Barah Ekonomi Bebas (Bhg. 1)

Oleh: Iltizam Iman

Dalam temu bual george Monbiot, dia ada menganalogikan kapitalisme ini seumpama kanser yang ada dalam tubuh manusia. Tubuh manusia bermula dari seketul darah, berkembang membesar sehingga satu tahap dewasa, ia berhenti bertumbuh. Tetapi sel yang tetap terus bertumbuh tanpa had hanyalah kanser.

Keadaan tubuh yang terhad membuatkan sel yang membesar tanpa had ini kita gelarkan ia sebagai penyakit.

Seperti bumi, sistem kapitalisme (ekonomi bebas) adalah sel kanser yang memakan sel baik bumi (sumber asli yang terhad). Tujuan utama kapitalisme iaitu mencipta keuntungan tanpa had, demi pertumbuhan ekonomi yang pesat. Menjadikan eksploitasi sumber alam tidak dapat dielakkan.

Setiap 24 tahun, pertumbuhan ekonomi akan meningkat sebanyak 2 kali ganda. Pertumbuhan ekonomi ini tidak akan pernah berhenti membiak. Mungkin kapitalisme hanya sesuai di planet yang sumber aslinya infiniti.

Hakikatnya sumber alam kita terhad. Galian minyak fosil, besi, timah malah batu tidak terhasil dalam jangka waktu yang sesingkat 24 tahun. Pertumbuhan/pembiakan pokok balak, jati dan mohagoni juga tidak mampu menyaingi kepesatan ekonomi ini. Hasilnya, apalagi kalau bukan ekosistem tercemar? Apalagi hasilnya selain ada kehidupan harus mati demi pertumbuhan ekonomi?

Lawatan aktivis alam sekitar ke tapak pembalakan Gua Musang

 

Hutan ranap menyebabkan habitat semula jadi tercemar, haiwan semakin pupus, bumi semakin panas, tanah menjadi semakin tandus. Kehadiran kapitalisme ini, membuatkan alam sentiasa harus berkorban untuk manusia, pertamanya untuk pokok-pokok tua yang bernilai. Keduanya untuk pertanian tunggal dalam skala mega. Ketiga untuk pembangunan.

Galian minyak menyebabkan struktur dalam tanah terganggu. Selain bahan minyak menjadi penyumbang utama karbon ke langit, juga penyumbang utama sampah sarap plastik.

Dari nilai mata wang, plastik sangat berkos rendah. Tapi dari nilai alam, kos pengurusan sisa plastik sangatlah tinggi, sangatlah berisiko untuk bumi. Yang mana jika pusat pelupusan sampah tidak memperbaharui teknologi pengurusan sampah yang memakan puluh jutaan ringgit, bumi ini akhirnya akan dipenuhi oleh plastik.

Sampah plastik di pintu masuk Bukit Payung

Adakah ini menjadi tanda, semakin kita maju, semakin kita jauh dari punca masalah? Jika semakin kabur penglihatan kita tentang punca masalah, maka akan semakin mustahil untuk kita selesaikannya dalam keadaan yang sebenar-benarnya.

Sumber foto: Asto Awani

Akhirnya, fahaman-fahaman yang bertujuan untuk mengelakkan kesan-kesan buruk tercipta, menjadi tak relevan dan kelangitan. Sudah terlalu tinggi tembok Kapitalisme untuk Sosialisme panjat. Komunisme memerlukan 100 tahun lagi untuk membersihkan namanya. Anarkisme menjadi sebuah utopia syurga sang pemimpi. Agama pula hanya sebatas kepercayaan ritualistik yang bersifat ideal yang masih belum dapat berasimilasi dengan dunia moden.

Dan semua fahaman yang dapat menyelamatkan kita dari pandemik kapitalisme, sudah tidak mampu menyelesaikan apa-apa. Adakah fahaman-fahaman ini, terlalu bersifat ideal yang terlalu jauh dari kebenaran realiti atau kita sendiri yang sedang menjauhkan diri dari memilih kebenaran yang lebih ideal?

Jadinya umat manusia sedang dalam keadaan darurat; yang hendak atau tak, harus bergantung hidup terhadap Kapitalisme. Jika Kapitalisme ini adalah barah, dan kita masih mahu bergantung harap dengannya, maka kerja-kerja manusia memperbaiki alam hanyalah seumpama si nazak yang berusaha melambatkan kematiannya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *