Zaimi, 23 tahun, salah seorang tahanan #Johor20 yang berperanan sebagai penganjur yang membekal kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja, tidak menafikan perbuatannya di satu sisi lain telah menyusahkan ramai pihak terutamanya keluarga dan kawan-kawan yang tidak terlibat.
Dimaklumkan kepada kami, kejadian tempoh hari telah banyak mengajar Zaimi untuk berhati-hati dalam bertindak-tanduk di hari mendatang. Dia faham perbuatan ini telah memberi impak yang kuat terhadap keluarga terutama sekali ibunya. Dia faham keluarga perlu mencari jalan bagaimana untuk tanggung kos guaman, ekonomi isi rumah mereka terganggu, kawan-kawannya yang tidak tahu apa-apa terlibat sama, dan menyebabkan kemarahan buat sesetengah orang kampung.
Dia percaya, masalah utama bukan terletak pada kain rentang tersebut. Kerana suara ini adalah suara rakyat. Tanda pangkah #kerajaangagal di Facebook juga hampir mencecah 72,000 siaran.
Dia juga maklum ramai penduduk yang tidak bersetuju dengan pengurusan kerajaan. Tetapi acara tahunan yang sudah sebati dengan budaya anak muda Parit Raja itu bukanlah saluran yang sesuai. Kerana acara tersebut yang terdapat beberapa perkara menyalahi undang-undang seperti bakar suar dan langgar SOP, menyebabkan keadaan jadi lebih buruk dan suara yang ingin diketengahkan tenggelam.
“Saya minta maaf banyak-banyak pada orang-orang yang merisaukan diri saya dan juga pada orang yang marah saya, saya tahu apa yang saya lakukan itu tak kena tempat dan tak kena cara.” Katanya.
“Sepatutnya ada jalan lain yang lebih baik saya boleh gunakan, yang lebih betul dan selamat, tak merbahayakan keluarga. Waktu itu saya agak melulu.”
Kemudian, bila ditanya tentang ura-ura mereka dibayar oleh dalang yang tidak dikenali, Zaimi hanya tergelak dan menafikan perkara tersebut. Dia mengaku perkara itu berlaku sepenuhnya atas inisiatif sendiri.
“Mana ada sesiapa bayar apa-apa, saya buat pun guna duit sendiri. Apa lagi nak kata ada dalang orang politik sebalik semua ni.”
“Nak kata sayalah dalang, pun tak juga. Tak ada saya suruh orang itu buat ini, atau orang ini buat itu… Ada kawan lain yang tolong siapkan kain rentang sebelum kami angkat malam itu pun atas dasar suka rela. Semuanya secara spontan dibuat dalam masa 2 hari.” Jelas Zaimi.
Zaimi tidak menyangka perkara akan jadi sebesar ini. Pada awalnya dia sangka ini hanyalah acara tahunan, yang mana takkan ada perkara buruk akan terjadi seperti tahun-tahun sebelum ini. Baginya, dia hanya menggunakan ruang acara tahunan tersebut untuk bersuara.
“Banyak pihak cakap benda ni disebabkan viral saja, kalau tak takkan sekecoh ini.”
“Kalau sebab viral, saya dah cakap pada kawan saya yang rekod video, jangan sebarkannya di internet. Tapi nak buat macam mana, dah terlanjur. Saya pun dah terima akibatnya.”
Zaimi juga memberitahu, pihak polis menasihatinya untuk menggunakan saluran yang betul jika ingin bersuara selepas ini.
“Mereka cakap, kau boleh nak buat macam tu lagi. Tapi jangan ada flare, kena ikut undang-undang.”
“Maklumkan pada pihak polis dulu kalau nak buat demonstrasi aman, lepas tu kau nak angkat banting tu angkatlah.”
Apabila ditanya kenapa dia mengambil keputusan untuk menaikkan kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ tersebut, walaupun mengaku ia bukanlah cara yang tepat, tetapi dia mempunyai alasannya tersendiri kenapa kain rentang tersebut perlu diangkat ketika itu.
Dia berpandangan terlalu banyak pertimbangan berat sebelah dari pihak kerajaan. Dia mengatakan pekerja-pekerja kilang dibiarkan terdedah pada risiko jangkitan untuk memastikan industri stabil, tetapi masjid yang menjadi tempat pembersihan rohani dan jiwa, tempat yang membersihkan semangat, meningkatkan keyakinan, keberanian dan ruang pengerat hubungan masyarakat, dihalang secara berlebih-lebihan.
Tindakan kerajaan memperlihatkan orang-orang masjid sangat terbatas untuk melakukan apa yang mereka percaya. Sedangkan pekerja-pekerja kilang, mereka tertindas dan tidak dijaga malah terpaksa merisikokan diri mereka untuk sesuatu yang bahaya.
“Banyak sebab saya angkat banting tersebut. Antaranya masalah pelaksanaan PKP, kenapa sebelum-sebelum ni elok boleh buat pengumuman 2 minggu awal, last-last (sekarang) dia bagi PDF saja? Esok lusa kita tak tahu lockdown lagi ke tak ni. Kerajaan banyak buat keputusan last minute.”
“Selain pilihan raya, kita nampak punca pandemik semakin teruk disebabkan oleh industri seperti perkilangan yang terus beroperasi. Kerja-kerja yang lebih banyak mewujudkan kluster masih lagi dibenarkan buka, tapi akhirnya yang disalahkan tetap bazar ramadan, orang-orang yang pergi pasar malam, dan peniaga kecil.”
“Yang dikompoun juga ramai terdiri dari peniaga kecil. Berapa ramai peniaga bazar ramadan terpaksa tanggung kerugian akibat penutupan tiba-tiba?”
“Selain tu, kenapa setiap kali MCO, yang paling digembar-gemburkan adalah masjid? Kluster surau pun baru saja timbul beberapa hari lepas, tapi kenapa selama ni apa-apa semuanya masjid? Kenapa bukan orang-orang atasan dan pemilik kilang?”
“Apa fungsi ordinan darurat? Bila darurat, parlimen tak boleh dibuka, kalau parlimen tak boleh dibuka suara rakyat tak boleh dinaikkan. Kalau suara rakyat tak boleh dinaikkan, tak adalah suara orang Parit Raja.”
“Darurat nampaknya tak membantu kerajaan dalam membuat keputusan.”
“Tapi walaupun parlimen tutup, sepatutnya kerajaan masih boleh dengar suara-suara rakyat di media. Tapi ini tak ada. Zaman digital sepatutnya membenarkan kita untuk bersuara tanpa mengira keadaan dan tempat.”
“Tindakan kerajaan mendiamkan suara rakyat membuatkan pekerja seperti saya marah, terasa dicampak ke sana-sini dan tidak dipedulikan. Bila terlalu marah, saya tak dapat menahan diri dari bertindak melulu, dan akhirnya saya sendiri menyesal. Tapi apa lagi yang saya boleh buat? Nak tak nak, kenalah tanggung.”
“Walaupun sekarang ini perkara paling baik adalah kita dengar cakap kerajaan, ikut SOP, tapi kerajaan juga kenalah bertindak dengan bijak dan baik. Dengarlah suara rakyat, pertimbangkanlah pandangan orang ramai.”
“Sebab bukan kerajaan saja yang berdepan dengan perkara ini secara dekat, kita (rakyat) pun sama. Banyak pandangan rakyat yang sebenarnya dapat membantu pihak kerajaan buat keputusan, dan masyarakat juga akan lebih positif untuk berdepan wabak ini. Ia akan menjadikan masyarakat lebih serius untuk ikut SOP, tak ada budak-budak keluar main flare. Macam tahun lepas, pekan Parit Raja sunyi.”
Menurut abang Zaimi pula, perkara ini perlu dipandang dari sudut yang lebih positif. Kerana sebagai abang, dia tahu adiknya adalah seorang yang baik, banyak membantu mak ayah. Cuma kali ini, mungkin nasibnya tidak berapa baik atas tindak-tanduknya sendiri yang dilihatnya melulu.
“Adik aku ni dah bekerja, aku masih di universiti buat master. Lepas dia dapat kerja setahun lebih ni, dialah yang banyak beli barang-barang rumah dan dapur untuk keperluan keluarga. Dia dah mula ambil tanggungjawab untuk sara keluarga, itu yang mak aku risau betul bila dia ditangkap.
“Pasal #KerajaanGagal, pada aku, adik aku ni lebih banyak tahu macam mana benda ni bagi kesan pada peniaga dan pekerja macam dia. Aku pun tak boleh nak salahkan sangat tindakan dia.” Jelas abang Zaimi kepada kami.
“Apa-apa pun, benda dah jadi. Aku harap orang ramai dapatlah pandang isu ni dari sudut yang lebih positif, untuk kebaikan kejiranan kita juga. Walaupun cara dia tu salah, menyebabkan ramai orang susah dan marah, tapi kita faham banyak benarnya juga dengan isu #KerajaanGagal ni.”
“Jadi aku fikir kejadian ini bukan saja cabaran untuk kerajaan dan pihak berkuasa, tetapi masyarakat juga. Macam mana kita nak berdepan dengan masalah yang ada dalam kejiranan kita.” – Abang Zaimi
*Setiap nama di atas bukanlah nama sebenar bagi menjaga nama baik dan keselamatan pihak keluarga.