Oleh: Tim Pudipang Industries
Telah berlangsung sebuah festival seni dan komuniti di Muar pada 3 dan 4 Disember 2022 yang lalu. Festival yang diberi nama MAPO FESTIVAL 2022 ini adalah sebuah festival yang menggabungkan pelbagai disiplin seni dari komuniti berbilang kaum.
Selain itu, festival ini turut mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG). Festival seperti ini adalah yang julung kali diadakan di Muar dimana kita dapat melihat pelbagai kaum merayakan seni dan komuniti bersama-sama selain festival ini turut memberi pendidikan dan kesedaran berkaitan seni dan komuniti dari sudut SDG.
Siapa disebalik MAPO FESTIVAL?
MAPO FESTIVAL 2022 dijayakan oleh Pudipang Industries, sebuah penggerak komuniti berpengalaman dari Muar, dan ditaja oleh Yayasan Hasanah dibawah program ArtsFAS (Art For All Seasons). Tujuan inisiatif ini diberikan adalah bagi merancakkan semula ekonomi para penggiat seni, pekerja-pekerja belakang tabir, dan keseluruhan ekosistem komuniti seni di Malaysia. Selain itu festival ini turut ditaja dan disokong oleh Muo Resort sebagai venue rasmi, Padu Beb Studios sebagai rakan media rasmi, dan Inspire Brand sebagai penaja pakaian rasmi festival. Turut memberi sokongan pada festival ini adalah Persatuan Promosi Matlamat Pembangunan Lestari, sebuah entiti berkepakaran dalam bidang SDG.
Antara acara-acara yang diadakan pada festival tersebut adalah seperti sesi-sesi perkongsian bersama para penggiat. Antaranya seni dan juga pakar SDG, pementasan teater puisi, drum circle, klinik tarian dan lirik, pertandingan silat, instalasi seni, terapi seni, bengkel seramik, khemah-khemah jualan dan pameran, DJ selekta, persembahan orkestra cina, demonstrasi wushu, persembahan band-band indie, mari bercerita, demonstrasi mural dan graffiti serta lain-lain lagi.
Antara yang menarik adalah persembahan virtual oleh para penggiat seni dari Singapura iaitu Art Fazil dan Marjinal dari Jakarta. Ia dipancarkan secara langsung di festival tersebut. Ini adalah sesuatu yang baru di Muar dimana kecanggihan teknologi digunakan untuk tidak membataskan idea.
Selain itu, antara bakat kecil yang berjaya diangkat di festival ini ialah Nur Melissa dengan hasil doodle beliau. Kanak-kanak berusia 7 tahun ini telah mempamerkan bakat dan karya beliau dalam bentuk doodle dan ditayangkan di festival tersebut.
Pastinya MAPO FESTIVAL 2022 telah meletakkan satu penanda aras kepada penganjuran festival seni. Kepada komuniti Muar pula, festival ini memberikan banyak nilai tambah yang sangat berguna untuk daerah tersebut.
Perancangan Pudipang ke Depan.
Pengarah Pudipang Industries, Mohd Redwan Bin Mohd Fadil berkata pihak beliau akan mengusahakan supaya festival ini dijadikan festival tahunan. MAPO FESTIVAL akan tetap kekal dengan konsep dan tema berkaitan pendedahan dan pendidikan. Usaha ini perlu terus dilaksanakan tanpa henti, demi ke arah melestarikan komuniti dan seni di bandar Muar.
Terima kasih atas pembiayaan pihak Yayasan Hasanah menerusi inisiatif ArtsFAS kerana melihat potensi seni dan komuniti di Muar. Usaha murni seperti ini perlu dicontohi agar seni di luar bandar khususnya dapat berkembang. Dan kesenian tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja.
Kredit gambar: Redwan Fadil