Skip to content
Laman Utama » Usaha dan Upaya Manusia Memahami Dunia

Usaha dan Upaya Manusia Memahami Dunia

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Alhamdulillah. Semalam akhirnya selamat juga saya membentangkan kertas kerja saya di Seminar Antarabangsa Falsafah Seni (SAFAS 2021). Sebenarnya kertas kerja itu telah lama ditulis, diperam, tergendala, sebelum disambung semula penulisannya. SAFAS21 memberi ruang ia keluar, diterbitkan dan didengari. Gementar juga pada mulanya, kerana kebanyakan pembentang datang dari dunia akademik, saya pula dari dunia manusia awam sahaja. Mujur masa yang diberikan singkat, jadi cuma ada satu soalan yang ditanyakan, mujur juga tiada profesor yang bertanyakan soalan.

Namun disebalik itu, ada sesuatu perkara yang menangkap pemikiran saya semalam. Iaitu syarahan dasar yang disampaikan oleh Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon bertajuk “Realiti Bersaksi”. Di dalamnya beliau membawakan pemikiran guru-gurunya yang membantah sebahagian pemikir sains yang hanya mahu melihat dunia dalam perspektif logik linear. Pembuangan Tuhan dari pemikiran membuatkan pemikir-pemikir ini hanya mahu berpegang pada material yang boleh diukur dan disukat. Apa yang tidak boleh disukat dianggap perkara abstrak yang tidak penting, lahirlah masyarakat yang mementingkan pengumpulan harta yang boleh disukat, sedangkan perkara seperti kasih sayang yang tidak boleh disukat dianggap tidak penting.

Nota Pembentangan Hasnul J. Saidon

Sains sebelum ini begitu skeptik dengan intuisi, ia adalah perkara yang meragukan bagi mereka dan tidak boleh dijadikan dasar teori. Namun beliau mempersoalkan berapa banyak pencapaian saintifik yang pada mulanya timbul dari deduksi intuitif. Hari ini sains mempunyai toleransi yang lebih besar untuk mengkaji faktor-faktor yang tidak dapat diterangkan secara logik. Contohnya adalah Prinsip Ketidakpastian Heisenberg.

Beliau menyatakan perlunya pentafsiran semula keatas seni tradisi dan sejarah setelah sekian lama ia ditafsir dalam logik linear. Sejarah sendiri berasal dari bahasa Arab “Shajarat” yang bermaksud pokok. Pokok sifat dan strukturnya bersifat fraktal tidak linear, oleh itu sejarah perlu dilihat pada perspektifnya yang pelbagai, multi-dimensi dan bercapah.

Tetapi tidaklah bermaksud, semua teori sains itu bersifat linear, perkembangan teori-teori sains sendiri terutamanya yang terkini banyak melahirkan soalan-soalan baru, perspektif baru yang menghasilkan saintis baru yang tidak lagi berperspektif linear. Sains ini mempunyai sumbangan tersendiri dalam pemikiran. Beliau memetik kalam gurunya, Ismail Zain yang mengatakan bahawa teori seperti relativiti, infiniti, lupus materi, dan implosi akan membuatkan pemikiran dan pengalaman kita pada masa depan bukan lagi diikat dengan sejarah atau antropologi tetapi fizik.

Beliau menyimpulkan bahawa pengetahuan kita perihal realiti kian berubah, bukan lagi difahami sebagai realiti yang mekanikal, alam bukan lagi satu mesin yang besar, minda bukanlah pengacau kepada alam material, minda kita adala pencipta dan pengatur material. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa alam semesta ini bersifat spiritual bukan material. Di tanya ketika sesi soal jawab “Begitu adakah realiti ini hanya ilusi?” soal seorang peserta. “Ya betul, tiada perbahasan lagi tentang soal itu, melainkan anda seorang materialis”.

Jika anda pening, dan tidak faham, jangan bimbang. Anda normal, saya sendiri lama juga merenung dan berfikir tentangnya. Tidak semestinya kita perlu bersetuju, bagi saya apa yang penting adalah usaha dan upaya manusia untuk cuba memahami dunia. Tentulah banyak usaha dan caranya, cuba memahami banyak cara fikir itu bagi saya mengayakan dan menumbuhkan. Antara sisi lain yang melintas pada fikiran saya adalah banyak yang diperbahsakan kedengaran seperti berunsur sufi terutamanya terma seperti “kesatuan semesta”. Saya tidaklah ilmuan dalam bidang teologi atau tauhid, bacaan saya juga terbatas dalam selok belok perbahasannya. Namun saya kira ada pergeseran antara aliran pemikiran Islam yang “jumhur” dengan aliran pemikiran sufi. Sehingga seringkali aliran jumhur (kebanyakan) menolak dan mencaci sufi sebagai sesat.

Walaupun begitu, saya agak terkejut ketika membaca kitab Rijal ul-Fikr wad-Da’wah fil-Islam oleh Abul Hasan Ali Hasani Nadwi yang sudah diterjemah dalam Bahasa Inggeris. Abul Hasan Ali Nadwi ini bukan insan calang-calang. Beliau merupakan tokoh agung dalam arena dakwah kontemporari juga nama besar dalam gerakan revival Islam (gerakan haraki). Kita boleh katakan bahawa beliau merupakan ulama “jumhur”. Apa yang menarik perhatian saya adalah bagaimana Ali Nadwi mengangkat Maulana Jalaluddin Rumi sebagai seorang “mujaddid umat” iaitu tokoh yang memperbaharui semangat dan ketekalan umat. Bagi saya ini merupakan sesuatu yang membuatkan saya sangat curious kerana Rumi sering dianggap sebagai pengamal sufi mistik. Saya sudah mengenali Rumi sebelum membaca kitab Ali Nadwi, tetapi hanya puisi-puisinya, tidak pada perbahasan teologi atau idea beliau sebagai mujaddid umat.

Maulana Abul Hasan Ali Nadwi | Sumber: https://fivepillarsof-islam.com

Dalam kitabnya Ali Nadwi mengisahkan bagaimana Rumi lahir pada zaman di mana ummat Islam dilanda pemikiran rasionalima. Era dimana kefahaman agama dianalisa hanya melalui lensa hujah rasional, logika dan perbahasan falsafah. Rasionaliti menjadi faundasi dan diaplikasi kepada persoalan-persoalan metafizikal seperti sifat-sifat Tuhan. Hanya pembuktian yang boleh dirasakan melalui deria manusia diangkat sebagai kebenaran. Walaupun rasionaliti menjadikan mereka kelihatan bijaksana, metodologi rasionalisma ini telah memadamkan kehangatan jiwa dan hati mereka. Disebalik kehebatan logik mereka, banyak persoalan-persoalan perihal perasaan dan rasa hati yang tidak dapat dijawab oleh mereka, mereka menjadi ahli akademik yang kering.

Di dalam kecelaruan krisis rasionalisma ini datangnya Rumi yang digelar Sultan ul-’Ulama. Rumi merupakan anak cendiakawan terkenal pada zamannya, iaitu Baha’ud-din Valed, lahir di Balkh (Afghanistan hari ini), beliau mengikuti ayahnya yang berhijrah ke Konya (Turki hari ini). Apabila ayahnya meninggal dunia Rumi menggantikan tempat ayahnya sebagai guru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Halab dan Dimashq dimana beliau bertemu banyak ilmuan termasuk Ibn Arabi. Rumi mengikuti fahaman Sufi Mistik apabila bertemu dengan Shamsh Tebrez. Kematian beliau diratapi bukan sahaja oleh Muslim pada zamannya, tetapi oleh orang Kristian dan Yahudi pada ketika itu, malah mereka yang menganut agama lain turut dibenarkan untuk menyertai pengkebumian Rumi.

Menurut Ali Nadwi lagi, Rumi sangat kritikal terhadap golongan rasionalis atas sikap mereka yang terlalu mengutamakan deria manusia sebagai sumber kebenaran. Tetapi berbeza dengan ahli sufi lain, beliau tidak hanya menyeru pada cinta dan kejiwaan semata-mata, tetapi beliau cuba memberi jawapan kepada persoalan dialektik dan falsafah ketika logik tidak dapat menjawab sesuatu persoalan. Jawapan yang diberikan sangat halus sehingga pembaca boleh memahami jawapannya tanpa merasakan jawapan itu dipaksakan keatas mereka, maksudnya pembaca boleh faham dengan sendirinya. Kitab Rumi, Mathnawi menjawab soalan-soalan teologi dan metafizikal yang tidak dapat dijawab falsafah.

Tugu Jalaluddin Rumi di Prospekt Borbad, Tajikistan

Oleh itu mendengar perbahasan dasar dalam SAFAS 21 semalam membuatkan saya terfikir akan perlunya kita meraikan kepelbagaian pemikiran. Tidak cepat menyesatkan atau merendahkan orang lain. Terutamanya pemikiran yang merupakan usaha dan upaya manusia yang cuba memahami alam dan kehidupan. Kehidupan ini bukan hitam putih, bukan hanya satu jalur, malah jika kita terlalu jumud dalam satu jalur kita akan terlepas pelbagai keindahan lain. Jalur yang banyak itu saling menguatkan. Bukan bermaksud kita tidak boleh berbeza, tidak setuju dan berbeza pendapat, berbezalah, kerana dengan berbezalah lahirnya perbincangan, perbahasan dan keilmuan. Tapi harus perbezaan itu membawa pada kedamaian bukan permusuhan.

#SAFAS21
#SAFAS2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *