Tan Malaka: Perubahan Sosial Dalam Aksi Massa

“Berpikir besar terlebih dahulu, kemudian mulai bertindak.”
Tan Malaka

Latar Belakang

Tan Malaka adalah orang yang pertama sekali mengasaskan konsep “Republik Indonesia”. Soekarno menyebutnya sebagai “seorang yang mahir dalam revolusi”.

Telah mendalami sosialisme sejak berumur 16 tahun selama 6 tahun di Rijks Kweekschool, Belanda. Cita-citanya untuk mengubah nasib bangsa Indonesia tersemat tatkala menjadi guru anak-anak buruh kebun teh Belanda di Sumatra Utara pada November 1919.

Tan telah mengembara sebanyak 89 ribu kilometer, bersamaan 2 kali mengelilingi bumi, demi cita-cita kemerdekaan bangsanya. Boleh bercakap dalam 8 bahasa, mempunyai 23 nama samaran, terlibat dalam 9 buah organisasi, mempunyai 5 jenis pekerjaan, dan pernah disumbatkan ke dalam 13 buah penjara. Segala-galanya demi kemerdekaan bangsa.

Namun, hidupnya berakhir dengan tragik di tangan Tentera Republik Indonesia pada 21 Februari 1949 di desa Selopanggung kerana dituduh melawan Soekarno – Hatta.

Tentang Revolusi

Di dalam Aksi Massa, Tan Malaka menyatakan bahawa ‘revolusi’ itu bukanlah sesuatu yang istimewa, atau lahir dari fikiran seorang manusia yang luar biasa. Revolusi lahir dari kerangka masyarakat yang telah sedar dan bersedia untuk melaksanakan perubahan.

Kesedaran dan persediaan yang timbul bukanlah ditentukan oleh retorik politik atau pidato-pidato bersemangat sang populis, itu hanya sebahagian dari prosesnya saja. Kerana kesedaran dan persediaan masyarakat terhadap revolusi adalah hasil dari cara hidup masyarakat, cara pergaulan antara masyarakat, dan revolusi ini adalah akibat dari tindakan-tindakan masyarakat.

Tan menegaskan, revolusi itu bukanlah lahir dari kerja-kerja setengah kelompok kecil yang asing dari kehidupan masyarakat lain. Yang duduk bersembunyi dan hanya keluar apabila mahu menjalankan kerja-kerja pemberontakan atau menjalankan tujuan-tujuannya. Baik aktivis komunis atau anarkis, Tan menggelarkan mereka ini sebagai ‘tukang-tukang putch’. Iaitu yang bergerak secara diam-diam, tidak mempertimbangkan kesanggupan masyarakat, dan tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan masyarakat ramai.

BACA LANJUT: TOKOH RAKYAT
[1] HOS Tjokroaminoto: Guru Bangsa Nusantara
[2] Dr. Burhanuddin al-Helmy: Membina Bangsa Merdeka 
[3] Ahmad Boestamam: Sejarah Perjuangan Nasionalisme Rakyat

Memang selalu kelompok-kelompok yang memisahkan diri mereka dari masyarakat akan menganggap masyarakat itu bodoh. Atau paling tidak, merasakan pemikiran dan prinsip masyarakat tidak setaraf dengan pemikiran dan prinsip mereka. Tetapi hakikatnya, telah ada suatu bentuk pemikiran dan prinsip yang telah terlebih dahulu memenangi fikiran dan hati masyarakat. Berbanding pemikiran dan prinsip kelompok ‘perasan bagus’ itu tadi.

Dalam kata lain, kelompok yang mengasingkan diri itu sebenarnya sedang kalah dalam mempromosikan pemikiran dan prinsip mereka akibat dari keterasingan mereka sendiri. Hal ini sangat bersangkutan dengan metode-metode pendidikan dan propaganda, bagaimana sesuatu itu diberitahu, diajar, dan diterapkan ke dalam fikiran dan hati masyarakat terbanyak.

Tan sedar jika ‘tukang-tukang putch’ ini keluar menjalankan aksi pemberontakan demi masyarakat sekalipun, masyarakat tidak akan membantu mereka. Kerana bukanlah kerana masyarakat itu bodoh dan tidak menyedari apa yang sedang berlaku, tetapi kerana masyarakat hanya bertindak mengikut keperluan terdekat mereka dan sesuai dengan kepentingan ekonomi mereka.

Bermakna, jika revolusi itu adalah sebuah aksi yang tercetus dengan sendirinya, maka perubahan radikal secara besar-besaran seperti revolusi masyarakat itu boleh dilihat sebagai kesan terhadap perubahan-perubahan radikal yang dilakukan secara kecil-kecilan.

Fungsi Parlimen

Tan tidak menolak kewujudan parlimen yang mana keputusan dan perancangan masyarakat dibincangkan di situ. Malah untuk tidak menggunakan medium parlimen juga adalah sebuah kekeliruan dan dianggap pengecut. Tetapi terlebih dahulu masyarakat harus jelas kemerdekaan dan pembebasan bukanlah suatu aksi tawar-menawar, atau dalam kata lain kemerdekaan itu tidak sah melalui rundingan.

Jika si penjajah bersetuju untuk membebaskan, maka si penjajah akan menggunakan kuasanya untuk melepaskan hamba jajahannya. Manakala, yang terjajah perlu terlebih dahulu mengharapkan kuasa penjajah untuk membebaskannya. Sedangkan kemerdekaan itu langsung tidak mengiktiraf kuasa asing yang menguasainya apatah lagi untuk memujuk rayu kepadanya.

Untuk mengharap pembebasan melalui Dewan Rakyat, menurut Tan adalah tidak ubah seperti seseorang di gurun sahara yang memburu fatamorgana. Perubahan yang berpunca dari peralihan parti melalui peti undi hanya akan mengundang kekecewaan dalam hati masyarakat.

Manifesto-manifesto pilihan raya adalah alat sebuah pertandingan memancing hati rakyat, ia tidak pernah mengubah nasib rakyat ke arah lebih baik. Segala hak dan keadilan yang ditempatkan dalam manisfesto, adalah harga bagi sesebuah parti untuk mengawal peruntukan dana dan kekayaan negara.

Akarnya, perubahan itu haruslah bermula melalui masyarakat itu sendiri dan bukanlah melalui parlimen, penggubalan sistem perundangan, atau peralihan parti. Kesemuanya itu adalah sebahagian medium yang boleh digunakan masyarakat untuk membangunkan kerja-kerja perubahan, bukan sebagai medium asas perubahan.

Tidak salah untuk menggunakan Dewan Rakyat sebagai alat, sebagai senjata, untuk meluaskan kekuasaan masyarakat sehingga ke dalam dewan-dewan parlimen. Ini jauh berbeza dengan kerja-kerja perubahan yang bermula dari dalam parlimen!

Dewan Rakyat, adalah sebuah tempat berhimpunnya segala macam perompak, pencuri, dan penyamun. Maka, di sini boleh dijadikan salah satu tempat bagi rakyat untuk berdepan dengan mereka secara bertentang mata. Juga untuk memecahkan topeng-topeng kesetanan barisan penyamun dan perompak itu.

Jalan Menempa Perubahan Masyarakat

Perubahan akan tercetus dengan sendirinya setelah masyarakat itu sendiri mempersiapkan diri mereka dalam perihal pergaulan, ekonomi, politik, dan pemikiran. Yang mana pergaulan itu bermaksud masyarakat memiliki kunci kesepakatan di antara sesama. Ekonomi pula, walaupun masyarakat itu sedang tertindas, tetapi masih menguasai ekosistem ekonomi mandiri tanpa pergantungan terhadap kuasa komglomerat.

Sumber: Sosialis Alternatif

Dalam politik, masyarakat telah mencapai kematangan untuk menentukan bagaimana seharusnya mereka hidup, dan cara untuk mencapainya. Manakala pemikiran pula adalah soal keterjelasan pandangan hidup dan pengukuhan prinsip.

Tak dapat dielakkan yang keadaan ekonomi, sosial, politik, dan pemikiran akan sentiasa mengasah dan menajamkan lagi pertentangan antara kelas. Belum pernah ada lagi dalam mana-mana sejarah dunia, keempat-empat faktor ini tidak mewujudkan pertembungan.

Dahulu, revolusi-revolusi terjadi melalui ajaran-ajaran agama. Akan lahir agama baru setiap kali keadaan sesebuah masyarakat itu mundur disebabkan oleh penindasan, perhambaan, atau ketidakadilan ekonomi yang terjadi oleh ketamakan penguasa.

Seperti mana Zarathustra menentang penindasan institusi agama; Siddharta Gautama yang melarikan diri dari istana yang kaya raya kerana menyedari lambakan kaum miskin di luarnya; Nabi Musa bersama golongan Yahudi yang menolak untuk tunduk terhadap penindasan Firaun; Nabi Isa yang memilih untuk hidup gelandangan tak berumah bersama fakir miskin dan para pelacur yang terpinggir; dan nabi Muhammad yang menentang kebilah-kabilah Badwi dan masyarakat dagang yang memonopoli ekonomi di Mekah.

Menurut Tan lagi, revolusi yang dibawa oleh agama itu juga mempunyai asas perjuangan kelas untuk kekuasaan ekonomi dan politik. Pokoknya, tiada satu nabi atau buddha pun mahu tunduk terhadap pemerintah atau kuasa yang tamak terhadap kekayaan peribadi. Tiada seorang utusan tuhan pun yang mahu tunduk terhadap pemerintah yang mencengkam kaum miskin.

Bagi Karl Marx pula, perjuangan buruh ini adalah untuk mencapai “satu masyarakat komunis yang tidak mempunyai kelas”. Maka rentetan terdahulu boleh dilihat di setiap agama yang turun akan menggugat dan merombak semula struktur kelas dalam masyarakat mengikut zamannya. Bermakna, perjuangan kelas ini bukanlah sesuatu yang baru, dan juga belum lagi menampakkan pengakhirannya dalam masa terdekat.

Tan melihat ada kemungkinan untuk tercetusnya revolusi melalui beberapa perkara;

  1. Apabila kekayaan dan kekuasaan tertumpu kepada sebahagian kecil golongan atasan.
  2. Kehidupan rakyat secara keseluruhannya semakin miskin, melarat, tertindas atau terkongkong. Dalam kata lain, kehidupan masyarakat semakin lama semakin dipermainkan oleh kuasa politik dan ekonomi.
  3. Pertentangan kelas semakin hari semakin tajam.
  4. Pemerintah semakin hari semakin reaksioner.
  5. Masyarakat dari hari ke hari semakin bertambah kemarahannya terhadap kuasa pemerintahan dan semakin tak “mengenal damai”.

Sebagai penutup, menurut Tan untuk mengelakkan dari terjebak ke dalam aksi yang terumbang-ambing, masyarakat harus menempa alat-alat perubahan terlebih dahulu. Iaitu, mewujudkan program dan aktiviti yang jujur dalam berorganisasi, selain membangunkan strategi perlawanan yang lebih tersusun. Ke mana arah perubahan itu akan teracu haruslah dikupas dan dibahas. Jika tidak, ramalan dan kesimpulan hanya akan mengelirukan dan kesannya, perubahan masyarakat akan terumbang-ambing atau perubahan yang diraih hanya dapat bertahan sebentar saja.

“Revolusi ialah yang disebabkan oleh pergaulan hidup, satu hakekat tertentu dari perbuatan-perbuatan masyarakat.”
– Tan Malaka

RUJUKAN:

  1. Tan Malaka. Aksi Massa.
  2. Seri Tempo Bapak Bangsa: Tan Malaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *