Empangan Hidroelektrik Nenggiri Wajar dibantah Orang Asli

Oleh: Iltizam Iman

Dalam laporan Utusan yang lepas, Timb. Menteri Besar Datuk Mohd. Amar mengeluarkan rasa tidak pelik kenapa timbul isu bantahan pembinaan Empangan Hidroelektrik, atas alasan JKOAK (Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan) sudah terlalu banyak main politik. Seolah-olah, apa saja hal yang bukan masalah pun boleh jadi masalah di mata JKOAK; maka ia bukan satu masalah.

Maka, artikel ini khusus untuk mengulas kenyataan Datuk Mohd. Amar dalam laporan “JKOAK Banyak Bermain Politik” tersebut.

Saya tidak pasti sama ada beliau sedar atau tidak yang JKOAK sedang mewakili suara lebih dari 3,000 Orang Asli daripada 17 wilayah berbeza di Kelantan. Di bawah pimpinan demokratik, pemimpin jenis apa yang meremehkan suara masyarakat?

Adakah beliau memaksudkan yang JKOAK ini adalah satu perkumpulan yang mempunyai sikap seperti kebanyakan ahli politik? Yang pandai mempengaruhi orang ramai, pandai janji kosong, pandai berdrama, cakap putar belit dan sebagainya?

Mungkin juga beliau memandang JKOAK menggunakan perspektif kaca mata yang sama sebagaimana beliau memandang kawan dan musuh politiknya, di mana antara mereka terlalu banyak kepentingan tersembunyi yang licik dan harus diwaspadai sesama sendiri.

Tapi tidak sedarkah beliau, jika ada hasad dengki dan kepentingan peribadi yang mendiami masyarakat Orang Asli sekali pun, ia tidaklah seteruk dan sebuas hasad pemain catur politik. Masyarakat tidak selicik itu. Dan tidak sekotor itu.

Orang Asli benar-benar terdesak, sungai dan hutan kita tengah nazak. Malah, mereka sedang cuba sebaik boleh untuk memelihara hutan kita.

Spekulasi negatif yang timbul, adakah pembinaan empangan ini juga satu peluang untuk membalak dan melombong? Yang mana ia juga boleh dilihat sebagai langkah ‘sekali jalan’ semasa proses mengorek takungan air berjalan. Kerana hal itu ada dinyatakan di dalam Laporan Penilaian Impak Projek Terhadap Alam Sekitar (EIA), tapi pihak bertanggungjawab seperti tidak ada usaha untuk menjelaskan apa-apa yang jelas.

Malah, seperti semakin merumitkan usaha Orang Asli untuk mengetahui isi kandungan EIA tersebut. Laporan Penilaian Impak Projek Terhadap Alam Sekitar (EIA) dikatakan oleh pegawai Pejabat Tanah & Daerah Gua Musang sebagai dokumen rahsia. Ini menimbulkan keraguan, kerana kerajaan negeri tidak sedikit pun menyentuh soal pembalakan dan perlombongan.

Jika ambil definisi ‘politik’ sebagai landasan, iaitu tatacara pengurusan masyarakat, maka kita dapat lihat JKOAK sedang memainkan peranan yang baik sebagai masyarakat. Menyuarakan rasa tidak setuju terhadap tindakan pentadbir yang tidak munasabah. Maka kuatnya JKOAK ‘bermain politik’ sebelum ini kerana masih ramainya Orang Asli yang dinafikan hak mereka. Lebih dari 50% Orang Asli di Malaysia tidak mendapat hak yang sepatutnya dari segi pendidikan dan kemudahan.

Sedangkan cara hidup yang mereka mahukan bukanlah pembangunan atau pembandaran, malah bukan cara kerja rakus sistem ekonomi bebas ini; tetapi ilmu moden yang dapat membangunkan lagi cara hidup mereka tanpa mengubah atau merosakkan persekitaran sedia ada.

Biarlah kemajuan berkembang berasas dari nilai-nilai kemanusiaan yang paling murni, yang selari antara pergerakan manusia, haiwan dan alam. Bukan pada nilai keuntungan yang bergantung pada jumlah permintaan dan pengeluaran semata-mata.

Kita mahukan teknologi moden dapat menjadi sistem sokongan yang mengukuhkan lagi peranan mereka sebagai ‘penjaga hutan’, yang berfungsi sebagai penasihat hutan bagi masyarakat besar yang berpolitik. Agar pakar yang terdiri kontraktor, ahli perniagaan, pengkaji dsb tidak bertindak melampaui batas dlam menjalankan tugas mereka. Suara Orang Asli harus didaulatkan.

Kerana itu, tradisi mereka perlu dipertahankan sebagai ‘penjaga hutan’. Mereka telah sejak dari awal tahu bagaimana untuk hidup di dalam hutan, kenal bagaimana ekosistem hutan berfungsi; pemimpin seharusnya akui kepakaran mereka. Pemimpin haruslah dengar kata mereka.

Malangnya, pembalakan dan kuari tetap berleluasa, sungai tercemar, sumber air minum keruh, hilang sumber makanan, baik berupa ulam-ulaman atau haiwan dan banyak lagi masalah yang terpaksa mereka perjuangkan.

Jika pembinaan Empangan Hidroelektrik ini tidak dibantah, akhirnya sejarah awal pembentukan kerajaan Kelantan hilang. Bahan arkeologi purba habis tenggelam. Berpulau-pulau bahan pra-sejarah habis lenyap. Kemudian, bagaimana kita nak kenal identiti sendiri?

Tindakan pembinaan empangan ini bukan saja memisahkan Orang Asli dengan alam, malah menempatkan keduanya dalam keadaan saling berperang. Setelah itu, mereka terpaksa pula berpisah dengan sifat dirinya yang paling dalam. Suara Orang Asli yang diwakili oleh JKOAK ini, adalah kesan dari kelemahan Kerajaan Negeri sendiri dalam mengurus-tadbir rakyatnya.

Maka, adalah sangat wajar untuk Orang Asli membantah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri. Juga sangat wajar untuk pihak kerajaan negeri mempertimbangkan hal ini dari kaca mata yang adil, bukan dari kaca mata yang meremeh-temehkan.

 

Artikel sebelum ini: Nasib Orang Asli Gua Musang: Apakah Pertimbangan Waras Kerajaan Negeri & TNB?

One thought on “Empangan Hidroelektrik Nenggiri Wajar dibantah Orang Asli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *