Oleh: Izzah Zahin Binti Aliman
Sebagai peserta tetap siri Wacana Johor nan Jauhar yang berlangsung sepanjang 2025, artikel ini ditulis dalam kapasiti peribadi penulis sebagai penuntut ilmu dan pencinta wacana terbuka yang memerhati dengan dekat perkembangan yang berlaku.
Pada pemerhatian penulis, buat masa ini belum ada wacana umum bulanan yang konsisten yang menyentuh mengenai tokoh, kesusasteraan, sejarah, seni dan warisan budaya Johor yang rancak dianjurkan di perpustakaan awam di Johor. Belum ada program yang disusun teliti seperti siri Wacana Johor nan Jauhar. Tiada pameran atau program sebegini daripada institusi penting seperti Muzium Tokoh Johor walaupun sekarang sedang sibuk dengan kerja menaik taraf bangunan. Yayasan Warisan Johor juga begitu, walaupun inilah antara fungsi utama kewujudan mereka.
Maka, penulis melihat siri kuliah ini sememangnya telah menjadi platform penting untuk penglibatan dan pembelajaran masyarakat. Paling utama, ia telah mengisi kehausan intelektual masyarakat yang secara nyata amat kritikal di negeri kita.

Tetapi, amat pedih rasanya apabila syarahan keenam beliau yang dijadualkan pada 3 Ogos 2025 sempena Bazar Buku Antarabangsa Johor dibatalkan. Beberapa penulis juga dihalang untuk naik ke pentas sebagai panelis. Semuanya secara tiba-tiba, tanpa penjelasan yang menyeluruh. Penulis, seperti ramai peserta lain, rasa sangat terganggu dan kecewa. Sedangkan lima sesi sebelumnya berlangsung lancar, banyak pembelajaran dan hikmah dapat kami tuai bersama.
Rasa terganggu dan kecewa ini bukan semata tentang sesi keenam yang tidak dapat berlangsung. Tetapi tentang isyarat halus yang diberikan badan bertanggungjawab terhadap budaya keilmuan. Ia amat membimbangkan kami, tentang masa depan ruang wacana bebas dan terbuka di Negeri Johor Darul Ta’zim Permata Selatan.
Fakta Penting Tentang Johor nan Jauhar:
Johor nan Jauhar adalah satu inisiatif wacana ilmiah awam yang dilancarkan awal tahun ini (2025). Program ini tak akan berlaku tanpa kerja keras Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), NGO Karyasama Johor dan Dewan Muda Johor.
Usaha merealisasikan wacana ini turut digerakkan oleh saudara Wan Khuzairey Wan Mohtar, lulusan Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak. Juga memiliki Sarjana Sejarah, Ekonomi dan Sains Politik dari Universitas Indonesia (UI). Bersama beliau ialah saudari Nurul Shakila Mohamad Zain selaku Eksekutif Media dan Komunikasi.
Siri ini menyorot kisah tokoh-tokoh Johor moden serta memperkenalkan semula karya penting sejarah, sastera dan warisan seni budaya negeri ini. Antaranya buku terbitan Yayasan Warisan Johor, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penerbit UTM Press.
Siri pertama yang dilancarkan pada tanggal 1 Februari 2025 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor.
Kuliah sebelum ini telah turut dihadiri pemimpin masyarakat seperti:-
- Yang Berusaha Tuan Alex Lai 赖益盛, Mantan Pengerusi 新山中华公会 Persekutuan Tiong-Hua Johor Baru.
- Yang Berhormat Prof Dato’ Dr Kassim bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor merangkap Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia, Pakar Bidang Sejarah Yayasan Warisan Johor, Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
- Tokoh bahasa dan persuratan Melayu serta pegawai perpustakaan dari Selangor, Singapura dan Kepulauan Riau Indonesia.
- Mahasiswa NUS serta pelajar tempatan.
Siri-Siri Perbincangan Johor nan Jauhar
Sesi 1 – Bangsawan Fikiran: Tawarikh Datuk Bentara Luar Salleh Perang
Sesi 2 – Munshi Ibrahim: Perlayaran, Perwakilan dan Pemerhatian
Sesi 3 – Na Tien Piet dan Syair-syair Johor
Sesi 4 – Muhammad Said Sulaiman: Bahasa Itu Pembangunan
Sesi 5 – Johor Dikenang Sejarah: Penulisan Shaharom Husain
Sesi 6 – Johor dan Permodenan: Bintang dan Rintang
Kenyataan Rasmi Tak Menjawab Soalan Pokok
Benar, satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan pihak penganjur. Namun penjelasan tersebut amat terhad dan gagal menjawab pertanyaan asas yang membelenggu orang ramai: Mengapa Wacana Johor Nan Jauhar ini dibatalkan begitu mendadak? Mengapa suara akademik berkaliber seperti Dr Azhar Ibrahim perlu dibungkam? Adakah jaminan jelas terhadap kesinambungan siri ini?
Ketelusan itu penting bukan untuk mencari salah tetapi untuk menjaga amanah awal yang telah ditetapkan sejak hari pertama penganjurannya: menjadikan Johor sebagai tanah subur bagi warisan budaya ilmu, pemikiran kritikal dan penghargaan terhadap sejarah serta warisan kita sendiri.
Ini bukan hanya soal layanan kepada seorang sarjana tetapi juga terhadap martabat wacana ilmu di Johor. Kuliah beliau yang terakhir menyentuh perihal Cikgu Shaharom Husain (1919-2008). Seorang penulis berprolifik, anak jati Perserai Batu Pahat. Bersekolah di Perak yang kemudiannya selalu berulang alik ke seberang tambak mempelajari Bahasa Inggeris. Banyak bergiat dalam dunia penulisan dan bergelumang dengan pementasan teater.
Lupa Tujuan Asal?
Yang lebih merisaukan penulis adalah seolah-olah berlaku “amnesia institusi” yakni satu penyakit “hilang ingatan beramai-ramai” terhadap niat asal siri ini yang mahu membudayakan pemikiran kritis dan memperluas akses ilmu kepada rakyat. Kita terlupa niat asal kita menganjurkan wacana ini. Kita lupa mengapa ia dimulakan. Kita terlupa mengapa kita mengundang ilmuwan. Kita terlupa bahawa dalam perjalanan membina sebuah negeri maju, kita tidak hanya membina RTS ETS, kediaman kondominium mewah, menara pencakar langit mahupun memperlebar jalan raya. Kita juga mesti membina fikiran.
Maka, pembungkaman seperti ini bukan sahaja mencacatkan rentak siri ini, malah mengkhianati semangat asalnya. Juga mengkhianati semangat keilmuan yang merdeka.
Peranan Aktif Pustakawan
Dr Azhar Ibrahim dalam kuliahnya sering menekankan bahawa pustakawan bukan sekadar penjaga rak buku tetapi juga pemain utama dalam usaha membudayakan pemikiran terbuka. Beliau juga menegaskan perlunya pustakawan, pelajar dan masyarakat terlibat secara aktif: menulis, mengkaji dan memimpin perbincangan awam. Ini bukan satu retorik kosong – ia datang daripada pengalaman beliau sendiri merantau menuntut ilmu di negeri Barat kemudiannya kembali menabur bakti mengajar dan mendidik. Selain menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Warisan Melayu Singapura dan Perpustakaan Negara Singapura. Pengalaman ini amat relevan jika Johor ingin memperkukuh peranannya sebagai pusat ilmu serantau selain membantu PPAJ memeta hala tuju perpustakaan negeri agar lebih bersifat strategik, terbuka dan mesra masyarakat.

Kita Mesti ‘Adil
Sebagai penuntut ilmu, kita dituntut untuk bersikap adil. Kita perlu datang kepada wacana dengan minda gelas kosong, bersedia belajar dan berdaya fikir. Sama ada dalam sejarah, kesusasteraan atau kebudayaan, rasa ingin tahu adalah bahan bakar utama pemikiran yang sihat.
Kita tidak boleh hanya fokus pada ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata. Jika kita benar-benar serius mahu membina Johor sebagai negeri maju yang progresif, inklusif dan mampan menjelang 2030, kita mesti meletakkan pembangunan mentaliti sebagai komponen utama. Tidak ada gunanya membina bangunan gah tinggi-tinggi jika pemikiran kita masih rendah ditakuk lama.
Wacana Bukan Ancaman, Melainkan Jalan Kemajuan
Wacana ilmiah bukanlah ruang propaganda. Ia ruang untuk bertanya, menyoal, berbeza pandangan dan dari situ, munculnya kemajuan. Menutup ruang seperti ini sebaliknya adalah tindakan mundur, bukan maju ke hadapan. Amat menggusarkan apabila ruang perbincangan ilmiah yang seharusnya disambut dengan keterbukaan dianggap sebagai sesuatu yang perlu ditapis atau dikawal ketat. Wacana bukan ancaman. Syarahan tidak harus ditafsir sebagai kritikan membuta tuli. Forum ilmiah adalah medan untuk memperluaskan pandangan, bukan untuk menanam syak wasangka.
Lebih ironis, insiden ini berlaku pada minggu di mana YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi berada di Singapura sebagai penerima ke-82 Anugerah Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) yakni satu pengiktirafan berprestij yang diberikan oleh pemerintah Singapura. Lawatan tersebut telah dihoskan oleh Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Luar Negeri Singapura dan melibatkan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi republik tersebut serta lawatan ke institusi-institusi penting bagi memperkukuh kefahaman dua hala dan kerjasama serantau.
Amat malang apabila dalam masa yang sama pemimpin tertinggi Johor mempromosikan kerjasama rentas sempadan, pertukaran intelektual serta penanda aras dasar awam bersama Singapura – seorang sarjana Melayu berwibawa yang berpengkalan di Singapura dan memiliki jaringan serantau yang kukuh pula disekat daripada menyampaikan syarahannya.

Hendaklah kita prihatin kerana saat ini Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN dan Negeri Johor sedang giat membuat persiapan bagi Tahun Melawat Johor 2026. Ini seharusnya menjadi detik untuk memperlihatkan keterbukaan, kepimpinan dan kesiapsiagaan serantau kita. Namun tindakan sebegini sebaliknya hanya mencemarkan imej Johor yang takutkan ilmu pengetahuan serta menjejaskan kredibiliti Malaysia di mata serantau.
Demi Masa Depan Johor
Sebagai Bangsa Johor dan peserta wacana ini, saya menzahirkan harapan yang tulus agar ruang ilmu terus dipelihara. Jangan biarkan rasa takut terhadap pandangan kritikal membantutkan cita-cita besar negeri ini. Jangan jadikan tulisan dan forum ilmiah sebagai musuh.
Kita mesti bina masyarakat yang ingin tahu, ingin faham dan ingin berfikir. Hanya dengan itu Johor akan benar-benar layak digelar negeri maju. Maju, bukan sahaja dari segi angka pelaburan dan infrastruktur tetapi juga dari segi kualiti pemikiran rakyatnya. Penghormatan terhadap ilmu dan para ilmuwan adalah asas yang tidak boleh dikompromi. Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai pusat intelektual rantau ini tetapi potensi ini hanya akan berkembang dalam suasana yang menghargai ilmu, bukan meminggirkannya seperti mana disebut dalam amanat YAB Menteri Besar Johor:
“Johor bukan sahaja perlu maju dari segi ekonomi dan infrastrukturnya, malah seluruh Johor mestilah maju secara holistik. Rakyatnya juga perlu maju dari segi pemikiran, peradaban, ketamadunan, ilmu, perwatakan, adat resam, nilai-nilai murni, jati diri dan sahsiah modal insannya.”
Dato’ Onn Hafiz Ghazi
Kesimpulan
Marilah kita merdekakan minda, dan jangan takut untuk belajar semula. Raikanlah wacana dan forum intelektual sebagai jambatan yang menyambung masa lalu ke masa depan. Jangan takut ilmu. Semuanya demi Johor yang lebih matang dan bersedia untuk memimpin. Semoga ruang untuk penglibatan intelektual lebih terbuka, penuh hormat dan berdaya saing. Kemampuan berfikir dengan lurus terus terpelihara di Johor Darul Ta’zim.