Skip to content
Laman Utama ยป PERKONGSIAN JEJAK WARISAN BANDAR PENGGARAM, BATU PAHAT JOHOR

PERKONGSIAN JEJAK WARISAN BANDAR PENGGARAM, BATU PAHAT JOHOR

Pada 16 Januari 2022, Alir Cahaya telah menjemput Tuan Haji Mohd Azlan Bin Dato Mohd Sharif (Azlan Sharif) bagi tujuan perkongsian Jejak Warisan Bandar Penggaram, Batu Pahat secara ringkas.

Azlan Sharif adalah seorang penerima anugerah khas alumni UTHM (aktivis sosial dan kemasyarakatan) serta ahli jawatankuasa di dalam Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat. Kerja hakiki beliau adalah seorang pegawai kesihatan dan keselamatan untuk beberapa syarikat. Beliau juga seorang pengkaji bebas serta fokus kepada sejarah Batu Pahat dan juga di tempat-tempat lain.

Seperti yang telah difahamkan, Alir Cahaya akan terus dengan beberapa agenda dan program selingan lain sehingga bulan Mac. Jadi, undangan Azlan sharif adalah salah satu agenda juga untuk kita sama-sama menerima maklumat dan perkongsian beliau yang hampir 5 tahun dalam aktivis sejarah ini.

Pada pembukaan sembang santai ini, Iltizam Iman dari pihak Alir Cahaya ada menyampaikan sebuah pantun sebagai pembukaan. Pantun ini ditulis oleh saudari Aina Samakon dari Parit Raja, Batu Pahat.

Tanjung Labuh, Minyak Beku
Batu di pahat jadi sejarah
Bandar Penggaram jadi kubu
Benteng negeri dari penjajah

High School dan Bentara Luar
Warga pendidik menabur jasa
Lahirkan ilmuan dan juga pakar
Menabur bakti anak bangsa

Balai lama dalam kenangan
Menjadi saksi serangan berdarah
Para mujahid jasamu dikenang
Berkorban diri pertahan maruah

Gunung Banang anginnya nyaman
Puncak misteri diliputi awan
Bukit cermai hamparan taman
Tempat semadi para pahlawan

Kompleks berniaga medan selera
Dari Peserai ke Simpang Lima
Asam pedas, satay, membuka selera
Briyani Power sudah ternama

Bukit Pasir ke Tongkang Pecah
Bekas lombong Tasik Merdeka
Naik basikal ataupun beca
Sekejap sampai ke pusat bandar

Parit Yani hala ke Yong Peng
Jalan menghubung ke lebuhraya
Hasil kerepek, rempeyek dan hemping
Kuih muih di hari raya

Air Hitam, Parit Raja ke Sri Gading
Kompleks berniaga dan pasar tani
Tersergam indah menara gading
Mencari rezeki di zaman industri

Bukit Batu, Sungai Lurus
Selat Melaka persisir Senggarang
Tetamu datang bertali arus
Menjamu selera kupang dan kerang

Seri Medan desanya aman
Lombong besi zaman penjajah
Lingkaran sungai kiri dan kanan
Banjir termenung bila nak sudah

Hutan lagenda di Bukit Payung
Makam lama banyak dikesan
Ke bawah duli rakyat berpayung
Menjaga alam suburkan warisan

Batu Pahat bandar sejarah
Berbilang kaum hidup bermuasyarah
Pembangunan pesat penanda arah
Hidup subur di bumi bertuah

JEJAK WARISAN BANDAR PENGGARAM

Di dalam Hikayat Maling Dagang yang disebut oleh Azlan Sharif, pernah tertulis tentang Rio Fermoso, di mana Rio Fermoso itu sebutan di dalam bahasa Portugis yang sekarang dikenali sebagai Sungai Batu Pahat.

Sungai Batu Pahat adalah sungai yang betul-betul ada di Bandar Penggaram seberang jalan antara Terminal Bas Ekspress Batu Pahat, dimana Alir Cahaya berada sekarang.

Batu Pahat pada hemat penulis adalah sebuah daerah yang penuh dengan sejarah dan bila diteliti boleh dikatakan adalah sebuah muzium yang hidup pada hari ini. Tidak ubah seperti negeri Melaka, bezanya, Melaka sudah dijadikan industri pelancongan tetapi Batu Pahat tidak, malah sekitar Batu Pahat itu lebih menarik daripada apa yang kita lihat di bandar Melaka. Walau bagaimana pun, semakin hari semakin hilangnya peninggalan-peninggalan sejarah selepas ianya sudah tidak dipedulikan lagi.

Jadi beruntunglah jika ada kumpulan, aktivis yang masih mencari dan mampu menyebarkannya serta memelihara daripada hilang dan dilupakan, yang mana pada satu ketika dahulu ianya membawa kepada hari ini, kepada pembentukan hari ini. Sejarah harus dipelajari agar kesilapan lama tidak diulang dan perkara yang baik menjadi contoh dan tauladan.

Apa-apa pun, kita tidak mahu membeza-bezakan, sebagai orang yang bertanggungjawab seperti Azlan Sharif dan juga pihak Alir Cahaya, mereka berusaha berkongsi ini semua, mengenalkan Batu Pahat dengan sejarahnya dan juga peninggalan yang masih ada, yang masih kita boleh lihat dan berbangga untuk menjaga warisan ini, pelihara supaya kita dapat mengenal dan memahami bagaimana manusia itu berhubung dengan pelbagai kaum, bagaimana kemajuan berlaku supaya kita tahu ianya adalah susur jalur yang berharga.

Azlan Sharif beekongsi 37 senarai warisan Bandar Penggaram.

SMK TINGGI BATU PAHAT (est. 1914)
SUNGAI BATU PAHAT (Rio Fermoso)
SUNGAI PENGGARAM
SUNGAI SOGA
BUKIT PENGGARAM (1209 kaki)
BUKIT BANANG (1402 kaki)
BUKIT JERAGAN
BUKIT SOGA (820 kaki)
JALAN RAHMAT (est. 1893)
JALAN PENGGARAM
MASJID DATO BENTARA LUAR (est. 1935)
WISMA SEJARAH (balai polis 1913)
PEJABAT KERAJAAN (est. 1937)
TITIK NOL BANDAR PENGGARAM (est. 1893)
TASIK KADRI (dikambus 1934)
TASEK MERDEKA (bekas lombong bauksit)
JAMBATAN PENGGARAM (est. 1967)
TEMPLE LIM SZ CHONG SU (est. 1912)
BATU PAHAT CHINESSE CHAMBER OF COMMERCE (est. 1930)
BEKAS JETI FERI PESERAI (terakhir 1967)
JIRAT CINA LIM SOO POON (1885)
RUMAH AGAM TAN SWEE HOO (mati pada 1939)
GALERI DATO ONN
MAKAN SEJARAH BUKIT CERMAI
KEDIAMAN RASMI PEGAWAI DAERAH BATU PAHAT
BATU PAHAT OLD JAPANESE CLUB
SURAU INDIA MUSLIM SELATAN (est. 1942)
MASJID JAMEK BUKIT PASIR
PEJABAT POS BATU PAHAT (est 1930)
MASJID JAMEK KAMPUNG LINAU KECIL
MALAY BATU PAHAT CLUB (est 1912)
BANGUNAN LAMA TIGS
PASAR MELAYU
FIRE STATION BANDAR PENGGARAM
JAPANESE SCHOOL (persimpangan Jalan Zabedah – Jalan Sultanah)
BALAI POLIS TRAFIK BATU PAHAT (est. 1937)
GUDANG BERAS JEPUN, JALAN PANTAI

Antaranya:

  1. SMK TINGGI BATU PAHAT (HIGH SCHOOL)

Apa yang dimaklumkan, tapak atau lokasi SMK Tinggi hari ini berada di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat. Tapak asalnya adalah di bangunanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat sekarang.

Di dalam carian peta 1945, Azlan Sharif memberitahu bahawa bangunan JKR tersebut ditanda atau mempunyai tanda dengan perkataan “club”. Persoalannya adakah perkataan club itu merujuk kepada Malay Club?

Untuk pengetahuan semua, beberapa bandar yang ada di negeri Johor akan ada “Malay club”. Ini adalah spesial kes dan boleh rujuk di Johor Civil Service (JCS).

Malay club ini adalah kelab sosial ataupun seperti persatuan yang ahlinya terdiri daripada pegawai besar di dalam pentadbiran negeri Johor. Seperti di Kuala Lumpur, ada Selangor Club yang berada di Dataran Merdeka sekarang. Begitu juga di Johor dan Batu Pahat sendiri, mempunyai Malay club.

Pada 1914, sebuah artikel ada menyebutkan tentang satu bangunan bernama Government English School, iaitu bangunan High School Batu Pahat asal iaitu bangunan JKR hari ini adalah satu-satunya bangunan di Batu Pahat yang diiktiraf sebagai bangunan warisan. Fungsi pengiktirafan ini biasa akan dijadikan sebuah muzium.

  1. SUNGAI BATU PAHAT

Berapa panjang sungai Batu Pahat?

Jawapan ini boleh rujuk dengan Jabatan Pengairan Saliran Batu Pahat yang berhampiran Masjid Sultan Ismail di Jalan Kluang – Jalan Bakau Condong.

Dari sudut peta dalam negara dan luar negara, ada menunjukkan satu sungai di bawah Sungai Melaka, di bawah Muar, namanya adalah Rio Fermoso / Rio Muar.

Rio Fermoso berada di seberang Terminal Bas Batu Pahat, Jalan Abu Bakar iaitu Sungai Batu Pahat. Daripada kuala sungai Batu Pahat sehingga simpang kuala jaraknya adalah 11 kilometer. Kemungkinan sepanjang 11 kilomater itu mempunyai pelbagai artifak sejarah. Tetapi kejadian banjir sehingga sekarang yang melanda negara kita menyebabkan artifak ini telah terdedah daripada bencana alam seperti kemarau, banjir sedar ribuan tahun.

Jadi, rekod dan data yang direkodkan, memang ada menjumpai senjata api yang dijumpai di dalam Sungai Batu Pahat / Rio Fermosi. Bukan sahaja nama di dalam bahasa Portugis terhadap sungai itu, apa yang penting adalah sejarah yang ada atau artifak yang ada di dalam sungai tersebut.

  1. SUNGAI PENGGARAM

Di Penggaram ada Bukit Penggaram. Jika ada bukit mesti ada sungai, tetapi pada hari ini, sungai itu orang tak tau dan boleh dikatakan ianya sudah hilang.

Lokasinya pun sudah dipenuhi rumah ataupun bangunan. Mengikut carian peta, Surau India Muslim Selatan berhampiran pasar, ada kejiranan orang Cina, ada bangunan warna biru dan ada Pasar Karat dibelakangnya.

Jarak antara surau dan bangunan biru itu lah sungai terakhir Sungai Penggaram dan separuh daripada Pasar Awam Batu Pahat dibawahnya lah lalui sungai tersebut. Boleh dikatakan ia sudah ditimbus.

Sewaktu Tasik Kadri ditimbus kira-kkra tahun 1930, sebelum Masjid Bentara Luar dibina, waktu itu di belakang Masjid Bentara Luar sekarang mempunyai garisan yang kita boleh jejak mengikut carian peta jika mahu dikembalikan sungai tersebut.

Selain Pasar Awam yang sekarang berada di laluan sungai tersebut, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga ada diatas laluan Sungai Penggaram. Apa yang menjadikan sungai ini penting kerana Bandar Penggaram yang mempunyai bukit tetapi sungainya hilang. Betul-betul melanggar hukum alam selain sungai itu berjasa kepada kehidupan dan ekosistem alam itu sendiri.

  1. SUNGAI SOGA

Sungai soga sekarang hanya tinggal Gate air sahaja.

  1. BUKIT PENGGARAM

1209 kaki ketinggian. Dahulunya adalah tempat yang mempunyai air terjun, mata air dan sebagainya. Pada hari ini sedang dibina rumah persatuan. Apa yang ralat adalah air atau punca air itu sudah kering. Luar biasa. Mudah untuk dikatakan, ke empat-empat bukit sekitar Penggaram ini sedang terancam.

Ada satu Hikayat Aceh, Hikayat Malim Dagang, ditulis selepas zaman Ratu Safiyatudin Ibni Almarhum Sultan Iskandar Muda, sultan Aceh yang paling terkenal.

Apa yang tertulis/direkodkan dalam bahasa Aceh dan telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu sebagai tesis di USM, juga diterjemah dalam Bahasa Belanda, ada mempunyai cerita-cerita tentang sekitar Bandar Penggaram seperti perang Laut Banang, tentang Hutan Banang dan sebagainya membuatkan kita kagum. Lokasi arau cerita tentang Banang mungkin ramai orang boleh katakan tak semestinya ada di Batu Pahat atau Penggaram, tetapi ada ke nama Hutan Banang, Laut Banang dan Bukit Banang yang ada di semenanjung Malaysia serta Sabah Sarawak ataupun yang hampir dengan Aceh?

Bercakap tentang menjaga dan memelihara warisan bukan sahaja tentang pemakaian, budaya, adat, malah alam juga harus dijaga dan karya-karya/manuskrip, dokumentasi catatan juga harus dipelihara.

Selain itu, bercakap tentang penulisan hal sejarah, manuskrip bukan sahaja ditulis dalam Jawi untuk menjejak sejarah Malaysia khususnya, manuskrip juga ada ditulis dalam Bahasa Cina oleh orang Cina, dalam Bahasa Jawa, dalam Bahasa Arab, Aceh dan lain-lain. Begitu juga tentang budaya. Dan pada akarnya, manusia itu berbumbungkan langit, berlantaikan tanah, oleh itu, warisan alam turut dijaga dan dikaji untuk mendapat keseimbangan.

Berbalik kepada Bandar Penggaram dan juga penulisan sejarah, Bandar Penggaram adalah begitu besar namanya sehinggakan wujudnya cerita-cerita di dalam hikayat dengan pelbagai bahasa.

Begitu juga dalam hikayat Alfonso De Albuquerque yang telah dialih bahasa ke Bahasa Inggeris, ada menyebut tentang Rio Fermoso ini bukan tempat orang biasa-biasa, ianya dikuasai oleh orang yang digelarkan laksamana Hang Tuah. Disebabkan itu Batu Pahat sering dikaitkan dengan nama Hang Tuah.

Orang sering melatah, “ya ke batu pahat tu Hang Tuah?”, atau “Batu Pahat itu berkait dengan Hang Tuah?”.

Kena faham, sejarah tidak bercakap tentang daerah Batu Pahat atau sejarah hari ini, yang berbeza dgn 500 tahun dahulu, tentang luasnya wilayah. Batu Pahat hari ini jauh berbeza dengan apa yang ditulis dan telah direkodkan menjadi bahan sejarah.

Saksikan video Sembang Santai Tuan Azlan Sharif tentang Sejarah Bandar Penggaram di Alir Cahaya tempoh hari.

Link: https://fb.watch/bBxQ-s9WIQ/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *