Disediakan Oleh: Penggiat Seni dan Warisan Batu Pahat
Kami sebagai rakyat, yang bergerak secara individu, berkumpulan (kolektif) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang aktif bergiat dan peduli tentang perkembangan keilmuan, falsafah, seni, budaya, warisan dan sejarah, menuntut wakil rakyat yang bakal memenangi kerusi-kerusi bagi kawasan pilihan raya negeri Johor dalam daerah Batu Pahat seperti yang tertera di bawah:-
N17 Semerah
N18 Sri Medan
N19 Yong Peng
N20 Semarang
N21 Parit Yaani
N22 Parit Raja
N23 Penggaram
N24 Senggarang
N25 Rengit
agar komited dan beriltizam sekiranya terpilih sebagai wakil untuk sepenuhnya berkhidmat demi rakyat, bukan hanya untuk kekuasaan dan pangkat.
Dalam suasana Pilihan Raya Negeri di sini, kami melihat barisan wakil rakyat semuanya berkobar untuk memikul tanggungjawab sebagai perwakilan dalam mengedepankan suara kami semua. Maka, kami menyeru bakal-bakal ADUN Batu Pahat seperti yang disenaraikan di atas untuk bersedia melaksanakan beberapa perkara berikut:-
1. Berusaha untuk mengangkat, memulihara dan memperkasa seni, budaya, warisan dan sejarah yang ada di daerah Batu Pahat.
Tiada apa yang lebih berharga untuk membangun sesebuah penempatan, melainkan dengan adanya satu bentuk identiti yang kukuh mengakar di dalam setiap individu masyarakatnya. Batu Pahat memiliki sebuah sejarah yang panjang, warisan budaya dan kesenian yang serba mewah, seniman dan kumpulan penggiat kebudayaan yang ramai yang terdiri dari pelbagai bangsa, maka adalah rugi jika warisan-warisan ini terus tenggelam dan anak bangsa masa depan tidak lagi dapat menghayati dan mengenali identiti sendiri.
2. Menyokong semua usaha yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggiat individu dan kumpulan seni budaya, warisan dan sejarah dari daerah Batu Pahat.
Pentadbir perlu mewujudkan ruang atau platform untuk penggiat seni, budaya, warisan dan sejarah berekspresi dan berkreativiti. Seperti yang diketahui, di kampung-kampung dan sekitar kawasan Batu Pahat memiliki sanggar atau ruang kolektif (space) yang dikelola oleh anak muda dan penggiat seni secara mandiri. Terbangun atas semangat kesenian. Maka adalah wajar untuk pentadbir merayakan inisiatif mereka.
Pihak badan bertanggungjawab di bawah kerajaan berfungsi sebagai pentadbir. Manakala pekerja, penggiat, seniman dan aktivis adalah pelaksana, melalui perkumpulan-perkumpulan kecil mengikut kecenderungan tersendiri.
Pentadbiran yang menyokong penuh usaha-usaha masyarakatnya dalam merancakkan kegiatan seni di dalam kawasannya dapat menyumbang kepada pembangunan identiti tempatan yang kukuh, seterusnya dapat meningkat dan memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pelawat, pemerhati, pengkaji dan pelancong.
3. Membahaskan dan mengusulkan isu-isu berkenaan seni, budaya, warisan dan sejarah berkenaan daerah Batu Pahat dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor
Kami sangat percaya bahawa nilai-nilai kesenian, baik kesenian tradisional mahupun kontemporari, warisan budaya mahupun cetusan pembaharuan, memiliki nilai-nilai yang penting dalam membentuk hala-tuju masyarakat. Maka sebaiknya kami mahu perkara-perkara berkaitan seni dibahaskan dalam Dewan Rakyat. Ini bermakna kami mahu melihat wakil rakyat kami benar-benar bersungguh untuk mengedepankan potensi kesenian dan budaya warisan dalam pembangunan Batu Pahat.
4. Memberikan galakan dan bantuan dalam apa jua bentuk dan cara bagi mengupayakan persatuan-persatuan dan individu-individu karyawan dan seniman dari daerah Batu Pahat tanpa mengira bulu.
Sesebuah tempat akan dapat membangun pesat, jika barisan pentadbir memiliki perhatian yang tajam dalam melihat dan memanfaatkan potensi masyarakatnya dalam bentuk galakan dan sokongan yang kuat.
5. Mempermudahkan permit hiburan serta memansuhkan pembayaran permit bagi acara seni di jalanan.
Ruang-ruang awam seperti terminal bas, tapak rekreasi, taman, kedai makan dan seumpamanya, sepatutnya menjadi ruang bebas bagi mereka berekspresi. Ini kerana, ruang awam juga dijaga secara bersama atas tanggungjawab bersama. Jadi tidak relevan, jika pemuzik jalanan (buskers) perlu membayar sebanyak RM10 setiap hari untuk melakukan persembahan di jalanan. Hasil mereka tidaklah sama seperti pulangan untung yang diraih penganjur besar seperti expo dan sebagainya, tetapi mereka masih tetap terpaksa memohon permit hiburan.
6. Menubuhkan badan pengkaji serta unit kesenian dan kebudayaan dalam pentabiran pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran, Majlis Daerah)
Kami menyedari bahawa di bawah PBT tidak mempunyai badan khusus yang bertanggungjawab dalam menjaga dan melestarikan sejarah dan seni budaya tempatan. Yang ada hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah nama “Majlis Kesenian” dan “Persatuan Sejarah”. Jadi adalah wajar dan sangat penting, untuk kedua-dua unit ini diwujudkan di bawah PBT. Hal ini dapat memberi kesan positif dalam pembangunan daerah kerana nilai-nilai sejarah, keindahan (estetika), keilmuan dan jati diri (budaya) telah diusahakan untuk dijaga, dan diberi perhatian dengan lebih kemas dan teliti oleh badan pentadbiran.
7. Mengupaya, membantu dan memperkasa potensi seni budaya di kawasan kampung (luar bandar) daerah Batu Pahat.
Di satu sisi sejarah, kawasan Batu Pahat ini bermula dari pembukaan kampung-kampung kecil secara kolektif oleh masyarakat sehingga terbangun menjadi daerah. Semenjak dari penghijarahan masyarakat awal Batu Pahat sekitar 1900’an, mereka telah sedia membawa kesenian tradisi masing-masing ke setiap pelusuk kampung. Kegiatan kesenian telah lama berjalan atas pengorbanan dan inisiatif masyarakat sendiri secara mandiri. Banyak kesenian kontemporari juga bermula di Batu Pahat, juga majoritinya bergerak secara mandiri tanpa sokongan dari pihak pentadbir atau kerajaan.
Tidak boleh ditolak lagi, nilai-nilai yang memberi nafas kepada Batu Pahat adalah nilai yang bermula dari kampung-kampung kecil yang terdapat di sekitar daerah ini. Maka, pembangunan masyarakat dan landskap penempatan akan lebih efisien jika pihak pentadbir merangsang pemerkasaan potensi seni budaya bermula dari kawasan-kawasan kampung. Membantu perkampungan-perkampungan yang ada untuk bergerak secara mandiri dalam menerus dan membangunkan kesenian budaya yang diwarisi.
8. Membangunkan sebuah institusi seni budaya dan memperkenalkan biasiswa kepada anak-anak atau mahasiswa Batu Pahat yang ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni, budaya, warisan dan sejarah.
Pendidikan yang berkualiti adalah jaminan untuk pembangunan modal insan, sedangkan modal insan yang berkualiti yang mencapai potensi keperibadiannya akan dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat seterusnya peradaban. Sokongan pentadbir dalam bidang pendidikan khususnya di bahagian sejarah, kesenian, kesusasteraan dan falsafah akan dapat merangsang pertumbuhan warisan seni dan budaya tempatan.
Di Batu Pahat, kita sudah memiliki banyak institusi teknologi dan membentuk anak muda untuk menjadi teknokrat. Dalam pembangunan sebagai masyarakat teknologi sendiri, kita tidak boleh terlepas pandang kepentingan sejarah, seni dan budaya yang mengakar dalam kehidupan masyarakat setempat. Adalah penting untuk perkembangan ilmu-ilmu teknikal dan teknologi diseimbangkan dengan ilmu-ilmu falsafah dan estetika, agar madu-madu hikmah yang tersemat dalam warisan sejarah, seni, kebijakan tradisi dan falsafah budaya dapat dituai untuk kepentingan masyarakat bersama.
9. Mempermudahkan proses urusan berkaitan pentadbiran melibatkan karya seni awam di daerah Batu Pahat (instalasi, mural, arca awam)
Selain dari ramai pemuzik jalanan berhadapan dengan kesukaran dalam pengurusan permit hiburan, masalah proses urusan pentadbiran dalam pembangunan karya seni di Batu Pahat juga dihadapi oleh seniman-seniman seni halus seperti instalasi, mural dan arca. Baru-baru ini, seorang artis Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Negara yang mewakili daerah Batu Pahat, tidak dapat mengangkat nama kesenian Batu Pahat kerana berdepan dengan masalah pentadbiran Majlis Perbandaran sewaktu proses permohonan tapak. Proses permohonan memakan waktu yang sangat lama dan rumit. Karya yang ingin dibawa pula ditapis secara ketat oleh pihak pentadbiran, sehingga menghilangkan tujuan dan maksud yang ingin disampaikan. Akibatnya, beliau terpaksa pergi ke Kluang dan memohon dari Majlis Perbandaran Kluang untuk membangunkan karyanya di situ dan mendapat layanan yang baik. Ini adalah satu kerugian besar jika perkara sebegini berulang lagi di batu Pahat.
10. Mellibatkan komuniti seni, budaya, warisan dan sejarah daerah Batu Pahat dalam proses perancangan bandar dan pelaksanaan pembangunan.
Landskap memainkan peranan penting dalam pembangunan daya fikir dan kreativiti masyarakat. Tanpa landskap yang baik, masyarakat akan semakin sukar untuk sedar tentang keadaan persekitaran. Keadaan persekitaran Batu Pahat yang hanya dibangunkan oleh kontraktor-kontraktor tanpa mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan pakar sejarah dan seni membuatkan keadaan landskap-landskap di Batu Pahat kelihatan kaku. Sedangkan, melalui seni dan sejarah, ada terlalu banyak potensi yang boleh diteroka untuk membawa keadaan persekitaran Batu Pahat ke arah yang lebih bernyawa.
11. Perkukuhkan pengisian bahan di perpustakaan, galeri dan muzium kesenian yang terdapat di dalam daerah Batu Pahat.
Terakhir, keadaan perpustakaan Batu Pahat sangat kelam. Tak ramai masyarakat yang menyedari di mana kedudukan perpustakaan. Tidak banyak informasi tentang perpustakaan, apatah lagi aktiviti-aktiviti perbukuan yang dijalankan di Batu Pahat. Galeri Dato’ Onn hanya khusus pengarkiban bahan-bahan sejarah sekitar hidup Dato’ Onn. Kita perlukan sebuah galeri, yang dikelola oleh badan kerajaan, khusus mengumpul karya-karya kesenian tradisi dan kontemporari Batu Pahat. Kita juga perlukan sebuah muzium, yang menjaga dan melestarikan warisan kesenian nenek moyang yang kaya. Libatkan penggiat-penggiat tempatan dan ahli pakar dalam proses pembangunan dan pelaksanaan. Ini adalah satu jalan yang dapat menyelamatkan seni tradisi Batu Pahat seperti gambus, ghazal, kuda kepang, wayang kulit dan lain-lain dari kepupusan. Ini juga dapat mengelakkan dari anak-anak seni Batu Pahat terpaksa keluar daerah atau negeri, untuk membangunkan hidup sebagai seniman.
Di Batu Pahat ini, kita telah memiliki sejarah yang panjang, warisan kesenian yang tinggi martabatnya. Tetapi sayang, perkara-perkara yang sangat berpotensi ini masih kurang diberi perhatian. Kami berharap, PRN kali benar-benar malahirkan wakil rakyat Batu Pahat yang sepenuhnya serius untuk membangunkan masyarakat, dan kalimat “demi rakyat” bukanlah hanya retorik untuk pangkat, projek, komisyen dan tender yang menunggu apabila berkuasa.
Disokong oleh:
- Pusat Sekitar Seni (Batu Pahat)
- Karyasama (Johor)
- Luas Karya Collective (Batu Pahat)
- Kebun Cinta Lestari (Simpang Renggam)
- Kebun Ibrik (Batu Pahat)
- The Flap Studio (Batu Pahat)
- Rumah Putih Collective (Batu Pahat)
- Kolektif Naratif (Kulai)
- Pertubuhan Kebajikan Bakti Malaysia (Batu Pahat)
- Kelab Kecerdasan dan Rekreasi Batu Pahat (Batu Pahat)
- Vianna Art Studio (Batu Pahat)
- Orkes Keroncong Bandar Penggaram (Batu Pahat)
- Tabu Hapat Band (Batu Pahat)
- Persatuan Aktivis Muzik Dan Seni Batu Pahat (Batu Pahat)
- Metafor Studio (Batu Pahat)
- Perguruan Nogo Brondong (Batu Pahat)
- Mahathir (They) – Artis Kontemporari, Graffiti, Instalasi (Batu Pahat)
- Azlan Sharif – Aktivis Sejarah dan Masyarakat (Batu Pahat – Kuala Lumpur)
- Kopi Chandu (Batu Pahat)
- Pusat Kebudayaan dan Kesenian Setia Budi (Batu Pahat)
- Mohd Azli bin Kamiran – Guru, Aktivis Kebudayaan & Silat (Batu Pahat)
- Azlan Komeng – Pelakon, Aktivis seni, Kebudayaan & Silat (Batu Pahat)
- Wak Kang/Mohd Faizal Bin Riduan – Seniman dan Aktivis Sukarelawan (Johor Bahru)
- Kelab Sahabat Memorabilia Naratif Batu Pahat (Batu Pahat)
- Galeri Warisan UTAG (Batu Pahat)
- Anak Kampung Agro Farm (Batu Pahat)
- Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia/Klima Action Malaysia (KAMY) (Batu Pahat – Kuala Lumpur)
- Sanggar Alif Empayar Nusantara (RHF) – (Batu Pahat)
- Baris Kata Bookstore (Johor Bahru)
- The Wall (Batu Pahat)
- Regimen Askar Halus (Batu Pahat)
- Kayu Karya (Batu Pahat)
- Kelab Belia Haluan Bandar Simpang Renggam (Simpang Renggam)
- Johor Sketchers (Johor Bahru)
- Laman Umum Anak Seni (Kulai)