Skip to content
Laman Utama » SEKOLAH BAROKA BERSAMA RAYHAN BERIKUTAN SESI TAYANG-BINCANG DI TUMPANG CO-WORKING SPACE, SIMPANG RENGGAM.

SEKOLAH BAROKA BERSAMA RAYHAN BERIKUTAN SESI TAYANG-BINCANG DI TUMPANG CO-WORKING SPACE, SIMPANG RENGGAM.

Sejak Zine Dari Johor wujud, Tumpang Co-working Space di Simpang Renggam ini lah tempat kami berulang-alik untuk join forum yang mereka usahakan. Lagipun Kulai dengan Simpang Renggam ni bukanlah jauh mana, kalau ikut jalan kampung ada lah beberapa minit nak sampai. Kulai ke Simpang Renggam pun ada jalan alternatif seperti highway, so perjalanan tak sejauh kita yang ada di daerah selatan Johor nak ke utara Johor seperti Pagoh dan lain-lain. Sebut sahaja pasal Simpang Renggam dan highway, teringat Mazlee Malik yang hujung tahun lepas dia resign bersama parti Pejuang secara rasmi. Hahah!

Tapi, hal Mazlee dah boleh pergi mampus. Aku tak nak rugi paragraph cerita pasal dia. Sedikit info pasal Tumpang ni, kami pun baru je kenal-kenal dan kebetulan ada beberapa kawan kami sejak dari Kuala Lumpur memang akan ke sana untuk kerja-kerja yang dia jalankan setelah berpindah ke Johor. Tumpang ni space yang kita boleh sewa untuk ruangan kerja, aktiviti, acara indoor seperti forum dan lain-lain. Tempat yang nice dan baik untuk orang-orang di sana yang memerlukannya.

Diaorang ni jugak banyak bekerjasama dengan kolektif movement yang ada di Simpang sendiri. Kolektif Naratif memang berminat dan tertarik dengan scene sub-budaya sebegini yang agak progresif dalam ideanya untuk menunjukkan bahawa kolektif dan kerja-kerja indiependent adalah salah satu alternatif yang sesuai. Siapa kata Simpang Renggam tak berfungsi ha? Masih ada anak-anak muda yang aktif dan sayangkan daerah itu daripada terus menjadi sekadar sebuah Simpang Renggam sahaja. Mereka mahukan pembaharuan dan saling bersolidariti untuk banyak hal.

Jadi, sejak KN wujud sahaja di Johor, Zine Dari Johor pun muncul dengan objektifnya sendiri seperti yang diberitahu dalam episod pertama, ZDJ acah mahu keluar dari tipikal or whatever so called zine itu sendiri.

We don’t know kalau zine itu benar-benar ada details untuk content yang di sumbat. Sebagai ZDJ, kalau rasa nak menulis, menulis lah. ZDJ pula mengambil peluang untuk hadir kemana sahaja acara forum sekitar Johor yang diadakan. Keutamaan kepada forum-forum indiependent dan dari kesempatan ini lah, ZDJ akan menyumbat beberapa review dan lain-lain sebagai pengisian di dalam isu seputar. Dalam pengisian zine ada khusus fanzine untuk band atau musik, ada juga khusus untuk puisi, cerpen, artikel. ZDJ pula cuba mengekalkan momentum dengan review forum salah satunya.

Zine pula seperti semua orang tahu adalah alternatif yang telah wujud sejak sekian lama bergerak secara indiependent. Untuk soal tatabahasa, gaya penulisan, ekspresi dan sebagainya juga secara auto menjadi bebas, malahan zine lebih santai.

Awal bulan 9/2020 yang lepas, KN sempat Tumpang kali pertama untuk join Tayang-Bincang yang diadakan bersama Rayhan sebagai panelis utama. Sebagai penggerak kolektif yang mandiri, Sekolah Baroka adalah salah satu organisasi yang perlu ZDJ kongsikan jika berpeluang. Sebagai individu, aku mengenal kerja-kerja mereka sebelum forum ni lagi, Rayhan salah seorang yang bertanggung-jawab dalam pengurusannya juga adalah kawan sejak dibangku asrama dan sekolah lagi. Sama-sama di gantung asrama kemudian menumpang rumah pakcik member dalam tempoh di gantung itu.

Pengisian awal program ketika itu, kami dihidangkan sebuah screening filem dari Indonesia yang bertajuk Sokola Rimba sebelum Rayhan mengambil alih memperkenalkan Sekolah Baroka. Filem itu menceritakan seorang perempuan bandar (aktivis) yang menjalankan kerja bakti pendidikan telah membuat keputusan untuk masuk ke sebuah penempatan didalam hutan demi mengajar anak-anak disana supaya boleh membaca, mengira dan sebagainya setelah mengalami beberapa konflik. Pada mulanya, ada sahaja ahli keluarga kepada anak-anak yang belajar itu tidak bersetuju dengan pembaharuan yang perempuan bandar itu bawa.

Pada mereka, seorang lelaki perlu kuat dan rajin bekerja daripada menjadi pandai akademik dan meninggalkan kampung (hutan) untuk ke bandar. Cerita berkaitan adat resam, budaya dan sebagainya adalah menjadi sebuah blocking ataupun halangan kecil kadang-kalanya, sedikit mengelirukan dengan sebuah doktrin yang telah lama di serapkan dalam setiap pemikiran. Dalam masa yang sama, kaum pemodal dan segala aparat sial pula kerap datang menceroboh (teroka) untuk pembalakkan dan pemburuan haram.

Mereka si bangsat ini juga berdalih dengan menghulurkan sebuah surat perjanjian di antara penduduk setempat supaya mendapat tanda tangan tanpa mengetahui isi kandungan yang tertera. Rombongan dari pihak penceroboh akan membawa pujukkan dengan beberapa stok keperluan penduduk berupa bentuk makanan sebagai saguhati supaya mereka tidak memberontak, sehinggalah kerja-kerja mula dijalankan, setiap kali itu juga penduduk perlu berpindah-randah mencari penempatan baru. Kesan daripada ini juga, mereka berkeras tidak mahu berjumpa orang luar dan setiap kawasan dijaga dengan ketat. Termasuklah perempuan yang datang hendak mengajar walaupun pada akhirnya dibenarkan masuk juga ke dalam kawasan penempatan mereka. Sebahagian besar lainnya dari perjanjian tersebut pula, mereka tak tahu kerana tidak pandai membaca. Mereka cuma dijelaskan bahawa ada projek dari pihak kerajaan mahu dijalankan.

Sudahnya, jangan kata nak makan tak ada sumber, tempat tinggal pun sudah tak seaman sebelum diceroboh. Akhirnya kelemahan itu disedari oleh perempuan dari bandar itu dengan beberapa bukti yang diberikan daripada salah seorang pelajar disitu setelah memberi surat perjanjian yang dia simpan. Seorang pelajar yang bijak dan bersungguh-sungguh tidak mahu ketinggalan.

Pengakhiran cerita, budak yang menyimpan perjanjian itulah yang menyelamatkan kolektif mereka sekeluarga, sekampung daripada penipuan. Dia dah pandai membaca dan sekurang-kurangnya itulah perubahan yang terus mengalir dengan buah-buahnya sendiri. Dari seorang aktivis perempuan kepada seorang pelajar dan kemudian berbakti dan menjaga persekitaran sendiri. Korang boleh layan cerita seolah sebuah dokumentari. Banyak lagi drama, suspen yang mampu membantu korang berfikir.

Di bawah ada soalan berbentuk keinginan-tahu secara peribadi yang mahu dikongsikan.

RAYHAN DAN SEKOLA BAROKA

  • Yan, sebelum pergi jauh-jauh, boleh tak kau kongsikan antara Baroka Blessed, Sekolah Baroka – Tompok Budaya, Tanam Tumbuh ni secara pengenalan dan objektifnya?

Baiklah Aun, secara mudahnya Baroka.Blessed adalah sebuah organisasi komuniti yang bergerak untuk menyemai budi & daya anak muda bagi menangani isu sosial dan pendidikan di sekitar Johor Bahru.

Manakala Sekola Baroka – Tompok Budaya pula, merupakan inisiatif yang memberi fokus kepada isu sosial di Pusat Pertumbuhan negeri Johor. Antara hal yang giat diusahakan sedari 2017 ialah isu anak-anak berkeliaran malam di Bandaraya Johor Bahru.

Bermula di jalan dan lorong sebagai acara Pasar Barokah: Seni & Budaya Jalanan lalu sehingga 2019, kami tekad mengambil risiko dengan membina ruang yang berperanan sebagai tompok budaya untuk anak-anak bermain dan belajar topik yang mereka minat bersama sumber tenaga pengajar yang hadir dalam kalangan masyarakat kita sendiri.

Dalam pada itu juga, Sekola Baroka mencari jawapan bagi isu-isu sosial yang malar segar di bandar-bandar, seperti gelandangan, sidiket jaga parking, golongan miskin kota, tekanan hidup di bandar, pelacuran, pembuangan hadas kecil atau besar di jalan, aktiviti tunda kereta oleh PBT dan lain-lain.

Setelah 1 tahun Sekola Baroka dibina, struktur organisasinya mula berakar. Baroka Blessed seterusnya berusaha untuk mendalami isu Pendidikan yang dialami oleh suku yang pertama mendiami tanah ini iaitu Masyarakat Adat Orang Asli Suku Seletar – Melayu Proto.

Inisiatif Pendidikan yang diberi nama Tanam Tumbuh – Mendidik & Membangun telah bermula semenjak 21 September 2020 yang lalu. Tujuan isu ini ditangani adalah untuk mengurangkan kadar buta huruf anak-anak Masyarakat Adat Orang Asli Suku Seletar – Melayu Proto yang dihimpit oleh pembangunan serta perubahan ekosistem di Kawasan Perairan Johor Bahru.

Dalam pada itu juga, kami mengambil peluang ini untuk memahami budaya dari suku pertama yang mendiami tanah ini. Pelbagai sudut pandang mereka yang kami nikmati seperti bahasanya, cara hidupnya, personalitinya, canda gurauanya dan pelbagai lagi.

Nyata, Seletar memilki keindahan serta puitis mereka yang tersendiri.

  • Setakat hari ini, apa pendekatan Sekola Baroka dan kau sendiri sebagai individu dalam memahamkan masyarakat sekeliling tentang pendidikan dalam rangka aktivisme, budaya dan idealismenya? Soalan ini merujuk kepada pendidikan yang tak akan lari dari kemasyarakatan dan tentu-tentulah ianya berkaitan rapat.

Dia macam ni, Baroka Blessed berakar dari idea Budaya & Pendidikan. Jadi, secara alaminya pendekatan yang kami gunakan untuk menangani isu sosial & pendidikan tidak akan lari jauh dari sekitar kehidupan budaya setempat.

Dari benih idea ke tulang inisiatif-inisiatifnya. Sebagai contoh, dasar pembelajaran di Sekola Baroka & Tanam Tumbuh keduanya membentuk sebuah pendidikan kontekstual. Modul pembelajaran yang dibina berpusat kepada anak-anak. Dalam kata lain, kami hanya memberi panduan dan mereka yang menentukan. Dengan cara ini kami dapat memahami budaya setempat melalui apa yang mereka suka dan sebaliknya.

  • Apa yang aku faham, ada beberapa aktiviti dari korang fokus beberapa tempat lain juga di sekitar Johor Bahru iaitu sebuah kampung pinggiran di kawasan Sungai Danga salah satunya kalau tak silap. Untuk pendidikan, bagaimanakah dapat kau menerangkan bahawa perubahan realiti dunia harus selari dengan pendidikan?

Oh iya, di Kampung Orang Asli Bakar Batu untuk Tanam Tumbuh.

Perubahan realiti yang kau maksudkan ini mungkin aku boleh rungkaikan, seperti kepesatan pembangunan dari sudut ekonomi, perubahan ekosistem kerana penambakkan pasir diperairan Johor Bahru, penghakisan budaya seiring Industri Teknologi dan pelbagai lagi kesan himpitan kehidupan Orang Asli suku Seletar untuk masa ini.

Disebalik himpitan-himpitan tersebut kebanyakkan Orang Asli suku Seletar tidak memiliki asas sebuah kehidupan sebagai manusia, iaitu Pendidikan. Kebanyakkan dari mereka juga, tidak sedar kepentingan pendidikan bagi kehidupan.

Kesan dari ketidaksedaran ini juga menyebabkan terlalu banyak limitasi untuk mereka membangun, melindung, mempertahan dari himpitan-himpitan perubahan dan pembangunan yang berlaku disekitarnya.

Selain itu, tanpa pendidikan asas juga ianya jelas nyata memberi kesan terhadap kualiti kehidupan mereka. Ini termasuklah kesan gejala sosial, persekitaran, keluarga dan lain hal lagi.

Himpitan ini juga, memberi kesan dari sudut ekonomi Orang Asli suku Seletar yang 90% menjana pendapatan dari hasil laut dan sekitarnya.

Perkara ini berlaku sudah bergenerasi. Jika dahulu perkampungan itu terletak di muara, sekarang ianya telah menjadi sungai akibat pembangunan dan penambakkan. Bagaimanakah akan datang?

Tujuan Tanam Tumbuh adalah untuk mendidik dan membangun. Dalam kata lain, pendidikan yang didirikan adalah untuk mereka bangunkan masyarakat sendiri. Sebagai contoh, kami mempelajari bahasa Seletar, kemudian mengajarkan mereka untuk menulis perkataan tersebut. Dengan cara ini, mereka dapat melindungi bahasa mereka sendiri melalui penulisan.

  • Sepanjang beberapa tahun kau ceburkan diri dalam aktivisme ini, apa yang kau pandang, apa yang kau lihat dan apa yang harus kau kedepankan dalam perancangan seterusnya? Boleh kau kongsikan?

Aku baru setahun jagung dalam padang ni, jadi terlalu banyak perkara yang perlu aku belajar dan berlatih. Tak banyak lagi sudut pandang yang boleh aku kongsikan.

Untuk perancangan masa akan datang masih belum dapat aku kongsikan sekarang. Kerana banyak perkara yang perlu disusun atur mengikut kesesuaian masa demi masa.

  • Setuju atau tidak, kolektivisme adalah alternatif pada hari ini?

Setuju, cuma bukan untuk hari ini, tapi semenjak dahulu lagi. Kita dah hidup berkolektif dari kampung ke kampung, oleh itu raikan budaya kita!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *