Oleh: Iltizam Iman
Apabila kolonial datang ke tanah-tanah jajahannya, kita selalu difahamkan tentang tujuan penyebaran budaya, agama, selain dari keperluan sumber asli dan rempah ratus.
Tapi mungkin kita lupa bahawa kolonial juga datang untuk menerapkan sistem dan cara hidup mereka, baik dari sisi perundangan mahupun ekonomi. Mereka datang ke sini juga untuk mengajarkan/memaksa masyarakat tempatan untuk berniaga seperti mereka, tunduk pada corak ekonomi mereka. Mereka juga memaksa masyarakat untuk mengadili dan memutuskan sesuatu hukum mengikut sistem undang-undang mereka, yang kononnya lebih bertamadun.
Walaupun kolonial meluaskan imperialismenya akibat kekurangan bahan mentah untuk memenuhi permintaan yang melambung tinggi, tetapi kehadiran mereka ke tanah jajahan bukan saja merampas bahan mentah, malah sistem kehidupan masyarakat tempatan. Undang-undang jual beli dan sistem perniagaan mereka dipaksakan terhadap peniaga tanah jajahan. Tanah terjajah, tidak ada jalan lain selain terpaksa mengikut rentak sistem mereka dalam keadaan terdesak.
Sistem mereka yang dibawa masuk ke sini sudah terlalu kukuh menapak sampai sekarang. Undang-undang mereka masih bersifat berat sebelah. Walaupun ia telah lama dicorakkan mengikut acuan tempatan, tetapi semangat kolonialnya masih diwarisi.
Sistem kolonial mahu mencipta keuntungan dengan semaksimum boleh, menyebabkan eksploitasi terjadi bukan saja terhadap alam dan haiwan, tetapi juga manusia. Dalam ekonomi bebas, tenaga manusia adalah sebahagian modal yang nilainya sama dengan bahan asas.
Ini bukan bermaksud ekonomi bebas memandang manusia itu tarafnya sama seimbang dengan alam dan haiwan. Tetapi alam, haiwan dan pekerja (manusia) hanyalah bahan asas dan modal untuk pemilik kekayaan mencipta lebih banyak kekayaan.
Kesan dari pengeksploitasian ini, kebersihan air menjadi tercemar, akhirnya manusia terpaksa bergantung hidup pada syarikat-syarikat air mega untuk kekal hidup sihat. Kewujudan kilang-kilang menyebabkan udara tercemar, bandar menjadi busuk seperti Pasir Gudang. Akhirnya kesegaran udara nyaman hanya tinggal di hotel dan resort-resort percutian.
Kilang-kilang besar pula mengawal keperluan asas harian manusia, seperti beras dan gula, menjadikan hubungan antara kapitalis dengan masyarakat semakin hari semakin kuat. Manakala hubungan masyarakat dengan persekitaran dan komunitinya semakin rapuh. Masyarakat semakin bergantung hidup pada kapitalis, dan kapitalis memerlukan sumber alam dengan lebih banyak lagi.
Akhirnya, semua orang hidup sendiri. Dalam ketakutan, tanpa kepercayaan terhadap orang sekelilingnya. Komuniti menjadi lemah dengan selemah-lemahnya. Kepercayaan antara sesama menjadi sesuatu yang sangat sukar untuk ditempa.
Kecurigaan antara satu sama lain dalam masyarakat adalah kesan terhadap sistem kehidupan yang bersifat manipulatif, melalui propaganda iklan yang sentiasa mencadangkan masyarakat untuk percaya sesuatu yang tak benar. Dari kiri-kanan-depan-belakang kehidupan masyarakat dimanipulasi, baik dari pemakanannya, pendidikannya, hinggalah cara hidup dan pergaulannya.
Manipulasi kehidupan demi keperluan industri ini sedang melemahkan kuasa pekerja dan komuniti. Apabila lemah dan bercerai-berainya komuniti, peraturan dan undang-undang yang zalim semakin mengebal. Akan semakin mudahlah pemikiran, kepercayaan dan cara hidup masyarakat diprogram mengikut corak keinginan dan kepentingan pemain industri.
Maka, cara hidup masyarakat jadi tunggang-terbalik.
Demi keuntungan yang tinggi, nutrisi makanan dikurangkan. Makanan artifisial diperbanyakkan. Yang organik akan semakin susah hidup, harganya melambung tinggi. Tetapi itu bukanlah apa-apa, kerana orang miskin sudah boleh bersyukur zaman ini ada makanan yang murah dan sedap.
Makanan manusia telah hilang daulat. Manusia semakin mudah terima penyakit, imunisasi badan semakin melemah. Makanan palsu menyebabkan industri farmasi menjadi gergasi. Sekarang, untuk membuka klinik kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi adalah pelaburan yang menguntungkan sekali.
Jika manusia dilindungi dari segala macam bencana alam sekalipun, tangan-tangan mereka sendiri telah menjadi satu bencana buat diri mereka. Kovid adalah salah satu kesan dari tangan-tangan manusia.
Melalui pengeksploitasian alam, kehidupan manusia jadi tak seimbang. Manusia bukan saja terpisah dari alam persekitaran dan komunitinya, mereka juga terpisah dari diri sendiri. Akhirnya menerapkan tindak-tanduk yang merosakkan diri sendiri. Bilangan populasi dijangkiti penyakit tubuh dan mental meningkat.
Binatang pula harus beradaptasi dalam habitat yang semakin sempit, persaingan menjadi tak sihat. Hilangnya sumber makanan utama, menyebabkan sistem tubuh badan mereka mengalami tekanan. Yang tidak mampu survive, akan pupus. Yang mampu, harus berhadapan dengan penyakit dan ancaman.
Rantai ekosistem dah terlalu lama terganggu, sistem sokongan antara makhluk dah lama terputus.
Mungkin kejam, kalau kita katakan Kovid ini adalah kerja alam itu sendiri untuk mengenyahkan perbuatan-perbuatan manusia yang membazir dan melecehkan tubuh bumi. Alam, seperti sel badan manusia, memiliki sistem pertahanannya tersendiri. Melalui wabak penyakit, ia cuba mengimbangi ekosistem dan kehidupan yang ada. Untuk menjadikan ini, sebahagian manusia terpaksa dikorbankan.
Ada yang kata tanggapan sebegini jahat, mungkin ya mungkin tidak. Yang pasti alam tidak peduli siapa jahat atau baik, atau apa itu jahat dan baik, dia hanya bertindak balas terhadap apa yang berlaku termasuklah perbuatan makhluknya.
Alam hanya bergerak mengikut hukum punca – akibat, bukan hukum moral manusia. Alam tidak peduli tentang tentang kebaikan atau keburukan. Tetapi nilai baik-buruk itulah yang sepenuhnya bergantung pada hukum alam.
Keadaan manusia dan alam sekitar, adalah cerminan bagaimana kita hidup semalam.
Islam has emphasized about all these in the Quran and through the Sunnah of the Prophet Muhammad SAW. All these related topics (capitalism, consumerism, justice, relationship between Human-Allah-Human-nature-Allah, etc…) can be learnt from Quran and the life of Muhammad SAW. I read your writings and I think most of your idea are very similar to my understanding; Islam teach us to be moderate in everything. These colonialis ideologies clearly opposite to it. Wallahua’alam.