Machu Picchu – Kota Kayangan Inca

Oleh: Dans CK

Machu Picchu yang tersergam indah di atas pergunungan itu ialah kota kubu milik kaum Inca yang terletak di timur Cordillera, selatan Peru dengan ketinggian 2,430 meter dalam pergunungan Sacred Valley. Jika menuju ke kota tersebut, kita harus pergi sejauh 80 kilometer dari kota Cuzco.

Kebanyakan ahli arkeologi berpendapat bahawa Machu Picchu (bunyi c hilang jika sebut Picchu) dibina untuk maharaja Inca bernama Pachacuti (1438-1472). Kota ini menjadi simbolik kepada tamadun Inca dan sentiasa disalah anggap sebagai ‘Lost City of the Incas’. Macchu Picchu dibina pada 1420 dan ditinggalkan seabad kemudian sebelum penjajahan Spanyol.

Kota kubu ini dibina menggunakan sistem penyusunan batu tanpa sebarang tampalan. Sistem binaan ini banyak digunakan dalam binaan-binaan tinggalan kaum-kaum Amerika dan juga orang Eropah. Kota ini mempunyai tiga jenis struktur utama iaitu Intihuatana (batu ritual yang berfungsi sebagai jam atau kalendar astronomi), Temple of the Sun, dan Room of the Three Windows.

KEHIDUPAN PENDUDUK MACHU PICCHU

Asal pembinaan Machu Picchu ini adalah atas arahan maharaja Pachacuti untuk membina istana diraja sebagai tempat berlindung setelah selesai laksanakan kempen penjarahan. Siap kota ini dibina, Pachacuti terus menetap sehingga mangkat. Walaupun kota ini baginda menganggap sebagai istana diraja, namun para pewarisnya tidak mewarisi Macchu Picchu.

Machu Picchu semasa pemerintahan Pachacuti terdiri dari 750 orang penduduk yang berperanan sebagai ‘yanaconas’ iaitu pekerja yang berkhidmat dengan maharaja. Golongan ini terdiri dari ahli agama atau pawang dan ‘mayocs’, iaitu pekerja yang mempunyai tugas-tugas khas.

Terdapat juga golongan imigran yang menetap di Machu Picchu. Asal-usul golongan ini dari persisiran pantai Peru, kemudian bermigrasi ke kota ini yang mempunyai sumber jagung yang banyak dibekalkan berbanding penempatan mereka yang hanya bergantung kepada sumber ikan.

Penternakan alpaca dan llama juga wujud di Machu Piccu untuk membekalkan daging. Dua spesis haiwan ternak ini dibawa dari padang rumput Puna di tengah Pergunungan Andes kerana hanya spesis haiwan ini saja sesuai untuk tujuan penternakan. Haiwan roden (keluarga tikus) bernama Guinea Pig dan anjing juga dibawa oleh penduduk untuk digunakan sebagai korban dalam aktiviti ritual.

Machu Picchu mempunyai tanaman teres buatan manusia. Penanaman teres adalah biasa dalam ekonomi agrikulutur orang Inca. Penanaman ini sangat efektif bagi penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan bagi memastikan sistem saliran baik dan melindungi tanaman dari sebarang bencana seperti tanah runtuh dan hakisan tanah. Namun penanaman teres Machu Picchu tidak berapa baik kerana terdapat beberapa lokasi terjadi tanah runtuh, namun ia masih beroperasi dengan baik baik pada waktu itu.

Tanaman teres yang luasnya 4.9 hektar ini tidak memerlukan sistem saliran kerana hujan sentiasa membasahi bumi Machu Picchu. Jadi pembina teres ini hanya membina saliran kecil di setiap teres untuk memudahkan aliran air hujan. Jenis tanaman yang ditanam ialah pokok jagung dan ubi kentang namun sumber ini tidak dapat menampung penduduk berjumlah lebih 750 orang. Maka, mereka memperoleh sumber makanan lebih banyak dari sekeliling lembah.

Selepas Pachacuti mangkat, Machu Picchu masih beroperasi selama beberapa tahun sebelum diabaikan. Apabila penjajah Sepanyol tiba di sana, kota kuno itu ditinggalkan kosong. Ada dua teori yang munasabah buat masa ini iaitu penduduk Machu Picchu tahu akan penjajahan Sepanyol ke atas jajahan Inca, kemudian bermigrasi ke lokasi lain. Teori kedua adalah wujudnya wabak demam campak yang melanda penduduk akibat bawaan penjelajah Eropah.

JELAJAH EROPAH KE MACHU PICCHU

Selepas penjajahan Sepanyol, Conquistador bernama Baltasar de Ocampo menulis tentang lawatannya ke kota tinggalan bernama Pitcos di kawasan Mashu Picchu. Beliau mangga biarkan seni bina orang Inca begitu indah dan teliti, menggunakan batu mar mar yang diukir sempurna.

Beberapa abad kemudian, Machu Picchu yang menjadi ‘hutan’ ini ditemui semula oleh ahli perniagaan Jerman bernama Augusto Berns pada 1867. Sesetengah sumber menyatakan bahawa jurutera Jerman bernama J. M. von Hassel adalah penemu yang terawal sebelum Berns.

Pada tahun 1911, peneroka dan sejarahwan AS bernama Hiram Bingham meneroka dan mencari kota kuno milik kaum Inca dengan bantuan penduduk kampung bernama Melchor Arteaga. Kemudian Bingham menemui Machu Picchu yang telah lama terbiar. Demi memulihara semula tinggalan kota bersejarah ini, Bingham memulakan kempen penemuan saintifik dengan membawa kumpulan ahli arkeologi pada tahun 1912. Kempen ini kemudian menarik perhatian dunia akan kewujudan Machu Picchu ini.

Masuk tahun 1981, negara Peru mengisytiharkan kawasan seluas 325.92 kilometer persegi di sekeliling Machu Picchu sebagai “lokasi lindungan bersejarah”. Kawasan yang Peru isytiharkan terdiri dari hutan hujan tropika dan padang rumput Puna yang berada dalam jagaan kerajaan.

UNESCO kemudian mengisytiharkan Machu Picchu sebagai Tapak Warisan Dunia dan menggelarkan kota kuno itu sebagai ‘mahakarya agung dalam dunia arkitek dari tamadun Inca’. Machu Picchu kemudian dipilih dalam senarai ‘7 Keajaiban Dunia’ melalui undian warganet dunia.

 

RUJUKAN:

1. Jarus, Owen (31 August 2012). “Machu Picchu: Facts & History – Abandonment of Machu Picchu”. Live Science. Retrieved 29 September 2021.

2. Luciano, Pellegrino A. (2011). “Where are the Edges of a Protected Area? Political Dispossession in Machu Picchu, Peru”. Conservation and Society. 9 (1): 35–41.

3. Burger, Richard L.; Salazar, Lucy C. (2004). Machu Picchu: Unveiling the Mystery of the Incas. Yale University Press. p. 27.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *