HOS Tjokroaminoto: Guru Bangsa Nusantara

“Setinggi-tinggi ilmu, semurni-murni tauhid, sepintar-pintar siasat.”

Haji Omar Said Tjokroaminoto
Lahir Dalam Keluarga Bangsawan

Seorang kelahiran dari keluarga bangsawan, anak ke-2 dari 12 adik beradik. Memilik darah dari susur galur keturunan Prabhu Brawijaya Majapahit, yang bercampur darah ahlul bait dari jalur Hussein bin Ali.

Bapaknya Raden Mas Tjokrosmiseno adalah pegawai pemerintah Belanda. Atuknya pula bernama Raden Mas Adipati Tjokronogoro, seorang bupati/ketua daerah Ponorogo, merupa anak kepada seorang tokoh besar iaitu Kyai Hassan Besari.

Melalui Kyai Hassan Besari ini, waris keluarganya mendapat kehormatan sebagai ‘keluarga bangsawan’. Juga melalui tradisi moyangnya juga, beliau membawa tradisi keilmuan ke arah kemerdekaan bangsa.
Dirinya yang dihormati dan disegani oleh masyarakat semata kerana darjatnya, membuatkan dia merasa amat tidak selesa.

Kyai Hassan besari Tegalsari, Ponorogo.
Sejarah Darjat Kebangsawanan

Namun selepas beberapa ketika, Belanda dibantu pula oleh Madura. Para pemberontak anti Belanda dipukul kuat oleh gabungan kuasa Madura-Belanda, memaksa mereka berundur. Disebabkan itu, Pakualam II terpaksa bergegas menandatangani perjanjian damai dengan VOC yang diwakili oleh Von Hohendroff. Juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan persatuan Belanda tersebut[1].

Tindakan itu menyebabkan pemberontak Tiongha dan Jawa merasa dikhianat. Maka, pemberontakan mereka beralih arah pula kepada pemerintahan Pakualam II yang dirasakan sebuah pembelotan.
Ini memaksanya untuk melarikan diri bersama Von Hohendroff, pergi ke Ponorogo.[2]

Setibanya di perkampungan Tegalsari, Pakualam II menyerahkan diri kepada Kyai Hassan Besari dan menjadi anak didik ulama tersebut. Di pesantren Tegalsari itu Pakualam II diajarkan oleh Kyai Hassan Besari untuk hanya tunduk terhadap pemerintah alam, iaitu Allah S.W.T.[3]

Setelah ombak pemberontakan ke-2 dapat dipatahkan dengan penangkapan kepala pemberontak iaitu Sunan Kuning, Pakualam II pulang ke Kartasura dan kembali menaiki takhta. Tetapi selepas penaikan takhta itu perjanjian-perjanjiannya dengan VOC menjadi semakin berat.

Di hari-hari akhir hayat Pakualam II, kerajaannya secara penuh diserahkan kepada VOC melalui von Hohendroff. Maka, berakhirlah riwayat pemerintahan Kartasura di bawah Pakualam II. Setelah itu, Belanda mempunyai hak mutlak untuk melantik raja-raja keturunan Mataram[4].

Atas jasa Kyai Hassan Besari yang telah menjadi gurunya, lalu diambil Kyai besar itu menjadi menantu. Melalui perkahwinan itulah, bait-bait nostalgia keluarga bangsawan bermula terhadap penyambung keturunan Kyai Hassan Besari ini.
Maka, tidak hairanlah jika bapak dan atuknya dilantik menjadi pegawai pemerintah Belanda waktu itu. Kerana keistimewaan-keistimewaan berat sebelah yang diterimanya menjadikan dia seorang anak bangsawan yang anti-kebangsawanan.

Melalui latar belakang keluarga bangsawan, beliau bertekad untuk memecahkan diskriminasi darjat dan ketidakadilan yang disenangi oleh keluarganya sendiri. Dia mempertanyakan, mengapa kita orang Jawa harus bekerja sebagai pegawai Belanda? Mengapa di luar keluargaku dan para priyayi, iaitu di desa-desa petani itu miskin, melarat, tak berdaya? Kenapa kuli-kuli itu semua orang Jawa dan bukannya Belanda?[5] Persoalan-persoalan kritis juga timbul sejak dia sekolah di OSVIA, mempersoalkan kenapa hanya anak Jawa berstatus priyayi saja yang dibenarkan bersekolah di situ.

Walaupun tetap taat kepada orang tuanya, itu tidak menghalang Tjokro untuk menunjukkan karakter dia yang sebenar. Di sekolah, dia dikenali sebagai anak yang sukar diatur, keras kepala, dan kaki gaduh. Ini menampakkan sikapnya jelas bertentangan dengan kebiasaan perilaku pelajar OSVIA yang lain.

Sikap pelajar golongan priyayi lain yang seperti senang diternak, membuatkan Tjokro tidak sorok-sorok untuk menyatakan kebencian terhadap teman-teman sekolahnya. Di sekolah itu juga, dia dikenali sebagai pelajar yang amat geli dengan semua hal yang berbaur kebangsawanan dan ketinggian darjat sosial[6].

Pekerjaan sebagai jurutulis di Kantor Kepatihan (wakil bupati/daerah) membuat dia bosan, tidak mengembangkan daya fikirnya. Dengan tarafnya sebagai anak bangsawan, gelaran Raden Mas pastilah tidak terlepas darinya hingga membuatkan dia menjadi murung dan tidak ceria. Kemudian dia dikahwinkan oleh orang tuanya dengan Raden Ayu (R.A) Soeharsikin bagi memaksa Tjokro agar lebih tekun menjalankan kerja[7].
Tetapi ini juga tidak menjadi penghalang baginya untuk menempa jalan pembebasan.

Fikiran-fikiran Tjokroaminoto yang kritikal terhadap kedudukan priyayi, akhirnya telah membawa dirinya untuk melarikan diri dari keluarga dan isteri, demi mencari jati dirinya yang sebenar[8]. Bagaimana jijiknya dia melihat kepatuhan golongan bangsawan Jawa terhadap penjajah, sehingga dengan keras Tjokro mengkritik bapak mertuanya sendiri sebagai seorang yang kolot. Dia menganggap bapak mertuanya, Mangonsoemoe seorang yang terlalu menghambakan diri kepada penjajah[9].

Lari ke Semarang

Sepanjang 1910 – 1912, dia bekerja sebagai kuli di Semarang. Sepertimana kata Ismail, seorang kader Partai Sarekat Islam, “Dia (Tjokroaminoto) ingin merasakan susahnya jadi kuli bongkar-muat di kapal.” Pengalaman bekerja sebagai kuli selama 3 tahun, menjadikannya bosan dan merasa tidak puas hidup hanya sekadar kerjaya dan cari makan.

Kemudian, langkah pelarian itu disusuli oleh isterinya R.A Soeharsikin bersama cahaya mata mereka yang pertama, setelah Soeharsikin sembuh dari pantang. Isterinya juga nekad sanggup untuk melepaskan segala kemudahan dan kemewahan sebagai puteri wakil bupati, demi perjuangan seorang Tjokroaminoto.

Tambahan pula, taraf bangsawan keluarganya itu pula bersangkut paut dengan syarikat penjajah (VOC) yang telah mencuri 1,800 juta gulden setahun dan meninggalkan para petani hidup dalam kemelaratan[10]. Ini cukup menjelaskan betapa gelinya Tjokro terhadap darjat kebangsawanan seorang ‘Raden Mas’.

Konflik tentang kelas dan darjat yang dilaluinya, membuatkan dia lebih mendalami prinsip-prinsip keadilan sosial di dalam sosialisme.

Mewarisi Tradisi Keilmuan Dari Leluhur

Pada sisi yang lain pula, kehormatan masyarakat terhadap keluarga HOS Tjokroaminoto bukanlah semata-mata kerana kedudukan istimewanya sebagai anak bangsawan di bawah pemerintahan Belanda. Kerana pada suatu ketika, Kyai ini pernah menjadi tahanan Pakualam II sendiri. Kyai besar Tanah Jawa ini mempunyai kekuatan, ajaran, dan bilangan pengikut yang mampu menggugat pemerintahannya.
Semasa Hassan Baseri di dalam tahanan, puterinya Pakualam II mula menaruh cinta terhadap Kyai itu kerana kebijakannya. Tetapi, semestinya dihalang oleh Pakualan II sendiri[11].

Salah satu sumbangan besar Kyai Hassan Besari adalah melalui pendidikan rakyat. Atas berkat keilmuan dan kegigihannya, keseluruhan kampung Tegalsari dibanjiri oleh ribuan pelajar, sehingga seluruh kampung tersebut diubah menjadi pesantren. Sehinggakan, pesantren-pesantren baru harus dibangunkan di kampung-kampung sekitar.

Pendidikan yang berlangsung di Tegalsari telah melahirkan ramai tokoh-tokoh progresif di dalam bidang politik, kesenian, kebudayaan dan agama. Kerana kekuatan dan bilangan pengikutnya, pemerintahan Pakualam II menjadi tergugat. Walau pada akhirnya, Pakualam II sendiri menundukkan diri kepada Kyai besar tersebut sehingga menjadi anak muridnya.

Selain Pakualam II, Ronggowarsito seorang pujangga besar Jawa juga dididik di situ. Pesantren di Tegalsari ini juga telah melahirkan tokoh-tokoh intelektual agama yang memperjuangkan kebebasan berfikir, seperti Abdul Mannan dan Kyai Mujahid.
Maka, kehormatan yang diberikan masyarakat kepada Tjokro juga adalah berkat dari jasa moyangnya yang telah menggerakkan pusat keilmuan yang memerdekakan jiwa dan mental masyarakat Jawa.

Di dalam catatan sejarah Kyai Hassan Besari, dikatakan bahawa Tjokro juga adalah salah seorang pelajar yang mengaji di pesantren Tegalsari itu[12]. Semestinya bukan berguru dengan moyangnya, tetapi anak cucu yang meneruskan tradisi pesantren tersebut.

Menjadi Guru Anak Bangsa Nusantara

Melihat latar belakang tradisi keluarganya, maka tidak hairan rumah Tjokro yang tidak seberapa luas itu juga dijadikan sebagai pondok pengajian yang akhirnya meledakkan semangat kemerdekaan Indonesia. Di rumahnya terdapat 10 buah bilik sewa yang untuk disewa oleh anak muda dan juga murid-muridnya[13].

Nama Tjokroaminoto sendiri terukir sebagai ‘Guru Bangsa’, yang memberi impak besar terhadap pembangunan sejarah Indonesia. Anak-anak muda yang duduk menyewa bilik di rumahnya menemukan jalan dan dunia masing-masing. Melalui ruang kecil rumahnya, lahirnya seorang Soekarno sebagai bapa Nasionalisme, Kartosuwiryo sebagai bapa Islamisme, dan Semaoen, Alimin, serta Musso sebagai bapa Komunisme[14].

Betapa kuatnya impak pemikiran Tjokro terhadap tokoh-tokoh nasional ini terutamanya Soekarno. Soekarno yang mula-mula datang sebagai seorang anak yang gementar, menangis terpaksa berpisah dengan keluarga[15], menjadi seorang pemuda yang mempunyai semangat jiwa yang berapi-api, yang akhirnya menjadi presiden pertama negara republik itu.
Pidato bapa nasionalisme itu yang membara-bara bak api menjulap, telah terasah sejak tinggal di rumah Tjokro. Setiap malam, dia akan berlatih pidatonya di dalam sebuah bilik kecil.

Pesetan dengan penindasan!!!

Hidup Kemerdekaan!!!

Begitulah teriak Soekarno bersendirian hampir tiap malam, yang terkadang digelak dan disuruh diam oleh teman-temannya yang lain[16].

Rumah HOS Tjokroaminoto. Sumber: kawanus.com

Rumahnya di Paneleh, Surabaya, juga menjadi tempat yang paling penting dalam pergerakan nasional Indonesia pada saat itu. Tidak pernah lekang dari lawatan tokoh-tokoh gerakan yang datang dari pelbagai daerah dan latar belakang ideologi kiri mahupun kanan[17]. Menjadikan ia sebagai tempat pertemuan bagi tokoh-tokoh yang berbeza aliran.

Seperti Agoes Salim, Abdul Moeis, S.M Kartosuwiryo dan tokoh politik dari kalangan Islam bertemu dalam satu meja untuk berbincang-bincang dengan Sneevliet, Musso, Alimin, Dharsono dan lain-lain yang berhaluan kiri. Tokoh nasionalis juga turut hadir seperti Dowess Dekker, Suwardi Suryaningrat dan juga lain-lain. Tidak terlepas para priyayi, rakyat jelata, dan murid-muridnya.

Tjokro sendiri sangat senang dengan keadaan rumahnya yang sangat terbuka setiap masa untuk menjadi medan perbahasan dan perbincangan. Kegiatan itu merupakan salah satu cara untuk memperkuatkan lagi barisan sehingga dapat memudahkan untuk mencapai keberhasilan perjuangan[18].

Kerana itu, peranan dan fungsi Tjokro di dalam pembangunan kemerdekaan masyarakat Indonesia adalah tidak lari jauh jika hendak dibandingkan dengan perjuangan moyangnya Kyai Hassan Baseri, yang juga menjadi guru terhadap ramai tokoh-tokoh besar. Jika di masa Hassan Baseri, seorang pemerintah besar datang menyerah diri kepadanya.

Melalui Tjokroaminoto pula, terdidiknya pemimpin-pemimpin negara yang berjiwa besar. Maka, dapat dicerminkan latar belakang salah silah keluarganya yang tinggi ilmu, juga bertaraf bangsawan, telah banyak memberi impak terhadap pembangunan pemikiran seorang Tjokroaminoto yang amat bersifat sosialisme dan keagamaan.

BACAAN LANJUT:

Ahmad Boestamam: Sejarah Perjuangan Nasionalisme Rakyat

Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina 

Dr. Burhanuddin al-Helmy: Membina bangsa Merdeka

Nota kaki:
[1] – [2] https://ms.wikipedia.org/wiki/Pakubuwana_II
[3] https://www.gontor.ac.id/pondok-tegalsari
[4] https://ms.wikipedia.org/wiki/Pakubuwana_II
[5] – [10] Tjokroaminoto: Untuk Pemula, Republik Buku, hlm. 23.
[11] &[12] https://nusantara.news/kyai-ageng-hasan-besari-guru-orang-orang-besar/
[13] –[18] Tjokroaminoto: Untuk Pemula, Republik Buku, hlm. 59.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *