Skip to content
Laman Utama » Perkembangan Kanak-Kanak Dalam Teori Psikososial Erik Erikson

Perkembangan Kanak-Kanak Dalam Teori Psikososial Erik Erikson

Oleh: Aisyah Baharuddin

Erik Hombuger Erikson dilahirkan dengan nama Erik Solomonsen. Beliau berketurunan Jerman – Yahudi, dan sering diejek sehingga bertindak menggantikan namanya dengan menggunakan nama Erickson sebagai cara menentukan identiti peribadinya. Berdasarkan pengalaman tersebut pencapaiannya agak kurang di bidang akedemik. Namun beliau dikenali sebagai pegembara, sehingga terdorong untuk menyambung pengajian di Institusi Psikoanalisis dan tertarik dengan perkembangan psikososial kanak-kanak serta kesannya dari pengaruh masyarakat.

Beliau lahir pada 19 Jun 1902 di Frankfrut, Jerman. Sumbangannya kepada dunia berakhir pada 12 Mei 1994, beliau meninggal pada umur 91 tahun. Seorang warganegara Amerika Syarikat, pakar di dalam bidang psikologi.

Erik Erikson seorang tokoh yang di kenali dalam dunia Psikologi, sumbangannya teramat besar dan penting dalam dalam bidang ini terutama dengan kelahiran buku pertamanya ‘Childhood and Society (1950)’. Beliau, telah menganalisis perkembangan sosial kanak-kanak dalam jangka masa kehidupan mereka dan menjelaskan bahawa manusia mempunyai keperluan asas yang sama dan perkembangan mereka bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan tersebut.

Menurut beliau, Perkembangan kanak-kanak berlaku mengikut tahap tertentu. Erikson percaya bahawa setiap tahap mempunyai konflik tertentu yang perlu diatasi supaya tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

Peringkat Perkembangan Psikososial | Sumber: reoveme.com

PERKEMBANGAN PSIKOSOSIAL

Teori ini adalah sebuah teori perkembangan individu yang menggabungkan faktor kendiri emosi dan sosial. Teori ini didasari oleh penyelidikan yang dilakukan beliau semasa hidupnya terhadap perkembangan kanak-kanak.

Prinsip-prinsip teori Erikson menjelaskan bahawa, (1) manusia mempunyai keperluan asas yang sama. (2) Perkembangan individu bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan-keperluan asas. (3) Perkembangan manusia mengikut peringkat-peringkat yang tertentu. (4) Setiap peringkat mempunyai krisis dan krisis ini mesti diatasi sebelum individu dapat berfungsi secara efisien pada peringkat yang seterusnya. Dan yang terakhir, (5) Kegagalan mengatasi konflik pada suatu peringkat akan menjejaskan perkembangan di peringkat yang seterusnya.

Dalam kajiannya, beliau menyatakan yang keperluan asas setiap manusia adalah sama. Bagaimana tindak balas terhadap keperluan asas itu berlaku yang menentukan bagaimana perkembangan mereka. Teori ini merupakan kesinambungan dari teori Sigmund Freud tentang psikoseksual. Freud menerangkan dalam teorinya tentang keseluruhan fenomena pengalaman hidup seseorang, manakala Erikson membawa satu teori di mana personaliti seseorang terbentuk melalui beberapa fasa peringkat. Beliau melihat bahawa terdapat 8 peringkat dalam perkembangan hidup seseorang manusia, dan di setiap peringkat akan terdapat krisis yang tersendiri.

PERINGKAT-PERINGKAT PERKEMBANGAN EMOSI TEORI ERIKSON

Fasa Perkembangan Psikososial Erik Erikson

Tahap 1 – Kepercayaan LWN. Ketidakpercayaan (0 -18 bln)

  • Mempengaruhi perkembangan psikososial bayi melalui pengalaman
  • Belajar untuk mempercayai atau tidak mempercayai orang lain
  • Mempengaruhi sikapnya terhadap hidup dan interaksinya dengan orang lain
  • Kepercayaan akan memudahkan individu menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup
  • Bayi mula membentuk perasaan percaya lawan tidak percaya. Perasaan percaya pada persekitaran dan orang lain akan wujud sekiranya bayi tersebut mendapat penjagaan yang baik dari penjaganya; terutama daripada ibu. Sebaliknya; jika bayi tersebut tidak mendapat penjagaan yang sempurna maka akan timbul perasaaan tidak percaya pada tahap ini. Cara penjagaan bayi akan mempengaruhi emosi dan perasaan percaya dalam diri bayi tersebut.

Tahap 2 – Kemandirian LWN. Malu & Ragu (18 bln – 3 thn)

  • Konsep diri mula bertambah nyata
  • Mula tahu apa yang dicakap dan dibuat merupakan tindakannya bukan orang lain
  • Keinginan untuk bertindak bebas (autonomi) meningkat
  • Lebih gemar membuat sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain
  • Mungkin berpendapat cekap dan berkebolehan
  • Rasa diri kurang cekap – malu dan mula meragui kebolehan diri
  • Tingkah laku yang sentiasa diterima dan dipuji – lebih yakin
  • Sentiasa didenda/dimarah – malu dan ragu-ragu
  • Cara terbaik, tingkah laku yang tidak diingini dikawal dan yang diingini dipuji – dapat mengenal jenis-jenis t/laku yang digalakkan dan yang hendak dielakkan
  • Kecenderungan untuk berfungsi secara bebas hendaklah diterima atau didorong
  • Pada tahap ini kanak-kanak sudah mula berkeinginan melakukan sesuatu perbuatan sendiri. Mereka mula berdikari dan tidak suka dibantu atau dikongkong orang dewasa. Situasi ini merupakan permulaan kepada pembentukan perasaan keyakinan diri pada kanak-kanak tersebut. Dorongan dan galakan ibu bapa akan membantu kanak-kanak membina perkembangan psikososial dan menyelesaikan sesuatu tugasan.

Tahap 3 – Inisiatif LWN. Rasa Bersalah (3-6 thn)

  • Ingin meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan mencabar – inisiatif
  • Dapat belajar dan bergerak dengan cepat
  • Lebih peka kepada perkara betul dan salah
  • Berasa malu apabila diketawakan dan seterusnya membina sikap positif.
  • Galakan akan menyedarkan kanak-kanak tentang potensi diri
  • Sering dikawal dari mencuba – akan berasa kurang inisiatif
  • Pada tahap ini kanak-kanak mula berinteraksi dengan persekitaran. Banyak inisiatif dilaksanakan bagi memenuhi naluri ingin tahu yang tinggi. Mereka akan cuba melakukan kerja-kerja yang dibuat oleh orang dewasa. Perkembangan ketika ini tidak boleh disalah asuh kerana akan menyebabkan kanak-kanak hilang inisiatif, suka menyendiri dan akan menimbulkan masalah apabila memasuki alam persekolahan.

Tahap 4. Berdaya Saing LWN. rasa Rendah Diri (6-12 tahun)

Kanak-kanak yang berkembang dengan baik pada peringkat ini akan menghasilkan sikap yang berdaya saing, terangsang dengan kejayaan diri dan orang lain. Sebaliknya, jika di peringkat ini gagal, kanak-kanak akan mudah merasa cemburu dan iri hati dengan pencapaian dan kebolehan orang lain akibat dari merasa diri kurang bernilai atau lebih tidak mampu dari orang lain. Tetapi kecemburuan dan iri hati itu tidak menghidupkan sikap berdaya saing, malah cenderung untuk menimbulkan hasad dengki atau rasa membenci diri.

Tahap 5. Identiti LWN. Kekeliruan Identiti (12-18 tahun)

Peringkat ini remaja mesti berjaya mencari identiti dalam pekerjaan, peranan jantina, politik dan agama. Jika tidak, kekeliruan dalam seseorang itu melihat dirinya dari sudut fungsi, minat dan kemampuan akan timbul.

Tahap 6. Keintiman LWN. Keterasingan (18-35 tahun)

Peringkat ini seseorang perlu membina hubungan rapat atau sebaliknya merasa terasing jika tidak mahir membina hubungan. Pada peringkat ini, seseorang perlu membangunkan sebuah hubungan intim dengan orang lain. Manusia perlu merasa dirinya benar-benar diterima, dan benar-benar menerima orang lain untuk hadir mengisi ruang hatinya. Jika tidak, seseorang itu akan mengalami perasaan yang terasing dan keseorangan.

Tahap 7. Kemurahan Hati LWN. Kebantutan (35-65 tahun)

Setiap dewasa mencari jalan untuk memuaskan hati dan menyokong generasi akan datang atau sebaliknya hanya memusatkan kepada aktiviti diri dan tidak mengalami sebarang perkembangan.

Tahap 8. Ego yang Berintegriti LWN. Kehampaan (65 tahun – akhir hayat)

Kemuncak perkembangan di mana perasaan diterima dengan perasaan kepuasan atau merasa tidak diterima dan putus asa dengan kehidupannya.

Kemuncak perkembangan manusia akan menentukan samada seseorang itu merasa puas dengan hidupnya, merasa menimba suatu pelajaran bermakna dari hidup, dan merasa senang untuk menyampaikan hikmah-hikmah yang ditimbanya kepada orang lain terutamanya golongan muda. Sebaliknya, jika di tahap ini gagal, seseorang itu akan menjadi tua yang penuh rasa kehampaan, sayu, sedih dan berputus asa.

RUMUSAN

Secara keseluruhan ada lapan tahap dan peringkat dalam perkembangan psikososial sepanjang hidup seseorang individu yang merangkumi keseluruhan daripada jangka hayat manusia dari lahir hingga usia tua. Setiap peringkat ditakrifkan oleh krisis pusat yang individu mesti bergelut dalam usaha untuk bergerak ke peringkat seterusnya. teori Erikson telah menjadi sangat berpengaruh kepada kefahaman ulama ‘pembangunan manusia dan pembentukan identiti’.

Sungguhpun begitu, dalam perkembangan kanak-kanak hanya ada 3 peringkat yang perlu diberi perhatian penuh. Peringkat tersebut adalah:

1. Kepercayaan LWN. Ketidakpercayaan (0 -18 bln)

Peringkat pertama berakhir sekitar umur 18 bulan. Erikson menyatakan bahawa pencapaian sosial pertama bayi adalah dapat melihat penjaga mereka tanpa menjadi cemas. Dalam kata lain, bayi mesti membangunkan rasa percaya terhadap penjaga mereka dan orang di sekeliling mereka.

Apabila bayi datang ke dalam dunia, mereka terdedah dan bergantung kepada orang lain untuk terus hidup. Apabila penjaga berjaya memenuhi keperluan anak-anak – misalnya makanan, kehangatan, dan keselamatan – anak-anak akan dapat membangun keyakinan bahawa dunia ini adalah tempat yang selamat dan terjamin. Jika keperluan kanak-kanak tidak dipenuhi, dijaga dengan tidak konsisten, kanak-kanak tersebut akan percaya bahawa dunia adalah tempat yang tidak konsisten, tempat yang tidak boleh dipercayai.

Ini tidak bermakna semua ketidakpercayaan adalah buruk. Menurut Erikson, sejumlah ketidakpercayaan adalah perlu. Tanpa ketidakpercayaan, kanak-kanak boleh menjadi terlalu percaya dan hilang kemampuan untuk mengenal pasti marabahaya.

2. Kemandirian LWN. Malu & Ragu (18 bln – 3 thn)

Jika kanak-kanak disokong dalam setiap perkara yang mereka ingin lakukan, biarkan mereka melakukan sesuatu itu sendiri secara merdeka, bantu hanya apabila mereka minta atau bila berhadapan dengan kesukaran. Melalui sokongan sebegini, mereka akan membangunkan satu rasa yakin diri.

Kemandirian kanak-kanak perlu dibimbing, jika di peringkat ini kanak-kanak terpaksa berhadapan dengan kegagalan yang berulang-kali, kritikan yang melampau atau pertolongan yang berlebihan, mereka akan terperangkap dalam sebuah ketidakyakinan dan keraguan diri yang dalam untuk jangka-panjang. Mereka juga akan meragui kemampuan mereka untuk menjadi diri mereka sendiri.

Jika seseorang itu melepasi peringkat ini dengan rasa yang merdeka dari rasa malu dan ragu-ragu, mereka akan membangunkan sebuah kemampuan untuk membuat pilihan secara bebas dan juga mempunyai kawalan diri apabila diperlukan. Mereka lebih cenderung untuk terhindar dari masalah sekat-sekat fikiran.

3. Inisiatif LWN. Rasa Bersalah (3-6 thn)

Peringkat ketiga berlaku di antara umur 3 dan 6. kanak-kanak umur prasekolah mula mengambil inisiatif untuk mencapai objektif mereka sendiri. Di sini sifat ingin mencuba manusia sangat kuat, rangsangan untuk meneroka ini akan membentuk peribadi manusia samada menjadi aktif, ke depan, berani mencuba, atau pasif, lebih memencilkan diri, takut untuk mencuba, dan negatif.

Apabila mereka berjaya, mereka akan membangunkan rasa kecekapan dalam keupayaan mereka untuk membuat sesuatu dan mencapai matlamat. Jika kebanyakan percubaan mereka di peringkat ini mendapat tentangan negatif, atau dilihat sebagai masalah, mereka akan mengalami rasa bersalah. Terlalu banyak rasa bersalah boleh membawa kepada kurang keyakinan diri.

Dalam teori psikososial, jika kanak-kanak melepasi peringkat ini secara baik, mereka cenderung untuk memiliki keupayaan untuk menentukan apa yang mereka mahu, bagaimana mereka akan mendapatkannya, kenapa mereka perlu mendapatkannya. Mereka juga akan berkeupayaan untuk menentukan secara jelas hala tuju mereka, ke mana mereka akan pergi dan untuk apa mereka pergi.

BACA SELANJUTNYA: ERIK ERIKSON, BIOGRAFI RINGKAS TOKOH TEORI PSIKOSOSIAL

Rujukan:

  1. 8 Tahap Perkembangan Manusia – Erikson.
  2. James Marcia, 2009. Adolescent Development.
  3. Kendra Cherry, 2018. Intimacy vs. Isolation: Psychosocial Stage 6.
  4. Amalan Pemakanan dalam Kalangan Pelajar Universiti dan Implikasinya Terhadap Pembelajaran. Mohd Azlan Abdullah, 2015.
  5. Teori Perkembangan Psikososial Erick h. Erikson.
  6. Tahap-tahap Perkembangan Psikososial Erik Erikson.
  7. Teori Perkembangan Psikososial Erik.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *