2 Ogos 2021 – Hari ini 11 orang aktivis anak muda yang menyertai himpunan Keluar dan #Lawan telah dipanggil oleh IPD Dang Wangi untuk disiasat. Siasatan ini dibuat di bawah Seksyen 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Sekretariat Solidariti Rakyat mengecam sekeras-kerasnya siasatan pihak polis terhadap aktivis yang hanya bersuara mengkritik dan menyatakan tuntutan kepada kerajaan. Seperti yang kami tegaskan, perhimpunan yang dijalankan dengan SOP yang ketat malah pihak SUHAKAM juga mengesahkan bahawa perhimpunan itu mematuhi SOP dengan semua melakukan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.
Kami ingin tegaskan bahawa protes Keluar dan #Lawan bukanlah dibuat untuk bersuka-ria sebagaimana kenduri makan durian Timbalan Speaker Dewan Rakyat atau mesyuarat politikus di rumah Perdana Menteri, yang jelas dalam kawasan tertutup. Anak muda berhimpun untuk protes pentadbiran Muhyiddin Yassin dan menuntut agar beliau meletakkan jawatan.
Pihak kami mendapat maklumat bahawa lebih ramai akan dipanggil selepas ini sebagaimana kenyataan Ketua Polis Negara. Kita sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan namun tindakan siasatan ini hanya merugikan sumber dan tenaga pihak polis. Sepatutnya sumber ini disalurkan ke tempat lain yang lebih utama dan Menteri tak sepatutnya menggunakan pihak polis untuk kepentingan politik beliau.
Anak muda tidak akan berdiam diri selagi tuntutan kami tidak dipenuhi. Kita akan terus Keluar dan #Lawan dengan skala yang lebih besar.
Sekali bangkit dan #Lawan, tidak akan undur!
Dikeluarkan oleh:
Sekretariat Solidariti Rakyat