Oleh: Tim Pudipang Industries
Telah berlangsung sebuah festival seni dan komuniti di Muar pada 3 dan 4 Disember 2022 yang lalu. Festival yang diberi nama MAPO FESTIVAL 2022 ini adalah sebuah festival yang menggabungkan pelbagai disiplin seni yang dijayakan oleh pelbagai komuniti berbilang kaum.

Selain itu, festival ini turut mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG). Festival seperti ini adalah yang julung kali diadakan di Muar dimana kita dapat melihat pelbagai kaum merayakan seni dan komuniti bersama-sama selain festival ini turut memberi pendidikan dan kesedaran berkaitan seni dan komuniti dari sudut SDG.

Antara acara-acara yang diadakan pada festival tersebut adalah seperti sesi-sesi perkongsian bersama para penggiat seni dan juga pakar SDG, pementasan teater puisi, drum circle, klinik tarian dan lirik, pertandingan silat, instalasi seni, terapi seni, bengkel seramik, khemah-khemah jualan dan pameran, DJ selekta, persembahan orkestra cina, demonstrasi wushu, persembahan band-band indie, mari bercerita, demonstrasi mural dan graffiti serta lain-lain lagi.

Antara yang menarik perhatian adalah persembahan secara virtual oleh para penggiat seni dari Singapura iaitu Art Fazil dan Marjinal dari Jakarta yang dipancarkan secara langsung di festival tersebut. Ini adalah sesuatu yang baru di Muar dimana kecanggihan teknologi digunakan untuk tidak membataskan idea.
Selain itu, antara bakat kecil yang berjaya diangkat di festival ini ialah Nur Melissa dengan hasil doodle beliau. Kanak-kanak berusia 7 tahun ini telah mempamerkan bakat dan karya beliau dalam bentuk doodle dan ditayangkan di festival tersebut.


Kredit gambar: Redwan Fadil