Skip to content
Laman Utama » Documenta 15: Malaysia ke Jerman Atas Semangat Kolektivisme

Documenta 15: Malaysia ke Jerman Atas Semangat Kolektivisme

Oleh: Tim Media Karyasama

BATU PAHAT – Di bawah Organisasi Tidak Berasaskan Keuntungan documenta und Museum Fridericianum gGmbH, yang didanai oleh Yayasan Pusat Budaya Jerman (German Federal Cultural Foundation), serta badan pentadbiran bandar Kassel dan Negeri Hasse, dua kolektif seni dari Malaysia telah dijemput menyertai Documenta Fifteen melalui kumpulan kurator Ruangrupa (Jakarta), sebuah acara pameran seni antarabangsa di Kassel, Jerman. Sepanjang 67 tahun Documenta berlangsung, ini adalah buat ketiga kali Malaysia terlibat dalam Documenta. Dan untuk pertama kalinya, kita membawa semangat kolektivisme ke dalam “Muzium 100 Hari” tersebut.

Mohd Hizal Rusinin dan Adi Helmi Jaini bakal mewakili Pangrok Sulap, sebuah kolektif dari Sabah. Kolektif kedua adalah Tindakan Gerak Asuh, diwakili oleh Aisyah Baharuddin dan Zuliza Hasliza. Mereka berempat bakal mewakili Malaysia dalam mengangkat nilai kesenian dan pergerakan komuniti yang telah dibangunkan di sini.

Pameran ini mengambil tempat 5 tahun sekali semenjak 1955, dan tahun ini (2022) adalah kali ke-15 ia dijalankan. Ia bakal berlangsung di Muzium Fridericianum dan sekitar Kassel, dan sebahagian aktiviti telah pun berjalan di sana.

Sumber: https://universes.art/en/documenta/2022

Sejarah Documenta

Documenta adalah sebuah Pameran Seni Kontemporari yang diasaskan oleh Arnold Bode pada 1955. Ia adalah sebagai sebahagian dari acara Bundesgartenschau yang berlangsung di Kassel ketika itu. Sejarah asalnya, Documenta bertujuan untuk membangunkan kesenian moden Jerman. Sekaligus ingin menghapuskan dan menolak budaya yang lahir dari zaman kegelapan Nazisme yang meninggalkan trauma mendalam buat rakyat Jerman.

Documenta sering dirujuk sebagai “muzium 100 hari”, memandangkan ia mengambil masa dalam 100 hari untuk berpameran. Bagi tahun ini, Documenta Fifteen dijadualkan bakal berlangsung pada 18 Jun sehingga 25 September ini.

Sumber: https://universes.art/en/documenta/2022/ruangrupa

Ruangrupa, sebuah kolektif artis dari Jakarta, yang terdiri dari 10 orang ahli teras, telah dipertanggungjawabkan sebagai kurator Documenta Fifteen. Pencalonan tersebut dibuat sebulat suara oleh International Finding Comittee. Ini adalah kali pertama Asia Tenggara menjadi wakil sebagai kurator bagi acara Documenta.

Konsep ‘Lumbung’

Kali ini, konsep ‘lumbung’ digunakan sebagai konsep utama yang menentukan hala tuju artistik (artistic direction) Documenta Fifteen. ‘Lumbung’ adalah pondok padi yang dikelola secara bersama oleh masyarakat petani. Memiliki sebuah prinsip kolektivisime di mana setiap sumber asas dimiliki dan dikerjakan secara bersama oleh masyarakat petani.

Semangat ini jugalah yang dijadikan sebagai gagasan yang melatari Documenta Fifteen. Bertujuan bagi membangunkan jaringan antara artis dari serata dunia dengan komuniti tempatan Kassel. Semangat ini juga menjadi teras dalam setiap pameran, bengkel dan aktiviti yang bakal berlangsung.

Untuk itu, sebuah ruang kolektif sementara yang dipanggil RuruHaus dibangunkan agar dapat dimanfaatkan oleh komuniti seni untuk mendekati konteks tempatan Kassel. Bertujuan untuk menginovasi, menyokong dan menyatu dengan perkara-perkara yang telah sedia terbangun di sana. Ruruhaus menggunakan gerak kerja kolektivisme yang sudah berbelas tahun diterapkan dalam Ruangrupa.

Sumber: https://artreview.com/will-documenta-go-ahead-in-2022/

Merespon Trauma Perang Dunia

Mengambil semangat Documenta 1955 yang merespon kepada luka akibat kolonialisme Nazisme, Ruangrupa kali ini pula merespon kepada permasalahan masyarakat dan politik dunia akibat kesan penjajahan dan penjarahan kapitalisme. Seperti yang dijelaskan Mirwan Adnan, salah seorang anggota Ruangrupa, kapitalisme sekarang ini telah menjarah sejumlah sumber daya alam dengan begitu banyak, tetapi tidak memiliki infrastruktur yang baik dalam pengurusan sumber daya alam sehingga wujudnya eksploitasi terhadap alam dan manusia.

Beliau menambah, bahawa sifat-sifat cela seperti kerakusan, ketamakan, amarah, dengki, kesombongan, hawa nafsu dan kemalasan telah membuatkan kapitalisme semakin membarah. Dan melalui model kolektivisme, yang sebaik boleh menerapkan nilai-nilai belas kasihan dan kebaikan, adalah jalan bagi merawat luka dan trauma ini.

Antara program yang bakal dijalankan adalah Kajian Kolektif dan Ekosistem Seni Kontemporari yang dinamakan Gudskul. Ia adalah sebuah platform pendidikan yang dibangunkan oleh tiga kolektif Jakarta iaitu Ruangrupa, Serrum dan Grafis Huru Hara. Mereka akan membentangkan Sekolah Temujalar yang sudah masuk ke tahun kelima dalam program pengajian kolektif tahunan mereka.

Sekolah Temujalar didedikasikan untuk ahli perwakilan dari kolektif seni dari negara-negara Asia Pasifik yang secara aktif menjalankan program dan aktiviti pendidikan di tempat masing-masing; yang mana secara aktif mengamalkan pendekatan pedagogi eksperimental,yang dapat mempraktikkan kesenian mereka ke dalam pelbagai konteks dan mampu menguruskan program mereka secara mandiri . Peserta yang terlibat dalam penyelidikan kolektif ini mengambil tempoh sepanjang 50 hari (14 Jun – 16 Ogos 2022) untuk secara kritikal melibatkan diri dengan proses pembelajaran kolektif yang dijalankan.

Semoga keberangkatan Pangrok Sulap dan TIGA (Tindakan Gerak Asuh) dapat membawa pulang hikmah-hikmah yang dapat membangunkan masyarakat, komuniti seni, keilmuan dan pembangunan masyarakat di negara ini. Kami di Karyasama mengucapkan tahniah atas penglibatan ini dan memandang jauh agar ke arah pemantapan seni, kebudayaan dan semangat kemerdekaan jiwa itu dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

TENTANG PANGROK SULAP

Pangrok Sulap adalah sebuah kolektif artis, pemuzik dan aktivis sosial di Sabah. Memiliki misi untuk memperkasakan masyarakat luar bandar dan golongan terpinggir melalui seni. Ditubuhkan pada 2010 oleh Rezo Leong, Gindung McFeddy Simon dan Jerome Manjat. “Pangrok” berasal dari perkataan “Punk Rock”, manakala “Sulap” bermaksud “pondok” atau tempat berehat yang biasanya digunakan oleh masyarakat petani.

Sejak 2013, cetakan kayu telah menjadi alat utama kolektif ini dalam menyebarkan mesej-mesej sosial. Kolektif ini memegang kuat gagasan “buat sendiri, jangan beli.”, yang mana karya-marya mereka bertumpu kepada permasalahan hak asasi manusia, politik, eksploitasi alam dan manusia. Tumpuan terhadap permasalahan ini didasarkan oleh keadaan sekitar masyarakat luar bandar Sabah yang mana cara hidup dan sumber kehidupan mereka diancam pembangunan dan modenisasi.   

TENTANG TIGA

Sebuah inisiatif seni yang bergerak bebas dalam berkolektif dan beraktiviti sejak tahun 2008 dan sekarang berpusat di Parit Raja, Johor. Gabungan antara Artis, Penulis dan Aktivis yang terdiri daripada Aisyah Bhr, Iltizam Iman dan Julie Sidek. Cenderung kepada isu-isu masyarakat yang berkait dengan perihal alam, kesenian dan pendidikan. Dengan pendekatan kemanusiaan yang dinamik ini, di bawah TIGA terdapat tiga cabang utama yang menjadi tulang belakang dalam membangunkan masa depan yang lebih progresif dan berdikari iaitu Pusat Sekitar Seni (2008), Kebunia (2020) dan Pustaka Karyasama (2018).       

   

Editorial Karyasama
16 Mei 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *