Skip to content
Laman Utama » Tujuan Ibadat Adalah ‘Terima Kasih’

Tujuan Ibadat Adalah ‘Terima Kasih’

Oleh: Izzat Ibrahim Shamjuddin

Hari pertama Ramadan selepas solat dengan isteri, saya tanya dia, “Bagi Dinda, apa tujuan kita solat tarawih?”

Saya ada terjumpa sebuah sebab yang menarik. Membuatkan solat sunat menjadi semakin manis untuk dilaksanakan. Jadi saya nak kongsikan padanya.

Isteri saya jawab dengan beberapa jawapan yang biasa saya dengar. Antaranya sebab Nabi saw buat, sebab nak cari kekuatan dan beberapa lagi.

Selesai dia jawab, saya sambung, “Bagi kanda, antara sebab besar solat tarawih adalah menifestasi tanda syukur kita kepada nikmat dapat makan dan minum ketika berbuka.”

Selepas melalui tempoh berlapar dan dahaga sepanjang siang, lalu dapat berbuka. Berbuka adalah salah satu masa yang sangat gembira oleh orang berpuasa.

Jadi, apabila kita merasai nikmat, kita gembira. Apabila gembira, kita syukur dengan melaksanakan ibadah sunnah.

Setiap kali permulaan rakaat, kita akan baca surah Al-Fatihah. Surah ini kan mulanya dengan lafaz, “Alhamdulillah.”

Saya cerita pada isteri daripada mana saya dapat jumpa jawapan ini.

Ada sebuah projek komuniti yang sedang saya lakukan bergerak dengan sangat baik sekarang ini. Semakin berkembang dan dipermudahkan banyak urusan. Apabila teringatkan tentang ini, sukar saya terlepas lidah daripada sebut kalimah ‘alhamdulillah’.

Sebab ini saya teringat tentang sebuah hadis yang Nabi saw solat sehingga sehingga pecah kedua kakinya.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab:

“Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”

Bayangkan Nabi saw sebagai seorang aktivis dakwah pembawa risalah. Seruannya disambut seorang demi seorang. Sehingga membentuk komuniti yang kian membesar. Pasti lebih tinggi dan lebih banyak untuk Baginda syukuri.

Daripada ini juga lah saya dapat jawapan kenapa arwah Ayah saya sangat kuat mendirikan solat sunat.

Sebab kerja beliau membina komuniti seperti membangunkan sekolah, mencari pelajar, mencari dana, dan sebagainya. Setiap kali beliau bangun dan tunduk syukur, semakin banyak kerja yang akan dipermudahkan.

Mungkin ini salah satu sebabnya. Kadang down jugak bila Ummi sebut ulang-ulang. Saya tak tahu macam mana orang boleh komited solat tahajud dan solat sunat lain.

Sebelum-sebelum ini pernah ja bangun tahajud. Tapi biasanya sebab hadapi kesusahan dan perlukan pertolongan Tuhan. Tapi bila dah tak susah dan takde projek, jadi malas.

Jadi bila sebabnya adalah ‘syukur’, banyak sebab untuk kita terus berdiri dan tunduk. Sangat banyak nikmat yang Allah berikan.

Saya rasa Ramadan kali ini lebih manis apabila dirikan solat tarawih. Sebab jumpa tujuan yang ini. Berdiri untuk bersyukur.

Selepas tamat perbualan topik ini, isteri saya sebut, “Point baru ni untuk Dinda. Kongsi lah pada orang lain, Kanda. Supaya lebih ramai rasa. Point syukur ini sangat sesuai untuk sesiapa ja.”

 

Izzat Ibrahim Shamjuddin

“Berdiri untuk terus mensyukuri.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *