilometer memakan masa berbulan-bulan. Sebab mereka ingat di bandar sahaja tiada elektrik.

Jadi di sinilah pengembaraan survival mereka sekeluarga bermula. Mereka pulang ke halaman dengan menggunakan basikal. Dalam perjalanan ini lah mereka belajar cara nak dapatkan air bersih, proses daging sendiri, masak cara kampung dan sebagainya. Masa ini segala jenis kemewahan sudah tiada lagi apa-apa nilai.

Survival Family: Kembali kepada hidupan fitrah

Sedangkan sebelum itu anak-anak hanya sibuk dengan gajet, ayah sibuk bekerja dan ibu hanya pandai masak gaya moden. Siang ikan pun tak pandai. Hubungan kekeluargaan mereka juga agak renggang.

Norma Baru

Selepas 3 tahun tragedi ini berlaku, elektrik sudah ada kembali. Keluarga ini pun pulang semula ke Tokyo.

Sekarang kehidupan mereka sudah berubah. Apa yang mereka lalui sepanjang perjalanan dan 3 tahun tragedi ini membuatkan kehidupan mereka ada kelaziman yang baru. Anak beranak lebih suka berbasikal, sudah pandai siang ikan dan bawa bekal ke tempat kerja dan belajar. Hubungan kekeluargaan mereka juga sudah menjadi erat.

New normal atau kelaziman baharu ini juga merupakan gaya hidup asal diri kita. Tapi disebabkan arus kemodenan dan teknologi yang berkembang pesat, kita secara perlahan dan tidak sedar telah meninggalkannya. Jadi tragedi jangka panjang seperti wabak Covid-19 yang melanda kita sebelum ini, ibarat butang reset untuk kehidupan. Mungkin kita sudah terlalu jauh dari gaya hidup fitrah manusia.

Filem ini sesuai untuk tontonan keluarga. Tiada adegan ganas dan menyeramkan. Yang ada hanyalah tentang kekeluargaan dan sedikit jenaka. Tiada bahagian yang bosan.

Pernah tercalon dalam International Film Festival & Award Macao pada tahun 2017. Hebat!

Poster Filem Survival Family