Oleh: Iltizam Iman
Rentetan dari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kini penduduk Orang Asli Gua Musang bakal berhadapan dengan sebuah lagi bala yang akan menimpa mereka akibat dari pembangunan empangan hidroelektrik di Sungai Nenggiri, Gua Musang. Berbekalkan data kajian dan corak cara kerja badan bertanggungjawab sebelum ini, mereka percaya yang pembinaan empangan ini bakal memusnahkan kehidupan dan tanah adat mereka.
Pembinaan empangan tersebut yang telah dirancang semenjak 8 tahun lalu, akan memakan kira-kira 5,384 hektar kawasan hutan dan tanah adat untuk digunakan sebagai kawasan takungan. Empangan yang seluas ini juga mampu membekalkan tenaga elektrik sebanyak 320 MegaWatt.
Untuk penduduk Orang Asli, mereka telah sebulat suara untuk membantah pembinaan empangan ini. Seramai 3,000 penduduk dari 17 Wilayah serata Kelantan diwakili oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menolak pembinaan yang bakal mengancam kehidupan dan masa hadapan mereka.
Sebenarnya, bantahan ini menimbulkan kehairanan buat Timbalan Menteri besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, seperti isu ini tidak dapat dicerna oleh akal sihatnya. Kerana menurut beliau, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Jajahan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah bertemu komuniti untuk mendapatkan persetujuan mereka.
Menurut laporan berita lain, TNB juga telah bertemu dengan pihak SUHAKAM bagi membela nasib Orang Asli di Nenggiri. Tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, apakah hasil dari perbincangan tersebut yang perlu didedahkan kepada orang awam?
Menurut beliau lagi, segala isu yang terbangkit telah pun diselesaikan secara bersama, dan Orang Asli juga telah bersetuju dengan perancangan penempatan semula penduduk yang memerlukan mereka untuk berpindah keluar dari kawasan berkenaan.
Tetapi, kehairanan yang melanda fikiran Timb. Menteri Besar ini terjawab, setelah beliau menyedari yang membangkitkan isu ini adalah pihak JKOAK (Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan). Kerana menurut logik beliau, JKOAK sememangnya banyak bermain politik, maka memang patutlah sentiasa ada saja isu berbangkit.
Saya sebenarnya tidak pasti jawapan jenis apakah yang diberikan Datuk Amar ini? Sama ada ia satu tindakan ngelat yang mahu lari dari soalan atau akal sihatnya memang menganggap itu satu jawapan yang bijak?
Jadi untuk merasionalkan tindakan Kerajaan Negeri ini, ada baiknya kita lihat hujah-hujah yang diutarakan oleh En. Abdul Halim Yusof dalam Berita Harian pada 31 Mac 2021. Menurut laporan beliau, pembinaan empangan tersebut dapat memberi manfaat besar kepada Kelantan seperti yang diraih oleh negeri Terengganu. Mungkin selepas ini orang Kelantan akan dapat tasik baru, seperti orang Terengganu dapat Tasik Kenyir.
Tanpa empangan ini, seperti yang dikatakan Datuk Mohd. Amar, adalah antara penyebab utama kenapa Kelantan terus menerima banjir besar. Maka, banjir yang berlaku setiap tahun itu dipercayai disebabkan oleh tiadanya empangan, dan ia tiada kena mengena dengan pembalakan.
Selain itu, ia juga dapat memberi manfaat terhadap sektor pertanian dan menjadi sumber kegunaan domestik.
Walaupun projek pembinaan ini dijangka akan menenggelamkan beberapa penempatan Orang Asli, termasuk Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering, tetapi pengorbanan harus dilakukan demi menghidupkan kebaikan yang lebih menyeluruh. Maka logiknya di sini, semakin tinggi pengorbanan yang dilakukan, semakin tinggilah kehidupan yang dapat dibangunkan.
Jika begitu, kenapa pembinaan empangan Nenggiri ini tidak mengikut jejak langkah Tasik Kenyir? Tasik Kenyir ini lebih besar pengorbanannya, mampu menjana elektrik yang lebih tinggi, memakan ruang yang lebih besar; mempunyai keluasan 370 kilometer persegi, seluas negara Singapura!
Pada tahun 1978, penduduk yang terpaksa berpindah tidak kurang ramainya, adalah kira-kira 10 buah kampung. Bukan setakat itu, kampung dan rumah halaman mereka juga telah ditenggelami air bersama ladang dan perkuburan nenek moyang mereka.
Inilah apa yang telah dikorbankan oleh penduduk kampung Orang Asli di kawasan Tasik Kenyir lebih 40 tahun lalu, kini mereka dapat apa? Pertama, yang pasti, mereka dapat Tasik Kenyir. Kedua, ekonomi pelancongan dan rekreasi, ekonomi peniaga kecil dan pembangunan prasarana. Ketiga, kebaikan yang ditunggu-tunggu oleh pemilik kapital, ruang untuk bangunkan lebih banyak hotel dan resort di lebih 340 buah pulau.
tetapi malangnya, kewujudan tasik yang seluas Singapura itu masih juga belum mampu tangani masalah banjir di Hulu Terengganu. Malah, keadaan banjir di situ semakin meningkat teruk kebelakangan ini.
Jika alasan Timb. Menteri Besar antara tujuan utama pembinaan empangan ini adalah untuk menangani masalah banjir, maka ianya tidak tepat jika kita ambil Tasik Kenyir sebagai contoh. Malah, jika kerajaan negeri mahu menangani masalah banjir tanpa melihat punca sebenar banjir, adalah satu langkah yang tidak bijak. Apatah lagi jika ianya projek yang terpaksa mengorbankan sejumlah warisan sejarah yang banyak.
En. Abdul Halim Yusof menutup laporannya dengan mengaitkan Kerajaan Negeri Kelantan dengan kemegahan negeri Saba’ yang tercatat di dalam al-Quran. Negeri Saba’ juga menjadi megah kerana kehebatannya dalam menguruskan empangan. Hanya bezanya dengan Kelantan, negeri Saba’ telah dihancurkan Tuhan.
Artikel berkait: Empangan Hidroelektrik Nenggiri Wajar dibantah Orang Asli
Pingback: Empangan Hidroelektrik Nenggiri Wajar dibantah Orang Asli - Iltizam Iman