Skip to content
Laman Utama » Tanah Air Berdaulat, Merdeka Dengan Pendidikan!

Tanah Air Berdaulat, Merdeka Dengan Pendidikan!

Oleh: Izzat Ibrahim

Pendidikan pengurusan sampah di Kelas Kreatif, Pusat Pembangunan Minda Insan Kunak. Ini adalah teknikal yang praktikal untuk menjaga kedaulatan Tanah (dan) Air kita.

Sebuah perjuangan untuk ke’Merdeka’an yang sebenar adalah dari dalam rumah sendiri. Bermula dari rumah, tanah, air dan kawasan sendiri. Kita memang mempunyai budaya melonggok sampah dan membuang sampah merata-rata. Ini adalah amalan turun temurun yang menjadi suatu budaya dan sikap.

Isunya di sini, sampah dulu-dulu adalah yang boleh terurai. Sekarang, sampah kita terdiri daripada plastik yang tidak mampu dicerna walaupun berpuluh tahun tertanam dalam tanah. Maka budaya tersebut menjadi satu masalah yang amat sukar ditangani sehingga sekarang.

Jadi, pendidikan menguruskan sampah yang selari dengan sampah yang wujud pada era moderan ini adalah perlu menjadi keutamaan. Langkah pertama dan paling asas adalah mengasingkan sampah plastik dan sampah yang boleh terurai.

Dalam Kebun Dapur Kreatif PPMI Kunak, kami mengambil langkah menyusun, memerhatikan dan mengfungsikan semula barang-barang plastik. Kemudian membuat lubang kompos sebagai tempat membuang sisa makanan dan apa-apa sahaja yang boleh terurai. Sampah terurai sesuai dikembalikan semula kepada tanah.

Secara langsung akan menjadi makanan difungsikan oleh haiwan, serangga dan mikrob dalam tanah. Hal ini adalah penekanan kepada Etika ke-3 dalam Pertanian Lestari iaitu berbahagi limpahan. Kesannya, tanah menjadi semakin subur dan menjamin penghasilan kebun dapur.

Manakala sampah plastik pula perlu difikirkan untuk difungsikan dan dikitar semula. Dalam masa yang sama berfikir juga bagaimana untuk mengurangkan penggunaan plastik.

Mengfungsikan semula barang-barang plastik memang sangat sukar. Sama sukarnya untuk mengfungsikan manusia plastik dalam komuniti. Sebab itulah perlu difikirkan bagaimana untuk mengurangkan plastik-plastik tersebut daripada terus dihasilkan. #yangfahamjefaham haha

Etika dan teknikal ini akan memberikan kesedaran dan pengetahuan tentang sebuah tatacara yang betul dan baik. Kemudian akan praktis di kebun dan halaman rumah masing-masing.

Sebenarnya telah banyak projek, program dan kempen yang dianjurkan oleh pihak berautoriti. Kempen kitar semula, pengurusan sampah dan sebagainya. Tapi belum memberikan impak yang baik pada budaya dan kebiasaan masyarakat.

Pendidikan yang mampu melihatkan kesan langsung adalah sangat praktikal. Bila dia buat atau tidak, dia akan menerima kesannya sendiri. Barulah masyarakat termotivasi untuk konsisten berlatih dan mengamalkan.

Sesebuah budaya dan sikap adalah cara hidup yang diturunkan dari generasi ke generasi. Pembentukan budaya dan sikap ini memakan proses yang panjang dan lama. Jadi, untuk menerapkan sebuah sikap dan budaya yang baru, perlu melalui proses yang serupa. Sehinggalah ia menjadi budaya dan sikap yang baru untuk generasi kini dan akan datang.

Sebab itulah kesedaran dan proses ini perlu timbul dari rumah masing-masing. Perubahan harus bermula dan berjalan di dalam rumah sendiri. Jadi, berkebun secara lestari adalah medan latihan dan teknikal yang tepat untuk membentuk budaya dan sikap yang merdeka. Barulah kedaulatan tanah (dan) air kita dapat terjaga.

Selain itu, pendidikan yang saya bawa masuk untuk Kelas Kreatif adalah modul aktiviti kebun dapur. Satu perjalanan menuju ke’Merdeka’an dan ekonomi mandiri.

Sudah hampir 2 bulan saya di sini. Semakin bertambah isi kebun. Semakin ramai juga anak-anak pelajar yang mula berkasih dengan cangkul. Alhamdulillah.

BACA LANJUT:
Darurat Iklim & Prinsip Keadilan
70 Peratus Sampah, Sisa Kimia?
Permaculture: Satu Kaedah Menolak Kapitalisme

Kebun dapur ini adalah teknikal langsung untuk menyelesaikan keperluan-keperluan asas di dapur. Jadi akan dapat kurangkan penggunaan duit untuk memenuhi keperluan. Ini adalah cara mandiri untuk meningkatkan ekonomi isi rumah.

Dalam masa yang sama, berbanding aktiviti kebun pasar (market garden) aktiviti kebun dapur ini sangat mudah untuk menerapkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang digariskan dalam ilmu pertanian lestari (Permaculture) dan wahyu Tuhan.

Tentang etika menjaga bumi, menjaga manusia dan berbahagi secara adil atau kongsikan limpahan. Seterusnya berkembang kepada prinsip-prinsip dalam tatacara menjalankan apa sahaja aktiviti. Sehingga anak-anak ini akan membesar dengan jiwa yang betul-betul merdeka. Kurang bergantung pada sistem dan manusia kapitalis kerana mampu menghasilkan makanannya sendiri. Insha Allah…

Sudah kita berada di bulan Ogos 2022. Wajiblah kita semakin Merdeka.

“All the world’s problems can be solved in a garden.”

– Bill Mollison

*Izzat Ibrahim adalah seorang penulis, pekebun, guru dan penggerak komuniti di Pusat Pembangunan Minda Insan Kunak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *