31 Januari 2020, Alir Cahaya Batu Pahat telah menjemput Tuan Azmi Misrani dan Zarin Abd Rahman dalam slot wawancara bertajuk Warisan Alam Bukit Payung Batu Pahat secara siaran langsung di Facebook page Alir Cahaya.
Tuan Azmi adalah generasi pertama mewakili Gerakan Selamatkan Bukit Payung dan Zarin adalah generasi kedua mewakili Gerakan Selamatkan Bukit Payung.
Gerakan Selamatkan Bukit Payung
Sesi dimulakan dengan Tuan Azmi yang menerangkan secara ringkas tentang Bukit Payung. Bukit Payung diberi nama sempena adanya mercu tanda sebuah payung aluminium yang memantulkan cahaya atau bercahaya ketika zaman pendudukan tentera Jepun.
Fungsi payung aluminium tersebut adalah digunakan untuk tentera Jepun yang melalui kawasan itu menggunakan kapal terbang supaya menjadi aras ketinggian. Apa yang dimaksudkan adalah supaya kapal yang terbang di kawasan itu tidak terlalu rendah jika melalui kawasan itu dan payung aluminium itu lah arasnya.
Kemudian, di sekitar Bukit Payung ada lagi 4 bukit yang berhampiran. Pertama Bukit Payung, Bukit Botak, Bukit Berdiri, Bukit Alam dan Bukit Merlimau.
Bukit Botak diberi nama kerana pernah berlakunya kebakaran dan sebab itu orang tempatan menamakannya Bukit Botak. Bukit Berdiri adalah bukit yang tinggi menegak.
Tuan Azmi ada berkongsi tentang lagenda, cerita mulut ke mulut tentang adanya gua yang mengandungi emas. Disebabkan itu, ramai pencari harta karun ataupun seumpamanya, mereka gemar menjadikan Bukit Payung sebagai lokasi istimewa. Selain itu, ada satu lagi cerita tentang telaga minyak. Suatu ketika kawasan itu adalah kawasan penoreh getah yang awal pagi akan menoreh. Kadang-kadang minyak tanah yang digunakan habis atau terlupa dibawa. Orang yang terdesak untuk balik mengambil minyak tanah akan terjumpa secara tidak sengaja dengan telaga ini, tetapi telaga ini tidak bertempat dan tidak dijumpai bila pernah hendak dikomersialkan.
Berbalik pada gua yang mengandungi emas, sebenarnya emas itu tidak berbentuk material seperti jongkong atau batu-batu akan tetapi dalam jelmaan lembaga. Seperti contoh, kuda emas, ayam emas, burung emas dan seumpamanya. Ada beberapa orang mengatakan, orang yang suka memikat burung suka berada di bukit itu kerana adanya burung tekukur. Burung tekukur ini jika mengembangkan sayapnya akan mengeluarkan cahaya keemasan. Sampai mana jauh cerita ini, penulis tidak pasti, apa yang penulis faham segala cerita-cerita lagenda ini membawa maksudnya sendiri sama ada dari segi gambaran kemewahan sesuatu khazanah alam setempat, gambaran isu semasa dan lain-lain.
Iman sebagai moderator hari itu terus bertanyakan soalan kepada Tuan Azmi tentang usaha-usaha menyelamatkan Bukit Payung. Perbincangan ini sebenarnya berkaitan dengan aktiviti mereka yang membantah projek di Bukit Payung untuk dijadikan tempat pelupusan sampah. Isu ini bermula sejak tahun 2010 ketika kerjaan Barisan Nasional masih memegang tampuk pemerintahan bersama Najib Razak.
Ketika sebelum isu ini dibangkitkan, Tuan Azmi menerangkan bahawa pernah wujudnya Persatuan Dusun Berkelompok Kangkar Merlimau dimana ahlinya terdiri daripada pengusaha-pengusaha dusun durian. Persatuan ini di bawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Pada masa itu juga, kawasan tersebut telah menjadi agrotourism dan kawasan pelancongan untuk menikmati durian. Ramai dari China, Thailand, Singapura dan lain-lain menjadikan lokasi tersebut sebagai persinggahan/check point.
Kini, setelah kerajaan mengumumkan projek pelupusan sampah di situ, maka Gerakan Selamatkan Bukit Payung pun terjadi. Individu yang ada dalam gerakan protes ini terdiri daripada orang-orang kampung, ahli persatuan, aktivis alam sekitar, peguam, pensyarah, pesara polis, pegawai MARA, mahasiswa dan lain-lain.
Apa tujuan gerakan ini diadakan oleh kerana pencemaran yang akan berlaku dan sedang berlaku. Banyak kawasan yang terjejas seperti yang pernah penulis baca di dalam Zine Dari Johor (isu pertama). Selain itu, projek-projek kuari yang sedang beroperasi telah mengakibatkan banjir lumpur, sungai yang rosak dan habitat yang terganggu.
Ketika kawasan itu menjadi tempat penanaman durian, banyak kelawar yang berada di gua di atas bukit, tetapi pada hari ini, kelawar sudah berkurangan. Begitu juga ekosistem lainnya, tanah yang rosak dan lain-lain lagi.
Iman juga ada menanyakan tentang respon kerajaan tentang wujudnya gerakan ini. Tuan Azmi menjelas daripada awal bahawa, pada mulanya projek ini dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional 2010. Pada 2012 ketika bahang kebangkitan Pakatan Harapan dalam melobi janji-janji politik, GSBP mengambil peluang untuk membawa isu ini. Hasilnya isu ini menang dan Parit Yani wakil rakyatnya diambil alih oleh Pakatan Harapan.
Kemudian, 5 tahun selepas dari waktu itu, perkembangan isu ini tampak perlahan dan seperti diam. Menjelang PRU13, GSBP mula semula dengan bantahan-bantahan yang tertangguh, mengenangkan wakil rakyat parti apa pun tidak membantu. PRU14 BN tumbang, GASB juga masih mengharapkan kerjasama dari orang politik untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ianya tidak berlaku, malahan di dalam kerajaan Pakatan Harapan sendiri ads yang menyokong projek ini diteruskan.
Soalan seterusnya diajukan kepada Zarin sebagai penglibatan generasi kedua di dalam GSBP. Iman bertanya tentang apa aktiviti yang ada di Bukit Payung. Zarin menjelaskan bahawa isu projek pelupusan sampah ini timbul pada tahun 2010. Sepanjang isu itu berbangkit sehingga sekarang memang telah banyak usaha-usaha bertujuan menarik minat penduduk setempat dan pengunjung luar dengan pelbagai jaringan kerjasama supaya mereka mengetahui wujudnya khazanah alam yang boleh kita semua nikmatinya dan menjadi kawasan yang berguna untuk rekreasi dan sebagainya.
Dengan trend yang populer seperti hiking, explore race dan sukan-sukan lasak yang lain, sememangnya ramai orang yang telah sampai ke situ akan didedahkan dengan masalah tersebut. Mereka juga agak terkesan kalau semua aset harus dimusnahkan dan juga dalam tidak sengaja mereka turut membantu apa yang perlu.
Iman bertanya lagi perihal penglibatan parti politik. Jawapan Zarin mudah; kabur, tawar hati dan tidak percaya lagi. Pada awalnya penglibatan mereka ini memang perlu bekerjasama dengan parti politik dan pendekatan GSBP juga logik dan mengikut langkah yang patut kerana projek ini sendiri adalah projek kerajaan. Melalui heiraki kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Zine Dari Johor 1 Zine Dari Johor 1
Kerja-kerja GSBP yang dikongsi di dalam Zine Dari Johor juga ada menunjukan kronologi kes sehingga perlunya menghadap Timbalan Perdana Menteri, sultan dan lain-lain. Hasilnya mereka bukan tidak tahu atau tidak peduli, malahan mereka menunggang kes ini sebagai batu loncatan atau menjadi kepentingan elit mereka.
Jadi, perkara-perkara yang terjadi ini membuatkan ada setengah individunya sudah fragile, kendur, muak, tawar hati dan tidak percaya lagi. Sejujurnya GSBP memang perlukan jaringan yang kuat bukan sekadar parti politik malahan lebih dari itu. Apa yang penulis fikirkan adalah aksi radikal yang mampu menjadikan isu ini serius. Ramai saudara-saudara kita di Indonesia yang telah melakukan hal ini seperti contoh membantah naiknya projek kilang, projek gedung yang dalam masa sama menafikan petani, nelayan dan pekebun-pekebun. Mereka dah tak peduli dengan parti politik tetapi solidariti dan perlawanan jaringan-jaringan aktivis, kolektif dan lain-lain bersama-sama.
Berbalik kepada Zarin, akhirnya GSBP membawa kes ini naik ke mahkamah. Belajar daripada kes Broga zaman Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi), Perdana Menteri ke 5, NGO yang terlibat dengan kes Broga telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan akhirnya mereka berjaya.
Seterusnya Iman bertanya lagi tentang warisan yang ada mengikut pendapat Zarin di Bukit Payung, selain apa yang diterangkan oleh Tuan Azmi. Zarin memberitahu bahawa khazanah alam semulajadi itu sendiri, alam sekitar, flora dan fauna, peninggalan-peninggalan bukti sejarah, ketenangan, kaedah pertanian, ekosistem, habitat dan lain-lain.
Zarin memberitahu, ada kajian geologi mengatakan terdapat fosil zaman jurasic/dinasour/binatang-binatang raksasa.
Tesis dari UKM juga mengatakan bahawa tanah ini adanya fosil zaman jurasic.
Di utara Bukit Payung ada Bukit Capal, 10km daripada tapak projek terdapat peninggalan batu nisan Aceh dan banyak lagi yang mungkin kita sendiri tak pasti, belum temui dan belum digali. Oleh itu ia penting untuk generasi-generasi seterusnya. Ini lah khazanah purba dan flora dan fauna yang ada.
Selain itu, kerajaan mencadangkan projek itu di Bukit Payung kerana bentuk geologinya sendiri dan kajian UTHM juga mengatakan memang sesuai, tetapi ada beberapa aspek yang kita perlu lihat dengan mata hati, kemanusiaan kerana projek itu terlalu hampir dengan populasi penduduk.
Akhir sekali, persoalannya adalah;
Kempen atau usaha apa yang sepatutnya diambil selain mengusahakan beberapa projek lagi tempat pelupusan sampah secara mega?
Contoh; kaedah pembuangan sampah peringkat nasional melalui kompos, masalah konsumerisme, kapitalisme, kitar semula dan lain-lain.
Ini kerana masalah sebenarnya adalah sampah yang terlalu banyak di kumpulkan satu tempat. Pada satu masa, tempat juga tidak mencukupi. Jadi apa penyelesaian terhadap masalah sampah ini?