Skip to content
Laman Utama » Pencemaran Sungai Langat Oleh Pembangunan Industri

Pencemaran Sungai Langat Oleh Pembangunan Industri

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

KUALA LANGAT – Di sini, terdapat industri yang menggunakan insinerator telah menimbulkan kerisauan di dalam hati sesetengah pihak. Kedudukan insinerator di Sungai Manggis yang terlalu hampir dengan sekolah dan penempatan dikhuatiri akan menyebabkan kesihatan penduduk terganggu. Aliran air sungai juga ditakuti akan menjadi tercemar.

Azlan Sharif, seorang ahli Persatuan Sejarah melahirkan rasa kecewa dan tidak selamat setelah melawat ke kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pembinaan hub industri kertas dan pulpa oleh pemaju Best Eternity Recycle Technology Sdn. Bhd. di situ juga cenderung untuk membuatkan keadaan sungai tersebut bertambah teruk.

Selain itu, terdapat sisa kumbahan dari kilang berdekatan dibuang secara terus ke dalam sungai. Untuk jangka masa panjang, ini pasti menjejaskan kehidupan penduduk di sepanjang sungai tersebut. Malah, akan menyebabkan kesihatan Sungai Langat menjadi lebih teruk lagi.

“Takkan ikan di Sungai Langat dah timbul mati baru nak insaf!” tulis beliau pada 12 April di laman media sosialnya.

Lebih-lebih lagi, di sini terdapat suku Orang Asli Temuan di bahagian hulu hingga ke tengah, serta suku Mahmeri di bahagian hilirnya, menandakan pembangunan industri yang memberi kesan terhadap hutan dan sungai perlu diwaspadai agar kepentingan Orang Asli terjaga. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh Majlis Daerah Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Kita perlukan penguatkuasa yang terlatih. Kilang halal pun jenuh nak dipantau, apatah lagi kewujudan kilang haram di Selangor bukanlah mitos.”

“Maka Jabatan Alam Sekitar Daerah Kuala Langat perlu dibangunkan. Bukan bergantung pada Jabatan Alam Sekitar Daerah Sepang.” tambahnya lagi.

Di sebalik perindustrian yang sedang membangun pesat, Sungai Langat juga menyimpan sejarah dan khazanah negara yang begitu banyak.

Beliau percaya, keberadaan kilang gergasi dan pembangunan industri di sini mampu menjejaskan peninggalan sejarah yang ada di kawasan sekitar.

Selain kepentingan alam dan keselamatan komuniti setempat, kewujudan bahan sejarah yang panjang di sini yang membuatkan beliau merasa bertanggungjawab untuk menyuarakan isu ini.

Beberapa artifak dan keberadaan sejarah penting ditemukan dalam kawasan daerah Kuala Langat:-

  1. Terdapat sejarah semenjak zaman Neolitik di Jenderam Hilir.

    Krediti foto: Harian Metro
  2. Penemuan perahu Jenderam yang berusia 2,500 tahun di Kampung Jenderam Hilir.
  3. Bukit Jugra (Parcelar Hill) adalah mercu tanda di dalam peta lama.
  4. Keberadaan rumah api Bukit Jugra juga adalah mercu tanda.

    Kredit foto: Blog Aku Budak Telok
  5. Gendang Dongson ditemui di Kg. Sungai Lang dan Sungai Sidu.

Azlan Sharif menyeru agar masyarakat dan pihak berkuasa harus berkerjasama bagi menangani isu ini.

Jika landskap negara terus dibiarkan musnah oleh tangan-tangan pemain industri, maka sedikit masa lagi alam dan sejarah yang menjadi khazanah negara akan musnah dan hilang keseluruhannya. Akhirnya, komuniti akan hidup dalam keadaan yang sentiasa terdesak, terpisah dari alam dan identiti diri mereka sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *