Oleh: Izzat Ibrahim
Menariknya apabila menyimak budaya asal kita, rumpun Austronesia… Kita mempunyai kepelbagaian jenis bahasa dan budaya. Perbezaan ini tidak membawa kepada pergaduhan bahkan saling menerima antara satu dengan lain.
Contohnya ‘Bahasa Melayu’. 4 buah negara menjadikan BM sebagai bahasa kebangsaan. Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Walaupun mempunyai struktur tatabahasa dan dialek yang berbeza, tetap diterima sebagai BM.
Tengok sahaja di Malaysia, berapa banyak loghat Melayu? Utara, Selatan, Pantai Timur dan sebagainya. Namun kita tidak rasakan ianya sebuah masalah dan mampu menyerap sebaiknya.
Hal ini boleh dinisbahkan kepada kepelbagaian spesis tumbuhan dan haiwan yang berada di hutan kita. Dan juga kepelbagaian bentuk muka bumi dan jenis tanah.
Contohnya di Pahang, deras air sungai pun menentukan cara pertuturan manusia yang duduk di sekitarnya. Masyarakat di hulu lebih laju pertuturannya berbanding yang berada di hilir.
Sistem sosial dan politik yang gagal apabila mengetepikan kepelbagaian ini. Sistem demokrasi berparlimen membuatkan masyarakat kita diatur oleh kelompok kecil yang tidak mampu pun mewakili kepelbagaian etnik, tradisi dan budaya yang wujud di Malaysia.
Apatah lagi kalau ahli parlimen atau adun kawasan bukan dari penduduk asal tempat yang mereka wakilkan. Apa yang malang, keputusan mereka terpakai untuk seluruh ceruk kawasan dan manusia.
Bukan politik kerajaan atau kepartian sahaja. Entiti-entiti kecil dari kalangan NGO, jemaah Islam, kecenderungan mazhab, ideologi kiri dan sebagainya juga menambah lagi kegagalan sosial apabila mahukan semua orang berfikir dan hidup dengan cara yang satu. Masing-masing rasa terpaling betul sehingga menambah lagi perpecahan dan pergaduhan.
Penyelesaian krisis ini hanyalah mampu kita telusuri jawapannya apabila kita kembali semula merenungi alam. Kerana setiap manusia, tidak kira apa ideologi pun, tidak dapat lari daripada rasa bergantung kepada alam. Daripada makanan, cuaca, serta kejadian siang dan malam.
Bahkan penganut Islam pun diajar, untuk memahami kekuasaan dan kehadiran Tuhan adalah dengan merenungi alam.
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah Ali Imran, ayat 191)
Izzat Ibrahim Shamjuddin
“Budaya yang alami.”